Follow us

Bekas Menteri Kewangan Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Rasuah Projek Terowong

Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-08-07
E-mel
Komen
Share
Lim Guan Eng, bekas Menteri Kewangan dan pemimpin kanan pembangkang Malaysia, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di mana beliau berdepan pertuduhan rasuah berkaitan pembinaan terowong bawah laut di negeri Pulau Pinang, 7 Ogos 2020.
Lim Guan Eng, bekas Menteri Kewangan dan pemimpin kanan pembangkang Malaysia, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di mana beliau berdepan pertuduhan rasuah berkaitan pembinaan terowong bawah laut di negeri Pulau Pinang, 7 Ogos 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Tokoh kanan pembangkang dan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa kerajaan Malaysia cuba mencemarkan imejnya selepas beliau mengaku tidak bersalah pada Jumaat terhadap satu pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut pada 2011, semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Guan Eng hadir di bilik perbicaraan sebuah mahkamah di Kuala Lumpur di mana beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta suapan daripada sebuah syarikat yang dianugerahkan kontrak pembinaan projek jalan-jalan utama dan terowong bernilai AS$1.5 bilion di negeri yang pernah ditadbirnya. Beliau telah bermalam dalam lokap selepas ditahan pada lewat petang Khamis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Biar saya nyatakan di sini bahawa ini adalah satu dakwaan yang tidak berasas dan bermotifkan politik untuk mencemar reputasi serta usaha saya dalam menjalankan peranan sebagai seorang ahli parlimen pembangkang,” kata Guan Eng kepada pemberita selepas didakwa di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Khas Rasuah.

“Kami memerangi rasuah secara serius dan kami tidak mengamalkan rasuah,” kata beliau.

Minggu depan, bekas menteri kewangan itu dijangka berdepan lebih banyak pertuduhan di Pulau Pinang bersama isterinya yang ditahan pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dalam kes berasingan, kata pegawai. Pasangan itu dibebaskan selepas membayar jaminan pada Jumaat.

Mengikut kertas pertuduhan, Guan Eng didakwa meminta suapan sembilan tahun lepas iaitu balasan berupa 10 peratus keuntungan yang bakal diperoleh kelak berkaitan projek terowong dan lebuh raya yang akan menghubungkan Pulau Pinang dengan Semenanjung Malaysia, daripada sebuah syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. Projek itu masih dalam pembinaan.

Hakim Azura Alwi menetapkan jaminan sebanyak RM1 juta (AS$238,700) dan memerintahkan Guan Eng menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. Beliau membenarkan Guan Eng membayar separuh jumlah jaminan itu pada Jumaat dan bakinya pada Isnin.

Jika sabit kesalahan, bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, kata pihak pendakwaan.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan ada kemungkinan tertuduh melarikan diri,” kata Wan Shaharuddin yang mewakili pendakwaan.

Peguam utama Guan Eng, Gobind Singh Deo, mempertikaikan kesesuaian masa kes itu dikemukakan terhadap anak guamnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Ini adalah pertuduhan yang berkaitan dengan insiden yang didakwa berlaku pada 2011, kira-kira sembilan tahun lepas, jadi sudah tentu kita semua tahu bahawa terdapat siasatan dijalankan,” kata Gobind Singh.

“SPRM telah menjalankan siasatan sebelum ini namun ini adalah sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan.”

Isteri dalam tahanan

Sementara itu, isteri Guan Eng iaitu Betty Chew Gek Cheng dijangka hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth di Pulau Pinang pada Selasa, selepas beliau ditahan oleh para pegawai SPRM di negeri itu, menurut peguamnya Lee Khai.

“Beliau akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya kepada BeritaBenar.

Menurut Lee, kes terhadap isteri Guan Eng tidak berkaitan dengan projek terowong bawah laut.

Lee turut mengesahkan bahawa anak guamnya telah dibebaskan selepas membayar jaminan sebanyak RM50,000 ($11,900) kepada SPRM. Beliau telah ditahan pada pagi Jumaat bersama seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon.

Menurut seorang pegawai kanan SPRM yang enggan dinamakan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap kepada pemberita, Phang juga dibebaskan dengan jaminan.

Kedua-dua wanita dan Guan Eng akan didakwa di sebuah mahkamah di Pulau Pinang pada Selasa berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran yang merupakan sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah di pulau itu, kata sumber kepada BeritaBenar.

“Lim akan didakwa meminta dan memberi rasuah, isterinya berdepan dakwaan pengubahan wang haram manakala Phang didakwa bersubahat,” menurut sumber itu.

Guan Eng, yang merupakan Setiausaha Agung pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), menyandang jawatan Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan, selepas memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018 atas platform menyingkirkan kerajaan rasuah selepas timbulnya skandal kewangan membabitkan kecurian berbilion dolar daripada 1MDB, sebuah dana pelaburan negara.

Bagaimanapun, pakatan pemerintah yang dipimpin Mahathir Mohamad tumbang pada akhir Februari susulan pertikaian dalaman. Satu kerajaan baharu yang tidak dipilih rakyat mengambil alih kuasa pada awal Mac dan ditunjangi parti bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang disabitkan minggu lepas atas pertuduhan rasuah berkaitan skandal 1MDB.

Projek terowong sepanjang 4.47 batu (7.2 kilometer) itu bermula pada 2016 di bawah kerajaan Najib sebagai penghubung ketiga antara Pulau Pinang dan negeri lain di tanah besar. Dijangka siap pada 2025, ia bakal menjadi terowong dasar laut pertama di Malaysia.

Lihat Laman Penuh