Peraturan Levi Baru: Majikan Malaysia Tidak Puas Hati
2017.01.06
Kuala Lumpur
Keputusan kerajaan Malaysia yang mengenakan peraturan baru terhadap majikan yang ingin menggajikan pekerja asing melalui Komitmen Mandatori Majikan (EMC), dengan mensyaratkan majikan membayar levi pekerja asing mereka telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan industri perniagaan dan mahu syarat itu dimansuhkan.
Ramai tidak berpuas hati dengan syarat baru itu kerana ia tidak dibincangkan terlebih dahulu dengan penggiat industri sebelum dikuatkuasakan. Langkah tersebut juga dijangka boleh menambahkan kos bagi pengguna dalam tempoh jangka masa panjang.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan memberitahu BeritaBenar, sepucuk surat rasmi yang mewakili 159 persatuan perniagaan di seluruh negara telah dihantar kepada Perdana Menteri Najib Razak pada Selasa, untuk meminta peraturan baru itu dimansuhkan.
"Kami mahu kerajaan memansuhkan langkah baru itu, kerana ia akan memberi kesan serius terhadap ekonomi tempatan dan membebankan majikan dan pengguna,” tambah beliau.
Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 31 Disember lepas telah mengumumkan bahawa majikan bertanggungjawab membayar levi pekerja asing mereka di bawah EMC yang berkuatkuasa mulai 1 Januari lalu.
Melalui syarat baru itu, majikan tidak lagi dibenarkan untuk membuat potongan gaji pekerja asing mereka bagi menampung pembayaran levi, sebaliknya bebanan pembayaran berada diatas bahu majikan.
“Perubahan dasar ini bermakna majikan perlu bertanggungjawab dalam menjaga pekerja mereka sekali gus mengelak isu pekerja asing lari, bertukar sektor secara haram serta tinggal lebih masa dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI),” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri seperti dilaporkan media tempatan baru-baru ini.
Tenaga kerja pekerja asing yang berdaftar secara sah berjumlah lebih 2 juta orang tetapi dipercayai lebih 1 juta lagi merupakan pekerja asing tanpa izin.
Ahmad Zahid berkata komitmen itu berkuatkuasa dari peringkat permohonan sehingga pekerja asing dihantar pulang ke negara asal mereka.
Malaysia sejak kebelakangan ini telah dicemari dengan dakwaan bahawa pekerja asing tidak dibayar gaji mengikut tangga gaji sepatutnya, adanya sekatan pergerakan oleh majikan yang turut menyimpan pasport mereka.
Peraturan baru itu dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk meningkatkan reputasi Malaysia yang kerap dianggap sebagai hab penyeludupan manusia di rantau berkenaan.
Kerajaan dijangka mendapat RM2.5 bilion setahun di bawah peraturan pembayaran levi baru itu, kata Ahmad Zahid.
Pada Febuari tahun lepas, kerajaan juga memperkenalkan kadar baru levi bagi setiap pekerja asing yang dibawa masuk yang turut mendapat bantahan daripada peneraju industri terutamanya yang berasaskan buruh
Ahmad Zahid pada masa itu mengumumkan bermula 1 Februari 2016, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan meningkat sehingga dua kali ganda iaitu antara RM1,250 kepada RM2,500 manakala bagi sektor perkhidmatan juga mengikut kadar levi yang baru berbanding RM1,850 berbanding sebelum ini.
Sektor perladangan dan pertanian pula perlu membayar RM1,500 yang bagaimanapun, tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing apabila kadarnya kekal pada tahap RM410.
Dalam pada itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berhujah bahawa peraturan baru itu akan menyebabkan industri berkenaan perlu membayar sehingga RM90 juta setahun bagi levi sahaja.
"Langkah ini sekaligus membolehkan pekerja asing menghantar wang pulang ke negara asal dengan lebih banyak dengan anggaran sehingga RM5 bilion setahun selain menyebabkan wang tunai mengalir keluar dari negara, " kata Presidennya, Denis Low Jau Foo.
Parti MCA turut menyertai korus mendesak kerajaan supaya mempertimbangkan langkah berkenaan yang dilihat membebankan sektor perniagaan di negara itu.
"Dasar ini bermakna pekerja asing aka mendapat tambahan kira-kira 15 peratus dalam gaji mereka , dan ia juga boleh menjadi penyebab kepada permintaan gaji yang tinggi oleh penduduk tempatan, yang sekaligus boleh membebankan perniagaan yang kini sudah terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi," kata Timbalan Pengerusi Pemuda MCA Chris Lee Ching Yong.
Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP) pula memohon agar kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan, bagi mencari pendekatan yang lebih holistik dalam kemelut ekonomi kini.
Presidennya Raja Zulkepley Dahalan berkata, keputusan mendadak itu telah meresahkan para majikan dalam pelbagai industri kerana ia bukan sahaja membebankan kos operasi, tetapi juga berisiko ekoran kesukaran mendapatkan pekerja asing yang sah.
"Jika dasar baharu ini berterusan, saya khuatir bukan sahaja pekerja asing akan 'lari' dari sini, malah operasi syarikat-syarikat besar juga mungkin akan beralih ke negara yang lebih murah urusan pengambilan pekerja asingnya seperti di Kemboja dan Vietnam," jelas beliau seperti dilaporkan oleh media tempatan.
Peraturan baru
Pengarah Eksekutif Persatuan Pengeluar-pengeluar PertanianTanah Melayu (Mapa) Mohamad Audong memberitahu BeritaBenar, syarat baru kerajaan itu tidak memberi kesan kepada industri berkenaan kerana syarikat perladangan di bawah persatuan itu sudah membayar levi sebelum ini.
"Walaupun kami diberi pilihan untuk memotong gaji pekerja asing untuk membayar levi, tetapi kami tidak berbuat demikian dan apabila kerajaan melaksanakan pembayaran gaji minima pada 2012, kami telah diberi pilihan untuk menolak pembayaran levi dari gaji pekerja. Pada masa itu, semua majikan membuat bayaran bagi pekerja, kecuali industi perladangan," katanya.
Gaji minima di Malaysia berbeza bergantung kepada negeri di mana pekerja itu berkerja, sebanyak RM1, 000 bagi gaji minima di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak, yang berkuatkuasa 1 Julai tahun lepas, dan ini termasuk pekerja asing.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengalu-alukan peraturan baru itu dengan berkata majikan akan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja mereka dengan turut memberi amaran kepada pihak berkuasa bahawa majikan akan cuba mendapatkan semula bayaran levi daripada pekerja mereka.
"Pihak penguatkuasaan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang menempatkan pekerja mereka ditempat yang sesak, kerana langkah tersebut sangat bahaya, tidak bersih dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit timbul sehingga boleh membawa maut,” kata MTUC dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Seorang pekerja asing dari Bangladesh, Mohammad Rakib, 44, berkata, peraturan baru itu membolehkannya mempunyai lebih wang bulanan dan dapat menghantarnya kembali kepada keluarganya.
"Ada duit lebih dan tidak bayar levi, dapat bantu menampung pendidikan tinggi anak sulung saya," Rakib, seorang atendan stesen minyak yang telah bekerja di Malaysia selama lima tahun memberitahu BeritaBenar.