Keputusan Kerajaan Rayu Hak Warganegara Anak Tidak Masuk Akal, kata LFL

Lawyers for Liberty berkata tiada keperluan lakukan pindaan kerana keputusan mahkamah membawa kuasa undang-undang.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-09-23
Share
Keputusan Kerajaan Rayu Hak Warganegara Anak Tidak Masuk Akal, kata LFL Presiden Family Frontiers Suriani Kempe (kebaya biru) menyerahkan petisyen #TarikBalikRayuan kepada Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah di luar bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 23 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah kumpulan hak asasi tempatan Malaysia pada Khamis menghentam kerajaan negara itu kerana meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan kerakyatan diberi kepada anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara bersama pasangan warga asing.

Lawyers for Liberty berkata mereka maklum mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri sehari sebelum itu bahawa rayuan kerajaan adalah bertujuan membeli masa untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memudahkan urusan kaum ibu rakyat Malaysia dalam hal berkenaan.

"Keputusan mahkamah yang dibuat pada 9 September itu, secara intipatinya adalah perkara sama yang pindaan itu mahu dicapai dari segi undang-undang. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa kerajaan mahu meneruskan rayuan mereka," kata Lawyers for Liberty dalam satu kenyataan.

Badan bukan kerajaan dianggotai peguam yang memperjuangkan hak kebebasan di Malaysia itu merujuk kepada kenyataan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pada Rabu, di mana beliau memberitahu Parlimen bahawa kementerian itu bersimpati dengan nasib wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing dan melahirkan anak di luar negara.

Menteri itu bagaimanapun mendakwa bahawa beliau terikat dengan perundangan sedia ada.

"Kementerian Dalam Negeri bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapatkan polisi baharu untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu yang melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing," kata Hamzah pada Rabu.

Lawyers for Liberty bagaimanapun menempelak kenyataan Hamzah, dan menyifatkannya sebagai satu "alasan tidak masuk akal" oleh kerajaan.

"Tidak ada keperluan untuk memfailkan rayuan kerana keputusan mahkamah yang terkini sudah selari dengan apa yang mahu dipinda. Dan keputusan mahkamah itu membawa kuasa undang-undang.

"Sebaliknya, apa yang patut dilakukan kerajaan adalah memastikan Jabatan Pendaftaran Negara mematuhi penghakiman mahkamah itu sementara pindaan perlembagaan dilaksanakan," kata Lawyers of Liberty.

Sebelum ini, wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing dan melahirkan anak di luar Malaysia tidak boleh mewariskan kerakyatan kepada anak tersebut secara automatik, berbeza dengan lelaki tempatan yang berkahwin wanita asing yang mana anak mereka boleh terus didaftarkan sebagai rakyat Malaysia.

Pada tahun lepas, sekumpulan enam wanita warga Malaysia telah mencabar klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwa secara tidak langsung menyatakan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak memperoleh kerakyatan Malaysia.

Susulan itu, pada 9 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Akhtar Tahir mengumumkan keputusan penghakiman bagi kes tersebut, di mana beliau memutuskan bahawa kumpulan wanita berkenaan telah menjadi mangsa diskriminasi jantina kerana peraturan itu tidak terpakai terhadap lelaki Malaysia yang berada dalam situasi serupa.

"Rasa tidak puas hati plaintif adalah benar… diskriminasi adalah jelas," kata Hakim Akhtar Tahir ketika membacakan penghakiman beliau.

Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa "setiap orang yang dilahirkan di luar Persekutuan... yang bapanya adalah warganegara pada masa kelahiran adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang." Perkataan ‘bapa’ mesti dibaca dan difahami turut merangkumi ibu, kata Akhtar.

Penghakiman yang dibuat mahkamah Kuala Lumpur itu menerima sambutan baik dan diraikan oleh pelbagai pihak, termasuk tiga menteri kabinet kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Petisyen desak tarik balik rayuan

Bagaimanapun, kegembiraan kumpulan ibu yang telah sekian lama terkesan dengan polisi yang menekan mereka itu tidak bertahan lama apabila Pejabat Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Hakim Akhtar Tahir di Mahkamah Rayuan.

Tindakan itu telah menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Family Frontiers, kumpulan sokongan keluarga yang mengetuai usaha mencabar undang-undang tersebut, yang menyifatkan tindakan Putrajaya sebagai satu "pengkhianatan" terhadap hak wanita Malaysia yang sudah lama tertangguh.

Mereka turut melancarkan petisyen untuk mendesak kerajaan menarik balik rayuan tersebut, dan telah berjaya mengumpulkan hampir 30,000 tandatangan setakat Khamis apabila kumpulan berkenaan menyerahkan petisyen mereka kepada Menteri Luar.

Presiden Family Frontiers Malaysia, Suri Kempe dalam ucapannya ketika sesi penyerahan memorandum di luar pagar Parlimen pada Khamis berkata ramai ibu warga Malaysia dan anak mereka telah terseksa sekian lama disebabkan oleh "tafsiran lapuk, bersifat diskriminasi, dan dibuat sewenang-wenangnya" terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Sedangkan di dalam Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, ia menjamin perlindungan dari diskriminasi berdasarkan jantina. Ketidakadilan ini tidak memberikan kewajaran dari segi perundangan, moral mahupun ekonomi pada abad ke-21 ini.

"Mahkamah Tinggi setuju dengan kami, hampir 30,000 penandatangan, Anggota Parlimen dari pelbagai parti serta menteri juga setuju dengan kami. Malah Sultan Johor juga setuju dengan kami.

"Jadi soalan kami kepada kerajaan hari ini ialah, kenapa mahu teruskan dengan rayuan?" persoal Suri.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah ketika menerima memorandum daripada Suri itu berkata bahawa kerajaan akan melihat isu berkenaan dengan terperinci.

"Kerajaan sedia untuk melihat secara terperinci dari segi dasar berkaitan hal ini untuk membantu menyelesaikan dengan sebaik-baiknya.

"Jadi saya yakin esok mesyuarat kabinet akan memperincikan lagi langkah-langkah yang akan dilaksanakan," kata Menteri itu.

Sementara itu, seorang peguam memberitahu BenarNews bahawa kerajaan Malaysia boleh terus menerima pakai keputusan Mahkamah Tinggi dan melaksanakannya walaupun ketika perlembagaan belum dipinda.

Mohd Hafiz Zainol Abidin berkata beliau percaya bahawa tindakan merayu adalah kerana Putrajaya tidak mahu menerima keputusan yang telah dibuat.

"Jika diikutkan, keputusan tersebut sudah boleh berkuatkuasa walaupun tiada pindaan dibuat (terhadap Perlembagaan).

"Cuma kerajaan tidak mahu pakai keputusan itu, tetapi sebagai hak setiap rakyat Malaysia, keputusan Mahkamah Tinggi itu sudah boleh digunakan," kata beliau ketika dihubungi BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh