Aktivis Tayang Dokumentari Perang Saudara Didenda
2017.03.22
Kuala Lumpur
Sebuah mahkamah majistret di Malaysia pada Rabu menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau setahun penjara ke atas seorang aktivis hak asasi manusia kerana menyiarkan dokumentari perang saudara Sri Lanka yang belum mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Malaysia[LPFM], empat tahun lepas.
Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman tersebut ke atas koordinator program Pusat Komsas, Lena Rasathi Hendry, 32 di mana mahkamah majistret yang sama mendapati beliau bersalah pada 21 Februari lepas kerana melakukan perbuatan tersebut pada 3 Julai 2013.
Majistret itu menjatuhkan hukuman tersebut selepas mempertimbangkan bukti dari saksi dan penghujahan daripada peguam bela dan pendakwa raya.
Lena yang membayar denda itu memberitahu, beliau sememang menjangka akan dikenakan denda tetapi bukan dalam jumlah yang terlalu tinggi dan tindakan itu dilihat sebagai satu hukuman bagi perjuangan hak asasi manusia.
Sehubungan itu katanya, beliau dan rakan-rakan aktivis hak asasi manusia akan memperjuangkan hak untuk meminda Akta Penapisan Filem 2002 terutama bagi memastikan bahawa Lembaga Penapisan Filem tidak berlaku sebagai polis dalam menghalang orang ramai daripada menonton sebarang filem atau dokumentari.
``LPFM perlu memberi kebebasan kepada orang ramai untuk menonton apa yang mereka hendak tonton dan tidak harus mengenakan sekatan, sekiranya ini berterusan ia merupakan satu tindakan mengawal hak asasi manusia dan hak untuk bersuara,`` tegasnya pada Rabu
Peguam Lena, New Sin Yew berkata, pihaknya akan membuat rayuan terhadap hukuman dan denda yang dijatuhkan ke atas Lena memandangkan hukuman tersebut tidak setimpal.
Katanya, ini adalah masalah yang dihadapi oleh mana-mana pejuang hak asasi manusia di mana undang-undang melibatkan Akta Penapisan Filem 2002 terlalu luas.
``Saya berpendapat perjuangan hak asasi manusia, tidak harus dihukum dan berharap tidak akan ada mangsa lagi yang didapati bersalah kerana menayangkan filem-filem dokumentari hak asasi manusia,`` katanya pada Rabu.
Timbalan Pengarah Bagi Asia Human Right Watch (HRW), Phil Robertson dalam kenyataan media berikutan hukuman terhadap Lena berkata, beliau bimbang bahawa kerajaan Malaysia akan terus menerus menjatuhkan hukuman keatas kumpulan hak asasi manusia yang menayangkan filem atau dokumentari mengenai hak asasi manusia.
``Realitinya Lena tidak harus berdepan dengan dakwaan ini sejak awal lagi, dan sabitan ke atas beliau harus digugurkan, dan ini contoh terbaik bagi pendakwaan terpilih yang berlaku di Malaysia,`` kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Rabu.
Pada 21 Februari lepas Mohd Rehan mendapati Lena bersalah dengan berkata bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan menetapkan 22 Mac untuk menjatuhi hukuman dan melanjutkan tempoh jaminan terhadap tertuduh.
Pada Mac tahun lepas, mahkamah yang sama telah membebaskan Lena tetapi pada 21 September tahun yang sama sebuah mahkamah tinggi mengetepikan perintah itu dan mengarahkan tertuduh untuk membela diri.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Shariff Abu Samah mendapati terdapat kes prima facie terhadap kes tersebut.
Pada 3 Julai 2013, beberapa pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Malaysia menangkap Lena dan dua lagi rakannya dari KOSMAS, di dalam satu serbuan apabila mereka cuba menayangkan dokumentari kontroversi yang tidak ditapis itu.
Tayangan itu diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela di ibu negara Kuala Lumpur.
Dokumentari 'No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka' terbitan sebuah syarikat perfileman United Kingdom memaparkan penindasan berpanjangan yang didakwa telah dilakukan oleh kerajaan Sri Lanka terhadap rakyat negara itu.
Kerajaan Sri Lanka yang menafikan penindasaan itu, cuba untuk menghentikan tayangan dokumentari berkenaan, walaupun tayangannya telah dibuat secara meluas di peringkat antarabangsa sebagai usaha memberitahu dunia mengenai jenayah perang dahsyat yang berlaku di negara itu sekitar tahun 2009.
Filem berkenaan juga telah menyakinkan perwakilan Majlis Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melancarkan siasatan ke atas peristiwa di mana puluh ribuan masyarakat Tamil, Sri Lanka yang tidak bersalah dipercayai terbunuh selepas diserang oleh tentera kerajaan negara itu.
Sebelum filem dokumentari itu ditayangkan, pihak Kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur cuba menghentikannya dengan meminta pihak Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor agar tidak membenarkan tayangan itu dibuat di dewan berkenaan.
Pada 19 September 2013, Lena telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (b) Akta Penapisan Filem 2002 kerana menayangkan satu dokumentari tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM30,000 atau kedua-duanya.
Peruntukan undang-undang Malaysia, melarang mana-mana filem atau bahan publisiti filem yang tidak diluluskan, berada dalam simpanan atau dipamerkan.
Baru-baru ini timbul kontroversi mengenai penayangan filem Beauty And The Beast di Malaysia apabila Walt Disney bertegas tidak mahu menayangkan filem berkenaan jika babak gay dipotong.
LPFM pula menyatakan, mereka meluluskan tayangannya tetapi perlu membuat sedikit suntingan kerana filem terbabit mempunyai unsur LGBT, selain memberikannya klasifikasi P13.
Filem yang diangkat daripada kisah dongeng kurun ke-18 tulisan Jeanne-Marie Leprince de Beaumont itu mencetuskan kontroversi apabila pengarahnya, Bill Condon, memberitahu majalah Attitude, watak Le Fou lakonan Josh Gad ialah seorang lelaki gay.
Bagaimanapun filem itu kini mendapat kelulusan untuk tayangan tanpa sebarang suntingan dan Pegawai Pemasaran Studio Entertainment, The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn Bhd, Szujane Ng, berkata filem itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mac ini.