Mulai 1 Januari Majikan Perlu Bayar Levi Pekerja Asing

Hata Wahari
2017.12.21
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
levi.jpeg Buruh asing yang sedang bertugas di tapak pembinaan Legoland Malaysia di Johor Bahru, Johor, 25 April 2012.
AFP

Selepas ditangguhkan selama setahun, kerajaan Malaysia kini mahu kos pembayaran levi pekerja asing yang terpaksa ditanggung oleh majikan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, walaupun masih kurang mendapat sambutan daripada para majikan dan persatuan mewakili majikan.

Kementerian Sumber Manusia pada Rabu dalam satu kenyataan telah mengumumkan bahawa setiap majikan wajib membayar levi keatas pekerja warga asing mereka, yang akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari depan, selepas perlaksanaan itu yang sepatutnya bermula pada 1 Januari lalu ditangguhkan, selepas sepuluh hari ianya diperkenalkan awal tahun ini.

“Melalui pelaksanaan dasar ini, semua majikan di seluruh Malaysia perlu menanggung pembayaran levi bagi pekerja asing baharu mereka atau pekerja asing yang telah memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat Rabu.

Kadar levi yang dikenakan adalah di antara RM410 hingga RM1,850 mengikut sektor, antaranya perkilangan, pembinaan perkhid­matan, perladangan, pertanian dan juga pembantu rumah yang merupakan permintaan paling popular di negara itu.

Dalam reaksi kepada BeritaBenar, Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata bayaran levi dikenakan adalah membebankan dan akan meningkatkan kos dan, dalam situasi ekonomi yang amat mencabar pada masa ini terutamanya, tahun depan.

Tambahnya, majkan kini terpaksa menanggung pelbagai bayaran bagi seorang pekerja asing termasuklah Skim Bencana Pekerja (EIS), kos cuti bersalin, pemeriksaan kesihatan, perumahan serta kos menghantar pulang untuk pekerja asing.

“Kesemua kos yang ditanggung ini hanya akan melemahkan daya saing dalam kalangan majikan, oleh itu kami berharap kerajaan dapat memberi ruang bernafas dan mempertimbangkan semula kos yang dikenakan supaya para majikan boleh menjaga kebajikan pekerja asing mereka dengan lebih baik,” kata Shamsuddin kepada BeritaBenar pada Khamis.

Bekas Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Saw Choo Boon juga mempunyai pendapat yang sama dengan berkata, langkah kerajaan menetapkan bahawa majikan  bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembayaran levi pekerja asing mereka itu telah menambahkan bebanan sedia ada kepada majikan.

“Syarikat-syarikat di Malaysia terpaksa menangung bayaran levi dan pelbagai kos lain terhadap pekerja asing yang dianggarkan lebih RM4 bilion setahun dan ini akan menyebabkan penambahan terhadap kos pengeluaran sebanyak 3.5 peratus yang sekaligus boleh menyebabkan peningkatan kepada harga barangan kepada pengguna,” katanya.

Berlainan dengan, Timbalan Presiden I Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Zainal Ismail yang menyambut baik tindakan kerajaan itu sambil berharap yang pihak majikan bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pekerja asing mereka.

“Pelbagai isu yang terjadi kepada pekerja asing seperti pembayaran gaji yang tidak konsisten, ditipu ejen dan sindiket, dan ini semua sangat merugikan, disebabkan itu, pelaksanaan levi pekerja oleh majikan, banyak membantu kebajikan pekerja asing dengan lebih terjamin dan kami sangat berharap yang pihak majikan tidak memberi pandangan satu sudut sahaja dalam hal berkaitan ini,” tambah Zainal.

Sebelum ini, pada 31 Disember 2016, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa majikan akan bertanggungjawab membayar levi pekerja asing melalui peraturan di bawah Dasar Komitmen Mandatori Majikan (EMC) mulai 1 Januari 2017.

Namun pada 11 Januari 2017, pelaksanaan tersebut ditangguhkan kepada 1 Januari 2018 selepas mendapat maklum balas serta permintaan daripada pertubuhan majikan berkenaan keperluan membayar levi selepas pengumuman EMC.

“Namun setelah menerima pandangan dan maklum balas daripada pertubuhan-pertubuhan majikan dan mengambil kira kos menjalankan perniagaan, tempoh penyesuaian industri dan pengurusan sumber manusia masyarakat, Kerajaan telah memutuskan supaya majikan di seluruh Malaysia adalah bertanggungjawab untuk membayar levi pekerja mulai 1 Januari, 2018,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia itu.

Tambah kenyataan itu, ketetapan dasar berkenaan turut terpakai kepada majikan-majikan yang telah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum dasar ini dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari tahun 2017 dan akan tamat tempoh pada tahun 2018,” kata kenyataan itu.

Termaktub dalam dokumen Employers Undertaking

Kebanyakan majikan Malaysia memotong gaji atau mengarahkan pekerja terbabit membayar levi tersebut sebelum dasar ini dikuatkuasakan.

“Ketetapan pembayaran levi oleh majikan adalah termaktub dalam dokumen Employers Undertaking yang perlu ditandatangani oleh majikan sebelum dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing.”

“Jika perkara itu tidak dipatuhi, tindakan tegas akan dikenakan ke atas majikan kerana gagal mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar yang telah ditetapkan berhubung pembayaran levi pekerja asing itu,” kata kenyataan itu lagi.

Bayaran levi yang dikenakan untuk Semenanjung Malaysia mengikut sektor ialah RM1,850 bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan, RM640 bagi sektor perladangan dan pertanian serta RM410 bagi sektor pembantu rumah.

Bagi Sabah dan Sarawak, levi untuk sektor perkhidmatan adalah RM1,490, perkilangan dan pembinaan (RM1,010), perladangan (RM590), pertanian dan pembantu rumah (RM410).

Statistik Jabatan Imigresen Malaysia setakat November tahun ini  menunjukkan seramai 1,732,944 pekerja asing berdaftar, dengan warga Indonesia mempunyai rekod paling tinggi iaitu 707,181 diikuti Nepal (385,320), Bangladesh (222,868), Myanmar (121,050), India (113,628), Pakistan (58,957), Filipina (55,120), Vietnam (26,387), China (17,516), Thailand (14,650), Sri Lanka (5,613), Kemboja (4,621) dan Laos (33).

Berpuluh-puluh ribu rakyat Bangladesh, Myanmar dan negara Asia lain telah berhijrah ke Malaysia untuk  melakukan pekerjaan yang berisiko tinggo serta merbahaya di sebuah negara yang makmur, dengan harapan untuk  membina kehidupan lebih baik.

Melalui peraturan baru itu, kerajaan dijangka memperolehi pendapatan kira-kira RM2.5 bilion (AS$ 558 juta) daripada pembayaran levi setiap tahun, menurut Ahmad Zahid, yang merupakan juga Menteri Dalam Negeri.

Semasa mengumumkan syarat EMC pada 31 Disember lepas, Ahmad Zahid berkata, langkah berkenaan memerlukan majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing yang diupah yang sekaligus dapat mengelak isu pekerja asing melarikan diri, bertukar sektor secara haram serta tinggal melebihi tempoh atau menjadi pendatang tanpa izin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.