Bicara Rasuah Guan Eng Bermula Dengan 11 Saksi
2018.03.26
GeorgeTown, Malaysia
Perbicaraan kes rasuah, melibatkan tokoh pembangkang yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan, bermula pada Isnin dengan 11 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu dan ahli perniagaan Phang Li Koon didakwa atas pertuduhan berhubung dengan penukaran status tanah dan pembelian sebuah banglo oleh Guan Eng di bawah nilai pasaran.
Perbicaraan selama 23 hari ini dijangka akan menarik minat pelbagai pihak terutama menjelang pilihan raya umum yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Najib Razak.
Penyokong dan ahli pembangkang berkata Guan Eng adalah mangsa politik kerana pentadbirannya di negeri berkenaan selama 10 tahun dianggap bersih dan cekap.
Guan Eng, anak kepada pemimpin pembangkang veteran Lim Kit Siang, telah menerajui Pulau Pinang, sebuah daripada tiga buah negeri di Malaysia yang ditadbir oleh pembangkang. Beliau telah menyerang Najib berhubung dengan dakwaan penglibatan Perdana Menteri dalam skandal rasuah dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sejak Julai 2015, Najib berdepan dengan gesaan supaya meletakkan jawatan berikutan dakwaan hampir RM2.6 bilion [AS$700 juta] yang dikaitkan dengan 1MDB dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya. Perdana menteri itu enggan berundur, dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil apa-apa wang untuk kepentingan peribadi.
Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Najib daripada semua dakwaan salah laku itu.
Pindaan pertuduhan
Perbicaraan pada Isnin bermula dengan pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Guan Eng dan Li Koon dengan kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hadhariah Syed Ismail.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa telah mengunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan awam untuk kepentingan diri sendiri serta untuk isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan daripada Magnificent Emblem Sdn Bhd dalam penukaran status tanah pertanian kepada tanah untuk kediamannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Pindaan bagi pertuduhan itu dibuat bagi menukar ayat sebagai penjawat awam dalam pertuduhan asal kepada seorang pegawai badan awam.
Guan Eng dituduh melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, Georgetown di sini pada 18 Julai 2014.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa bersama Li Koon mengunakan kedudukannya untuk membeli hartanah di No. 25, Jalan Pinhorn daripada Li Koon dengan harga RM2.8 juta, iaitu di bawah paras nilai pasaran hartanah tersebut. Bagaimanapun, nilai hartanah tersebut dianggarkan berjumlah RM4.7 juta.
Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di hartanah tersebut pada 21 Oktober 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pindaan bagu pertuduhan kedua pula menukar tarikh kejadian daripada 28 Julai 2015 kepada 21 Oktober 2015.
Li Koon juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.
Ahli perniagaan wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun yang sama kerana bersubahat bersama Guan Eng berhubung pembelian banglo tersebut.
11 saksi pada hari pertama
Pada perbicaraan hari pertama, seramai 11 orang saksi memberikan keterangan sehingga prosiding tamat pada jam 3 petang.
Tujuh saksi memberi keterangan berhubung kes pembelian banglo itu pada sesi pagi manakala empat saksi termasuk pengurus Public Bank Wilayah Utara 1, Pulau Pinang memberi keterangan pada sesi petang.
Manakala,saksi pertama, seorang pengendali pemasaran media sosial Mohsin Abdul Latif berkata beliau terpanggil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 18 Mac dua tahun lepas setelah menonton perdebatan parlimen mengenai pembelian banglo Guan Eng itu.
Ketika disoal balas oleh peguam Guang Eng, Gobind Singh Deo, Mohsin atau lebih dikenali sebagai “Mamu Parpu” dalam media sosial menafikan perbuatan beliau berbaur politik setelah didapati sentiasa meletakkan hashtag #kamigengNajib dalam muat naik media sosialnya
“Itu hanya bermakna saya merupakan penyokong Perdana Menteri,” katanya di dalam mahkamah
Pada prosiding petang, pengurus bank itu Choong Sung Yean yang juga saksi ke-10 pendakwaan memaklumkan bahawa beliau meluluskan pinjaman perumahan berjumlah RM 2.12 juta yang dibuat Li Koon pada tahun 2008. Choong juga memberitahu bahawa kadar Base Lending Rate (BLR) pinjaman itu adalah 6.7% - 2.2% dengan bayaran bulanan sebanyak RM11, 872.
Kenyataan itu dimaklumkan dalam pemeriksaan balas oleh peguam Li Koon,V. Sithambaram.
Guan Eng dituduh membeli banglo berkenaan di bawah harga pasaran, iaitu RM2.8 juta daripada Phang Li Koon tujuh tahun kemudian, sedangkan harga pasaran telah mencecah RM4.2 juta.
Pada Selasa, mahkamah dijangka mendengar keterangan 14 lagi saksi. Pihak pendakwaan memaklumkan seramai 54 saksi akan dipanggil bagi memberi keterangan dalam perbicaraan ini.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud manakala Guan Eng diwakili Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer manakala V. Sithambaram dan Hisyam Teh Poh Teik bagi pihak Phang Li Koon.