Kerjasama Pelbagai Negara Tangani Tuntutan China ke atas Laut China Selatan

Pemimpin serantau perlu berbincang bagaimana menangani masalah dan cabaran secara matang, kata pegawai AS, Charles A. Flynn.
Ray Sherman & Nisha David
2022.03.28
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Kerjasama Pelbagai Negara Tangani Tuntutan China ke atas Laut China Selatan Kerja-kerja pengisian bekalan di laut antara kapal pemusnah peluru berpandu USS Dewey dengan kapal kargo USNS Amelia Earhart milik Amerika Syarikat di Laut China Selatan, 22 Februari, 2022.
[Ihsan Tentera Laut Amerika Syarikat]

Kerjasama pelbagai hala antara semua negara yang terkesan dengan kempen pembesaran wilayah oleh negara China di Laut Cina Selatan adalah cara terbaik untuk menangani masalah tersebut, menurut seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Isnin.

Pegawai Pemerintah Pasifik Tentera Darat AS Charles A. Flynn membuat kenyataan berkenaan ketika disoal mengenai laporan terkini mengenai tindakan China meletakkan aset ketenteraan di atas tiga pulau buatan di kawasan laut yang sebahagiannya turut menjadi tuntutan pelbagai negara termasuk Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Indonesia.

"[Bagi menyelesaikan] masalah yang kompleks seperti ini, usaha pelbagai hala dan menjaga keselamatan secara bersama akan amat membantu bagi memastikan [perairan] Indo-Pasifik kekal bebas dan terbuka.

"Saya rasa bahawa latihan ketenteraan, dan kebolehan untuk membawa pemimpin-pemimpin serantau untuk duduk semeja; bagi memahami cabaran yang setiap daripada kita hadapi. Saya fikir bahawa ia adalah satu pengimbang yang amat bagus terhadap apa sahaja tindakan permusuhan yang dilakukan," kata beliau.

Flynn bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Persidangan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur.

Tambah beliau, pemimpin serantau juga patut bersama-sama untuk berbincang bagaimana mereka boleh menghadapi masalah secara matang dan menangani semua cabaran.

Flynn memberikan contoh penganjuran pameran seperti DSA 2022 dan NATSEC, serta latihan ketenteraan seperti Eksesais Keris Strike, dan Bersama Warrior, sebagai bukti kerjasama erat yang sedia ada antara pemimpin negara di rantau tersebut.

Untuk rekod, Keris Strike adalah latihan dua hala yang diadakan setiap tahun dan ditaja oleh Tentera Darat AS di Pasifik, manakala Bersama Warrior pula adalah latihan dua hala tahunan yang ditaja Pusat Pemerintahan AS di Indo-Pasifik. Kedua-dua latihan tersebut dianjurkan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

"Walaupun dengan terdapatnya keperluan mematuhi protokol kuarantin, pemeriksaan vaksinasi, tetapi mereka masih dapat mencari jalan untuk mengadakan latihan.

"Saya rasa semua pihak berasa teruja untuk membuat eksesais, dan kemampuan itu yang membawa kita semua bersama," kata beliau.

Sejak tahun 2018, AS telah meluluskan kira-kira AS$230 juta (RM1 bilion) dalam bentuk bantuan keselamatan kepada Malaysia. Bantuan itu termasuk latihan berkaitan ketenteraan dan program pertukaran.

Kebangkitan China adalah pasti

Menurut Lai Yew Meng, seorang penganalisi keselamatan dari Universiti Malaysia Sabah, kebangkitan China dalam menjadi negara berpengaruh di peringkat global adalah sesuatu yang tidak boleh dielak, dan negara itu dijangka akan terus-terusan mencabar serta mengubah status quo dunia berdasarkan takrifan AS menurut citarasanya sendiri.

"Apa yang masih belum dapat diketahui adalah sejauh mana China akan berbuat sedemikian, serta peluang dan kekangan yang akan dihadapi Beijing dalam mengejar agendanya, serta apakah impak terhadap hubungan antarabangsa China dalam dunia masa kini yang mempunyai kebergantungan kuat sesama sendiri," kata beliau kepada ketika dihubungi BenarNews.

Tambahnya, China berkemungkinan akan melihat peningkatan kekerapan latihan ketenteraan, serta perubahan bentuk dan magnitud eksesais sedemikian di Laut Cina Selatan oleh AS dan sekutunya sebagai tindakan antagonistik.

Bakri Mat, profesor madya dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan, dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, berkata tindakan China meningkatkan aktiviti ketenteraannya di pulau-pulau yang terletak di kawasan perairan yang menjadi pertikaian boleh dianggap sebagai perlakuan bermusuhan yang memanaskan lagi keadaan di rantau berkenaan.

"Sebagai sebuah rantau yang secara amnya adalah stabil dan aman, pada saya tindakan sedemikian adalah tidak wajar, dan ia menjadikan negara-negara serantau menjadi semakin gusar. Banyak kes telah berlaku sebelum ini, membuktikan bahawa kerisauan mereka adalah berasas.

"Oleh itu, adalah tidak memeranjatkan bila negara-negara di rantau itu kini mula mengambil langkah seperti mengadakan latihan bersama, sebagai sebahagian daripada inisiatif pertahanan mereka.

"Paling hampir kini adalah latihan ketenteraan secara bersama antara AS dan Filipina pada April depan," kata beliau, dan menambah peringatan supaya pihak yang mengambil bahagian dalam latihan sedemikian juga perlu berhati-hati untuk tidak memburukkan lagi keadaan.

"Saya rasa cara terbaik adalah dengan kekal tenang dan teruskan dengan usaha diplomatik bagi meredakan situasi," kata beliau kepada BenarNews.

Manakala bagi penganalisis keselamatan Ramli Dollah pula, beliau berpandangan bahawa perbuatan mempamerkan kebolehan ketenteraan adalah langkah yang betul, selain menggunakan saluran diplomatik bagi mencari penyelesaian.

Tindakan ketenteraan China

Baru-baru ini, China telah menjadikan sekurang-kurangnya tiga daripada pulau buatannya di Laut Cina Selatan sebagai kawasan tentera dengan meletakkan sistem peluru berpandu dan jet pejuang mereka. Pulau terbabit dinamakan Mischief Reef, Subi Reef dan Fiery Cross.

Pemerintah tentera AS di Indo-Pasifik, Laksamana John C. Aquilino memberitahu agensi berita Associated Press bahawa perbuatan China itu mengancam "semua negara yang beroperasi di kawasan sekitar serta seluruh kawasan perairan dan angkasa di situ."

Menurut Inisiatif Ketelusan Maritim Asia di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpusat di Washington, Beijing telah membina sekurang-kurangnya tujuh buah pulau buatan di Laut Cina Selatan, dan menambak kira-kira 3,200 ekar kawasan baru sejak 2013.

Presiden China Xi Jinping sebelum ini memberikan jaminan bahawa China tidak akan menjadikan pulau-pulau tersebut sebagai markas tentera, namun laporan terkini memberikan gambaran sebaliknya.

Pemimpin itu juga tetap menegaskan bahawa negaranya "komited terhadap menjaga keamanan dan kestabilan di Laut Cina Selatan."

Pada 2016, sebuah tribunal antarabangsa yang ditubuhkan di bawah naungan Mahkamah Tetap Arbitrasi di The Hague telah menolak tuntutan China terhadap wilayah di Laut Cina Selatan, dalam keputusan kes yang dibawa oleh Filipina.

China bagaimanapun tidak mengambil peduli keputusan mahkamah berkenaan dan menggelarnya sebagai "kertas sampah", dan meneruskan tindakan ketenteraannya di Laut Cina Selatan.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh