Follow us

Suapan RM3.3 juta: Bekas Menteri Kewangan Dihadapkan ke Mahkamah Pulau Pinang

Nisha David
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-08-10
E-mel
Komen
Share
Bekas Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng menyapa penyokong semasa tiba di perkarangan bangunan mahkamah bagi menghadpi pertuduhan rasuah di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang, 10 Ogos, 2020.
Bekas Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng menyapa penyokong semasa tiba di perkarangan bangunan mahkamah bagi menghadpi pertuduhan rasuah di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang, 10 Ogos, 2020.
[A.Ammarudin/BeritaBenar]

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng pada Isnin sekali lagi berdepan dengan pertuduhan menggunakan kedudukan beliau yang ketika itu sebagai Ketua Menteri untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta (AS$ 387,000), dengan kali ini di sebuah mahkamah di negeri yang pernah ditadbirnya di Pulau Pinang.

Guan Eng 60, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syesen Butterworth, Ahmad Azhari Abdul Hamid.

“Tidak bersalah” kata Guan Eng yang memakai sut hitam sejurus kertas pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Guan Eng, yang merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang telah dilantik untuk melaksanakan projek terowong dan lebuh raya bernilai RM6.3 juta.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Ini adalah kali kedua anak kepada ahli veteran politik DAP, Lim Kit Siang, didakwa berhubung projek yang sama, di mana pada Jumaat lalu beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan bahagian pulau daripada Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam, dengan dijangka bermula pada 2023.

Pertuduhan terhadap Guan Eng dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau  RM10,000 (AS$2,383), mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

Beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta (AS$238,350) dengan dua orang penjamin pada Jumaat lepas dan Hakim Ahmad Azhari membenarkan jaminan dilaksanakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pasport antarabangsa serta diplomatik milik bekas menteri kewangan itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Guan Eng memberitahu media selepas selesai prosiding mahkamah bahawa pertuduhan itu adalah tidak berasas dan beliau akan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

“Pertuduhan itu tidak berasas dan saya akan melawannya di mahkamah dan saya tidak menerima wang,” kata Guan Eng yang ditemani kakaknya Lim Hui Ying dan bapanya Kit Siang.

Isteri Guan Eng, Betty Chew, turut ditahan SPRM pada hari yang sama beliau didakwa di mahkamah untuk membantu siasatan berhubung kaitannya dalam kes rasuah itu dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 11 Ogos.

Bekas menteri kewangan yang ditahan pada malam Khamis, mendakwa beliau tidur di lantai kayu lokap tanpa bantal atau tilam tidak seperti bekas Perdana Menteri Najib Razak dan menggesa SPRM untuk menjelaskan layanan yang disifatkannya sebagai pilih kasih ini.

Guan Eng juga dijangka akan dituduh di mahkamah sama mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 bersama isterinya Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon pada Selasa.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng telah didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran tetapi mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan itu pada 3 Sept 2018.

Lihat Laman Penuh