PM Malaysia sedia berunding dengan Beijing mengenai pertikaian Laut China Selatan

Anwar berkata beliau memberitahu rakan sejawatannya dari China Xi Jinping yang Malaysia perlu meneruskan penerokan minyak di ZEEnya.
Gan Pei Ling & Iman Muttaqin Yusof
2023.04.03
Kuala Lumpur
PM Malaysia sedia berunding dengan Beijing mengenai pertikaian Laut China Selatan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) bertemu dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing, 31 Mac 2023.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Malaysia telah memaklumkan kepada China bahawa ia bersedia untuk berunding mengenai pertikaian di Laut China Selatan yang melibatkan tuntutan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin, walaupun penganalisis mengingatkan negara Asia Tenggara itu bahawa ia tidak harus tunduk kepada tekanan ekonomi kuasa besar serantau tersebut.

Anwar berkata beliau memberitahu rakan sejawatannya dari China Xi Jinping semasa lawatan rasmi pertamanya ke Beijing minggu lepas bahawa negara kecil seperti Malaysia memerlukan sumber daripada medan minyak dan gas luar pesisirnya yang terletak dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) di perairan yang dipertikaikan itu.

Sementara itu, badan pemikir Amerika Syarikat pada minggu lepas berkata sebuah kapal Pengawal Pantai China, yang terbesar di dunia, telah melakukan rondaan berhampiran projek gas Kasawari Malaysia di luar pantai Sarawak pada bulan lepas, di mana ia telah mengganggu kapal-kapal negara Asia Tenggara itu.

Anwar membangkitkan tentang projek itu, yang dibangunkan oleh firma milik kerajaan, Petronas, semasa beliau mengadakan perhimpunan bulanan bersama warga jabatannya pada Isnin.

“Dalam perbincangan beberapa isu sensitif seperti Laut China Selatan dengan Presiden Xi Jinping, saya menyatakan bahawa Petronas mempunyai pelantar minyak terbesar yang dibina oleh negara kita dan [akan] meneruskan program cari gali minyak di sana. Ia bertindih dengan wilayah yang dituntut oleh China,” kata Anwar.

“Saya memberitahu beliau bahawa sebagai sebuah negara kecil yang memerlukan sumber minyak dan gas, kita mesti meneruskan [cari gali minyak kita]. Tetapi, kalau syaratnya harus ada rundingan untuk mendapatkan [hak kita], maka kita sedia untuk berunding.”

Anwar pernah menyatakan pendirian yang lebih tegas pada 2019 apabila beliau menggesa negara-negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara supaya bersama-sama mempertahankan wilayah mereka daripada provokasi China di Laut China Selatan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing turut menuntut hak bersejarah di bahagian perairan yang bertindih dengan EEZ Indonesia.

Laut China Selatan adalah satu daripada laluan perairan paling sibuk di dunia dan mempunyai banyak sumber semula jadi. Beberapa ketegangan pernah berlaku di kawasan itu yang melibatkan pertikaian maritim mengenai projek penerokaan minyak dan gas serta hak menangkap ikan.

China menonjolkan kehadirannya di Laut China Selatan dengan menempatkan kapal-kapalnya, sama ada kapal tentera atau bukan tentera, hampir setiap masa di perairan yang menjadi pertikaian itu berhampiran Beting Patinggi Ali, yang dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Luconia Shoals, kata penganalisis.

Malaysia telah menghantar kapal tenteranya untuk memantau sebuah kapal China yang meronda berhampiran projek Kasawari di tenggara Luconia Shoals.

Ketika itu, Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Hasan memberitahu BenarNews bahawa beliau tidak menganggap kehadiran kapal China itu sebagai "pencerobohan" kerana kedua-dua negara mempunyai tuntutan bertindih di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan bahawa wilayah itu berada dalam ZEE Malaysia dan negara Asia Tenggara itu tidak mengiktiraf tuntutan mana-mana pihak lain.

“Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) Washington menyatakan dalam satu laporan pada Khamis bahawa kapal Pengawal Pantai China CCG 5901 tiba di Luconia Shoals pada 17 Februari dan pantas menyedari mengenai operasi yang sedang dijalankan di Kasawari, yang dijadualkan untuk memulakan pengeluarannya pada tahun ini.

Kuala Lumpur sekali lagi menyedari mengenai perkara ini, kata AMTI.

“KD Badik Tentera Laut Diraja Malaysia, yang dalam perjalanan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, telah melakukan persinggahan di Kasawari pada 19 Mac,” menurut laporan AMTI.

"Data AIS sedia ada menunjukkan kapal itu kekal berada di bahagian barat platform untuk mengelak berlakunya pertemuan langsung dengan 5901 di bahagian timur tetapi isyaratnya juga terputus-putus, yang bermakna adanya pertemuan amat dekat berlaku."

Sehingga Khamis, 5901 masih melakukan rondaan di Luconia Breakers, kata AMTI.

'Rekod agak buruk' Beijing

Collins Chong Yew Keat, pemerhati hal ehwal luar negara di Universiti Malaya, berkata rundingan Kuala Lumpur dengan Beijing mungkin memanfaatkan Malaysia, walaupun kenyataan perdana menteri tidak mengandungi butiran jelas mengenainya.

“Ia [China] berkemungkinan bersetuju dengan pendirian yang lebih akomodatif dan pendekatan lebih tenang dalam menangani pertikaian dengan Malaysia, yang mungkin bermakna kurangnya kehadiran kapal pengawal pantai atau mewujudkan talian terus atau kaedah lain, ” kata Chong kepada BenarNews.

"Semua ini adalah dengan harapan untuk mendapatkan kepercayaan dan muhibah dalam usaha memperoleh komitmen dan keyakinan Malaysia untuk melihat China sebagai rakan kongsi nilai sosiobudaya tulen dan berpanjangan serta rakan ekonomi yang penting."

Chong berkata China mungkin melakukan ini untuk memastikan Malaysia berada lebih dekat dengannya berbanding negara barat.

“Ia masih perlu dilihat – dari skop dan tahap rundingan itu – tetapi ia tidak harus berdasarkan kepada asas dua hala kerana Beijing akan mempertaruhkan pengaruh yang semakin berkembang sekarang, menggunakan alat-alat ekonomi dan langkah lain bagi menentukan lebih banyak lagi, syarat yang memihak kepada Beijing,” kata Chong.

China ialah rakan dagangan dua hala terbesar Malaysia sejak 2009. Perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah AS$109 bilion pada 2022 manakala perdagangan AS dengan Malaysia dianggarkan $60.55 bilion pada tahun yang sama.

Indonesia, yang menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, telah memulakan semula rundingan dengan China mengenai kod tata laku di Laut China Selatan. Negara-negara anggota ASEAN dan pegawai-pegawai China telah mengadakan rundingan pertama mereka pada minggu kedua Mac lalu.

Indonesia dan negara ASEAN lain mahu kod tata laku di kawasan pertikaian Laut China Selatan menjadi "berkesan, substantif dan boleh bertindak," kata Jakarta selepas rundingan itu, walaupun pengarah di Kementerian Luar Indonesia Sidharto Suryodipuro mengelak mejawab isu tersebut apabila ditanya sama ada kod tata laku itu akan mengikat pihak berkaitan.

“Kami cuba mengelak daripada menggunakan perkataan mengikat kerana tidak semua pakar undang-undang antarabangsa bersetuju dengan perkataan mengikat. Ia satu konsep yang mungkin bersifat populis tetapi nilai praktikalnya bergantung kepada kandungan dokumen tersebut,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Chong Ja Ian, dari Universiti Nasional Singapura berkata Malaysia harus sedar bahawa China tidak selalu menunaikan janjinya.

"Beijing mempunyai rekod yang agak buruk, seperti kebanyakan kuasa besar," kata Ja Ian kepada BenarNews.

Sebagai contoh, China telah mengingkari janjinya untuk tidak menenterakan kawasan Laut China Selatan yang didudukinya dan ditebus semula, kata beliau.

“Jadi, bagi ASEAN dan negara-negara individu Asia Tenggara, rundingan dan institusi adalah nyata amat berguna dalam menguruskan hubungan dengan China memandangkan adanya asimetri kuasa,” kata Ja Ian.

"Bagaimanapun, adalah penting juga untuk tidak bersikap naif mengenai had urusan ini dan mempertimbangkan perkara-perkara yang di luar jangkaan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.