Follow us

Lim Guan Eng, Isteri dan Rakan Mengaku Tidak Bersalah Kes Rasuah RM11.6 Juta

Nisha David
2020-08-11
E-mel
Komen
Share
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersama isteri (dua dari kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang, 11 Ogos 2020.
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bersama isteri (dua dari kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang, 11 Ogos 2020.
[A. Ammarudin/BeritaBenar]

Pemimpin kanan pembangkang yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama isterinya dan seorang ahli perniagaan wanita pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syesen Butterworth di Pulau Pinang atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan kontrak pembinaan asrama pekerja semasa pemimpin itu menjadi Ketua Menteri di negeri tersebut.

Pertuduhan rasuh pada Selasa adalah yang ketiga bagi Guan Eng, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, sejak Jumaat lepas mendakwa beliau adalah pemimpin bebas rasuah dan reputasinya cuba dicemari oleh pemerintah baru.

Guan Eng, 60, isterinya Betty Chew, 56, dan Phang Li Koon, 48, masing-masingan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

"Anda didakwa menyalahguna jawatan ketua menteri Pulau Pinang dan pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 (AS$88,683) bagi isteri Betty Chew melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

"Anda didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 (AS$2.77 juta) yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan," kata jurubahasa ketika membacakan pertuduhan Lim dalam Bahasa Melayu.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos, 2013 dan 3 Mac, 2016 di pejabat Ketua Menteri, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Sebaik selesai pertuduhan dibacakan terhadap Guan Eng, beliau terus berkata "tidak bersalah".

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 (AS$2,383) mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika  sabit kesalahan.

Phang pula didakwa bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng dengan melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Dalam kamar mahkamah yang sama, Chew, yang juga seorang peguam pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009(AS$88,683).

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, isteri bekas ketua menteri itu didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009 (AS$20,742); RM180,000 (AS$42,911) dan RM105,000 (AS25,031) yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober, 2013 dan 4 Ogos, 2014; 3 September, 2014 dan 11 Ogos, 2015 serta pada 4 September, 2015 dan 3 Mac, 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta  sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta(AS$1.19 juta) atau penjara  tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri itu dan Phang, masing-masing diikat jamin RM50,000(AS$11,916) dengan seorang penjamin dan mahkamah telah menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Guan Eng melalui satu hantaran di laman media sosial Facebooknya pada lewat  Selasa menafikan menerima sebarang suapan bagi projek asrama pekerja malah syarikat yang akhirnya diberikan kontrak projek itu juga bukanlah syarikat yang didakwa memberinya rasuah sebanyak RM372,009.

"Pertuduhan terbaru terhadap kami berdua tidak mempunyai asas kerana tender terbuka baru telah dilaksanakan dan Magnificent Emblem Sdn Bhd (MESB) tidak diberikan projek tersebut.

“Mengapa mendakwa kami padahal syarikat lain, dan bukan MESB, yang berjaya mendapat projek tersebut melalui tender terbuka? Jelas ini adalah permainan politik pihak lawan.

Beliau turut meluahkan rasa marah kerana isterinya turut diheret bersama dalam permainan politik lawan.

"Mengapa mengheret isteri saya ke dalam isu ini sedangkan selama ini dia berusaha sendiri sebagai peguam untuk mencari pendapatan halal? Tindakan melibatkan ahli keluarga saya ialah politik balas dendam," katanya lagi.

Professor Sosiologi Politik di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Sivamurugan Pandian berpendapat pertuduhan terhadap Guan Eng mungkin digunakan untuk meraih simpati dalam memperoleh sokongan politik.

"Saya berpendapat isu ini akan berlanjutan hingga pilihanraya umum depan. Guan Eng didakwa sama seperti beberapa pemimpin Barisan Nasional lain sebelum ini. Penyokong partinya akan mendakwa ini adalah percaturan politik tetapi mereka perlu memberi peluang kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengikut peruntukan undang-undang," katanya kepada BeritaBenar.

Katanya lagi, kes ini tidak akan memberi impak kepada penyokong setia parti malah akan meraih undi simpati di kalangan mereka juga.

Guan Eng sebelum ini dihadapkan kedua mahkamah masing-masing di Kuala Lumpur dan juga Butterworth, iaitu pada Jumaat dan Isnin, atas pertuduhan menggunakan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang meminta dan menerima wang suapan bagi projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Beliau didakwa menerima suapan berjumlah AS$ 387,000 (RM3.3 juta) bagi projek itu yang bernilai RM6.3 bilion(AS41.5 bilion).

Beliau dibenarkan ikat jamin RM1 juta(AS$238,350) dengan dua orang penjamin dan pada Isnin, dengan hakim membenarkan jaminan dilaksanakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pasport antarabangsa serta pasport diplomatik diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Rayuan menambah hukuman Najib

Sementara itu, di Kuala Lumpur, pihak pendakwaan memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara 12 tahun dan jumlah denda RM210 juta dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC Sdn Bhd, demikian menurut agensi berita nasional Malaysia - Bernama.

Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan notis rayuan telah difailkan menerusi e-filing pada Jumaat lepas.

"Kami (pihak pendakwaan) memfailkan notis rayuan terhadap semua hukuman dan denda yang diputuskan Mahkamah Tinggi," katanya seperti dipetik Bernama.

Dalam pada itu, sumber Jabatan Peguam Negara memberitahu BeritaBenar, pemfailan rayuan adalah perkara biasa yang dibuat dan menurut prosedur mahkamah, pihak peguam bela dan pendakwaraya boleh mengemukakan sebarang rayuan keputusan kehakiman dalam tempoh 14 hari selepas ianya dibuat oleh Hakim.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah dalam kes rasuah melibatkan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International.

Pemimpin politik itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, masing-masing bagi tiga kes pecah amanah dan tiga kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dengan denda RM210 juta atau lima tahun penjara jika gagal membayarnya bagi kes salah guna kedudukan.

Najib, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Hakim Nazlan juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan kes Najib selesai, tetapi menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta (AS$235,300) serta mengarahkan beliau melapor diri kepada polis dua kali setiap bulan.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh