KKM Ubah Butiran Peraduan Selepas Pertemuan dengan Aktivis Gay
2017.06.08
Kuala Lumpur
Kementerian Kesihatan Malaysia berkata pada Khamis bahawa ia telah menambah baik pertandingan videonya mengenai kesihatan seksual dengan mengeluarkan istilah "kecelaruan identiti gender" daripada satu kategori selepas kemarahan dari kumpulan gay dan lesbian di negara ini majoriti Islam.
Kementerian itu berkata, ia telah mengubah satu daripada kategori bagi pertandingan video dalam kalangan orang muda dan memansuhkan garis panduan mengenai "pencegahan homoseksualiti" susulan satu pertemuan antara pegawai-pegawai kesihatan dan pemimpin komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta kumpulan lain.
“Perbincangan ini berjaya menyelesaikan salah faham yang timbul dan penambahbaikan bersama telah dilakukan terhadap syarat-syarat pertandingan tersebut,” kata Lokman Hakim Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah kementerian itu dalam satu kenyataan.
Diiklankan dalam laman web dan laman Facebook Kementerian Kesihatan, pertandingan itu mencetuskan kemarahan kalangan aktivis yang berkata bahawa ia boleh mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap komuniti LGBT.
Pada Khamis, kementerian itu menyatakan bahawa kategori berkenaan ditukar kepada "gender dan seksualiti", "kesihatan reproduktif" dan "seks siber."
Pegawai-pegawai berkata, pertandingan itu bukan bertujuan mendiskriminasi komuniti LGBT, tetapi untuk meneroka pandangan dalam kalangan remaja dan mengenal pasti isu-isu kesihatan yang lain. Pertandingan itu meminta peserta berusia 13 hingga 24 tahun untuk mengemukakan klip video, dan menawarkan hadiah wang tunai kira-kira US$1,000.
Menangani kesilapan
Tetapi, langkah terbaru Kementerian Kesihatan itu tidak memberi kesan kepada komuniti LGBT.
"Semuanya sekadar menangani kesilapan," kata Neo Redzuan, seorang aktivis dan ahli komuniti LGBT, kepada BeritaBenar. "Tidak ada apa-apa kekeliruan tentang kata-kata atau istilah. Ia adalah sangat jelas tentang apa yang mereka mahu lakukan.
"Berita mengenai pertandingan ini terdapat dalam semua berita antarabangsa, jadi ia adalah langkah 'menjaga air muka’ yang terbaik," katanya.
Pada Rabu, seorang pembikin filem dan seorang pelawak tempatan melancarkan satu pertandingan yang bertujuan menghantar mesej positif kepada komuniti LGBT Malaysia.
Jared Leedari Grim Film Productions dan pelawak Jason Leong menggesa para peserta untuk membuat klip video berdurasi tiga minit dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina dengan bertemakan "Pro LGBT."
"Kami percaya dalam membuat pendirian bahawa adalah tidak salah untuk berada di dalam komuniti LGBT,” kata Lee kepada The Insight Malaysia, penyedia berita dalam talian.
"Komuniti LGBT tidak boleh disegmentasikan dan mereka tidak perlu takut," kata Lee.
Malaysia mengekalkan larangan jenayah era penjajahan terhadap liwat, yang ditakrifkan dengan meluas sebagai perbuatan homoseksual, dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau hukuman lain seperti sebatan.
Pada Mac lalu, pihak berkuasa Malaysia menangguhkan pelepasan filem terbitan Disney, "Beauty and the Beast", kerana kandungannya yang berkaitan gay. Tetapi Disney enggan tunduk kepada tuntutan kerajaan supaya memotong adegan watak gay, LeFou, dan filem itu akhirnya ditayangkan tanpa sebarang penapisan.