Follow us

Kapal Peninjau China Tinggalkan Perairan Malaysia

Drake Long
Washington
2020-05-15
E-mel
Komen
Share
Kapal USS Gabrielle Giffords berlayar pada 12 Mei berhampiran kapal penggerudi West Capella, 12 Mei 2020.
Kapal USS Gabrielle Giffords berlayar pada 12 Mei berhampiran kapal penggerudi West Capella, 12 Mei 2020.
[Tentera Laut AS]

Pada hari sama menteri-menteri pertahanan Malaysia dan China saling berhubung melalui panggilan telefon, sebuah kapal peninjau China pada Jumaat meninggalkan lokasi usahanya memberi tekanan yang kontroversi di perairan Malaysia, yang pada satu ketika turut menarik kunjungan kapal perang Malaysia, Australia, dan Amerika Syarikat ke Laut China Selatan.

Kapal peninjau Hai Yang Di Zhi 8 telah beroperasi sejak sebulan lalu di sekitar kawasan yang menempatkan kapal penggerudi yang dikontrak oleh Malaysia, West Capella, dalam apa yang secara meluasnya dilihat sebagai usaha untuk memberi tekanan kepada Malaysia supaya menghentikan eksplorasi minyak di perairan yang turut menjadi tuntutan China- walaupun ia beroperasi dalam 200 batu nautika zon ekonomi eksklusif Malaysia (EEZ).

Perisian penjejakan kapal menunjukkan kapal Hai Yang Di Zhi 8 berlayar keluar dari kawasan itu pada pagi Jumaat-tiga hari selepas West Capella menghentikan operasinya dan berlayar kembali ke Teluk Brunei. Kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan kapal militia maritim yang dikerah mengiringi kapal Hai Yang Di Zhi 8 kini didapati berlayar ke bahagian lain di Laut China Selatan.

Kapal West Capella melakukan eksplorasi sumber di pentas benua Malaysia dan di beberapa bahagian dalam zon tuntutan bersama Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan. Kapal penggerudi itu diberi kontrak untuk meneruskan aktivitinya sehingga 20 Mei, tetapi syarikat pengendalinya mengesahkan pada 12 Mei bahawa ia sudah menyelesaikan tugasnnya dan bergerak meninggalkan kawasan itu.

Langkah kapal Hai Yang Di Zhi 8 beredar dari kawasan itu didapati berlaku kebetulan pada hari sama panggilan telefon menteri pertahanan China Jeneral Wei Fenghe kepada rakan sejawatannya dari Malaysia, Ismail Sabri Yaakob. Mereka membincangkan tentang "kepentingan bersama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa termasuk di Laut China Selatan", menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia. Ismail juga merakamkan “penghargaan kepada China atas sumbangan perubatan negara itu” ketika Malaysia sedang menangani wabak COVID-19 di dalam kawasan sempadannya, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu tidak menyebut mengenai kehadiran kapal peninjau China selama sebulan dalam perairan Malaysia sebelum beredar dari situ pada Jumaat.

Usaha peninjauan kapal Hai Yang Di Zhi 8 adalah satu daripada  siri tindakan provokatif China dalam usahanya untuk menunjukkan penegasan berhubung tuntutan maritimnya ke atas Laut China Selatan. Ini mencetuskan beberapa reaksi daripada Amerika Syarikat. Kapal perang AS dan Australia mengambil bahagian dalam eksesais bersama berdekatan lokasi peninjauan itu pada 18 April, dan AS mengerahkan kapal tempur pesisirnya berdekatan kapal West Capella dalam tiga waktu berbeza dengan yang terakhir adalah pada 12 Mei.

Kehadiran tentera laut AS itu nampaknya tidak meyakinkan Malaysia, yang memantau keadaan itu bersama-sama angkatan lautnya sendiri dan mengeluarkan kenyataan pada 22 April untuk menggesa semua pihak berkenaan supaya tidak mengerahkan kapal pengawal pantai dan kapal tempur ke kawasan itu kerana ia "boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini. "

Malaysia adalah antara lima negara yang membuat tuntutan wilayah di Laut China Selatan selain China yang menuntut hampir keseluruhan wilayah itu. Negara lain ialah Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Lihat Laman Penuh