Putrajaya Arah Kerajaan Negeri Henti ‘Promosi’ Ikon LGBT

Lex Radz & Hadi Azmi
2018.08.08
Kuala Lumpur, Malaysia
180808-MY-LGBT-1000.jpg Gambar Nisha Ayub (kiri) dan Phang Khee Teik yang dipamerkan pada Festival Georgetown di Pulau Pinang yang diturunkan selepas mendapat gesaan Putrajaya dan orang awam, 8 Ogos, 2018.
[Ihsan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago]

Kerajaan baru Pakatan Harapan sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mengarahkan gambar aktivis  lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) di tarik daripada pameran seni di Festival Georgetown yang sedang berlangsung di Pulau Pinang, dengan pengkritik mendakwa ianya adalah satu tindakan yang bersifat diskriminasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Farizan Darus mengaku yang beliau telah  mengarahkan penarikan gambar tersebut - yang merupakan sebahagian daripada pameran selama sebulan untuk merayakan rakyat Malaysia yang membantu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum Mei lalu, selepas menerima aduan daripada Jabatan Perdana Menteri dan orang awam.

"Saya menerima banyak aduan daripada orang awam dan Jabatan Perdana Menteri Isnin lalu, dengan itu saya meminta Festival Georgetown untuk mengalihkan gambar tersebut ," kata beliau kepada wartawan di sidang Dewan Undangan Negeri di Georgetown pada Rabu.

Kedua-dua gambar tersebut merupakan sebahagian daripada 20 bahan pameran seni di Dewan Sri Pinang, yang dianjurkan sempena perayaan kemerdekaan negara berlangsung daripada 4 Ogos hingga 2 September depan.

Arah turun gambar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Agama, Mujahid Yusof Rawa mengakui beliau telah membuat aduan berkenaan kerana bimbang dengan promosi LGBT pada acara tersebut.

Beliau berkata walaupun Pakatan telah menegaskan tidak mahu masuk campur dengan hal LGBT selagi tidak melanggar undang-undang, ia tidak bermaksud untuk membiarkan promosi golongan berkenaan.

“Kita sudah berulang kali kata yang kita tidak akan masuk campur urusan LGBT atau sebaliknya.  Bagaimanapun, kita kena ambil tindakan jika mereka melanggar undang-undang dan menyakiti perasaan orang lain,” katanya kepada media di Parlimen pada Rabu.

Beliau menambah, "Untuk menghormati polisi, bagi saya jika awak letak gambar dengan simbol (LGBT) dan dituliskan pula (sebagai) aktivis LGBT, (dan) jika ia bukan satu promosi, beritahu saya maksudnya… Malah pameran itu sendiri adalah satu bentuk promosi,”

Bulan lalu, Mujahid menolak gesaan untuk menghukum golongan LGBT oleh pihak muslim konservatif daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kerana dosa mereka merupakan dosa peribadi.

Menteri itu telah membuat ulasan yang mengejutkan dengan menggesa orang ramai supaya berhenti mendiskriminasi golongan LGBT di tempat kerja selagi mereka tidak mendedahkan seksualiti masing-masing secara terbuka.

Semua orang termasuk komuniti LGBT mempunyai hak dan kebebasan yang sama, kata Mujahid Yusof Rawa kepada pemberita.

Susulan ulasannya itu, Mujahid dikritik ahli politik dan tokoh agama Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, dengan Islam adalah agama rasmi dan perlakuan homoseksual seperti liwat adalah diharamkan dan boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.

"Tidak seorang pun harus didiskriminasi di tempat kerja atau dihalang daripada bekerja," kata Mujahid, yang juga Anggota Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah). Beliau meninggalkan PAS yang konservatif untuk menyertai Amanah berkata, golongan LGBT haruslah bebas untuk bekerja.

"Selagi mereka boleh bekerja dan mereka tidak cuba untuk mencabar sistem di mana ia boleh membawa kerosakan kepada Islam, oleh itu, tidak ada masalah," kata menteri itu kepada pemberita di Parlimen pada Julai lepas.

LGBT telah menjadi isu yang mencengkam sebuah negara majoriti Muslim yang amat sensitif dengan agama mereka dan menjadi homoseksual atau menukar jantina diharamkan menurut undang-undang syariah di Malaysia. Pihak berkuasa agama negeri boleh menangkap dan memenjarakan mereka.

LGBT dilayan sebagai warga kedua

Marina Mahathir, anak perdana menteri Malaysia pernah dicela hebat di media sosial lantaran membuat kenyataan untuk memberi hak kepada golongan LGBT.

Mengulas mengenai penurunan dua gambar aktivis LGBT, Marina seperti dilaporkan  portal berita Free Malaysia Today berkata,” Saya meminta agar gambar saya juga diturunkan atas perpaduan bersama Pang dan Nisha.”

"Saya sangat sedih tentang perkara ini. Apabila orang mengatakan mereka tidak memperlakukan warga LGBT Malaysia sebagai warga kelas kedua, ini adalah bukti yang jelas bahawa diskriminasi wujud, "tambah Marina seperti dilaporkan.

Sisters in Islam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu di Kuala Lumpur mahu Mujahid memberi tumpuan kepada dasar-dasar yang akan menghapuskan diskriminasi dalam skala yang lebih besar, bukan tindakan yang akan menyebabkan ketaksuban di kalangan masyarakat minoriti negara itu.

Satu daripada badan bukan kerajaan NGO hak Islam yang lantang di Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik tindakan menurunkan gambar tersebut oleh Mujahid.

"Saya puji tindakan beliau dan bagi satu markah untuk beliau, cuma pandangan kita supaya semua pihak termasuk kerajaan harus memperkukuh binaan masyarakat yang berkonsep nilai dan akhlak," kata presidennya Abdullah Zaik kepada BeritaBenar, dan ISMA adalah antara NGO yang aktif berkempen menentang Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum lepas.

Sementara itu, Nisha Ayub, aktivis yang gambarnya diturunkan dan juga tokoh transgender yang menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa Amerika Syarikat 2016 semasa mengulas mengenai isu itu meluahkan rasa bimbang, hal berkenaan akan mengasingkan lagi komuniti yang sedia terasing di Malaysia.

"Adakah saya meminta gambar saya dipamerkan dalam pameran? Tidak saya tak minta. Tapi saya gembira menjadi sebahagian daripada pameran yang menunjukkan saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Sekarang saya rasa seperti tidak dipedulikan lagi di negara kelahiran saya," tulis beliau di laman media sosial Facebooknya.

Aktivis LGBT Phang Khee Teik turut melahirkan pendapat serupa dan memberi petikan daripada allahyarham Yasmin Ahmad yang turut dikecam oleh sebahagian orang Melayu di negara itu kerana beliau sendiri adalah dari golongan LGBT.

"Ia seperti mencintai seseorang yang tidak mengembalikan cintanya," kata beliau dipetik sebuah portal berita.

Bagi jurugambar Moreyameen Mohamad yang menggerakkan pameran itu, beliau berasa terkejut dan tindakan terbaru itu dan sedang memikirkan langkah seterusnya sebagai peminat seni.

"Saya tidak terfikir yang hal seperti ini berlaku di Pulau Pinang, apatah lagi dalam bulan kemerdekaan. Mereka (kerajaan) sepatutnya tidak mengacau orang lain," kata beliau ketika ditanya media.

Exco Wanita, Pebangunan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng meminta agar tiada diskriminasi kepada sesiapa tanpa mengira latar belakang orientasi seksual yang mempromosikan perjuangan mereka sambil berkata “ Kita wajib menghormati perbezaan ini,"

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.