1MDB: Pemimpin Pembangkang Gesa Keluarkan Laporan Ketua Audit Kepada Umum

Staf BeritaBenar
2016.07.08
Kuala Lumpur
160708-my-limkitsiang-620 Pemimpin veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang (tengah) pada satu perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, Selangor, 8 Mei 2013.
AFP

Seorang pemimpin pembangkang Malaysia pada Jumaat menggesa kerajaan supaya mendedahkan kepada umum laporan Ketua Audit Negara berkaitan skandal kewangan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengeluarkan gesaan itu sehari  selepas sebuah portal berita pemberi maklumat British, The Sarawak Report, menerbitkan satu artikel yang mengatakan bahawa berbilion-bilion dolar daripada 1MDB telah lesap.

Portal berita itu menyiarkan salinan laporan Ketua Audit Negara yang dibocorkan, mengenai dana pelaburan bermasalah itu, di mana dokumen berkenaan telah disembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi Malaysia.

Meulis di blognya, Kit Siang meminta supaya laporan Ketua Audit Negara itu didedahkan kepada umum di mana mempersoalkan sama ada parlimen Malaysia telah dinafikan peluang untuk membuat pertimbangan samada Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) telah menjalankan tugasnya dengan baik ketika menyiasat kes 1MDB.

Perdana Menteri Najib Razak kini didakwa terlibat dengan skandal rasuah sejak Julai tahun lalu, apabila laporan berita mendakwa bahawa hampir AS $700 juta dana 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013.

Sebagai langkah pertama, Ketua Audit Negara perlu siarkan laporan mengenai 1MDB yang telah dikemukakan kepada PAC dengan serta-merta kepada awam, sekaligus membolehkan ahli-ahli parlimen membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau menuntut siasatan oleh PAC dilanjutkan. Siasatan tersebut perlu merangkumi semua aspek dan tidak hanya menyentuh sebahagian kecil daripada skandal global 1MDB, Lim menulis di dalam blognya.

Jawatankuasa itu membentangkan laporan Ketua Audit Negara kepada Parlimen pada April lepas, tetapi tidak mengambil tindakan undang-undang atas alasan bahawa dokumen itu telah diklasifikasi berada di bawah Akta Rahsia Rasmi Negara.

"Maklumat boleh didapati secara terbuka berhubung skandal 1MDB yang merupakan satu jenayah kejam, penyelewengan global, pengubahan wang haram dan skandal rasuah," kata Lim dalam blognya itu.

"Sejauh manakah seorang Perdana Menteri, Menteri Kewangan, ahli-ahli Kabinet, ahli- ahli Parlimen, PAC, penguatkuasa undang-undang seperti agensi penyiasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis, Bank Negara, dan Jabatan Peguam Negara, boleh terus memainkan peranan kolektif seperti tiga ekor monyet yang buta, pekak dan bisu?,” Kit Siang bertanya.

1MDB sedang disiasat atas dakwaan pengubahan wang haram dan penyelewengan di Malaysia dan juga di beberapa negara lain. Peguam Negara Malaysia telah membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku, sambil Perdana Menteri itu terus menafikan salah laku atau mengambil wang 1MDB untuk keuntungan peribadi.

Bocor: Ancaman kepada keselamatan negara?

Dalam kenyataan berasingan, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, dalam sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, Najib perlu "jujur ​​dan dengan sopan-santun" menjelaskan mengenai laporan Ketua Audit Negara, sambil menambah bahawa dokumen tersebut tidak bertujuan untuk terus kekal diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia.

The Sarawak Report, yang membuat liputan mengenai isu-isu kontroversi di Malaysia, berjanji akan menyiarkan maklumat lanjut Laporan Ketua Audit Negara dalam tempoh terdekat. Portal berita itu telah disekat oleh kerajaan Malaysia sejak 2015 tetapi boleh diakses di negara-negara lain.

Pada Jumaat, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak menggesa polis Malaysia supaya menyiasat pembocoran laporan itu dengan "segera dan dipercepatkan" bagi mengelak berlakunya pembocoran dokumen rasmi yang lain, yang mengikutnya, boleh menggugat keselamatan negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.