Parlimen Malaysia Kecoh

Staf BeritaBenar
2015.10.22
151022-MY-LKS620 Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail bersama pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) semasa protes duduk di koridor bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. 7 Julai 2015
AFP

Sehari sebelum Perdana Menteri Najib Razak membentangkan Bajet 2016 di Parlimen Malaysia, Dewan Rakyat pada Khamis kecoh dengan tindakan menggantung pemimpin DAP Lim Kit Siang daripada menghadiri persidangan dewan serta pendedahan mengenai siasatan polis terhadap bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

Bukan itu saja, usul tidak percaya terhadap Najib juga telah difailkan oleh Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail pada hari yang sama.

Lim, Mahathir dan Wan Azizah antara pihak yang terus menerus meminta Najib melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri selepas didakwa terlibat dengan skandal syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beberapa bulan lepas.

Lim yang juga Anggota Parlimen-Gelang Patah digantung daripada menghadiri persidangan selama enam bulan apabila enggan menarik balik kenyataannya serta memohon maaf tanpa syarat berhubung tuduhannya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

Ketua Parlimen DAP itu enggan meminta maaf atas kenyataannya menuduhi Pandikar bersikap seperti diktator apabila mengarahkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ditangguhkan, susulan ketiadaan pengerusi, selepas Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Lim semasa berhujah mempertahankan dirinya berkata, penggantungannya itu merupakan satu penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen kerana beliau hanya bersuara mewakili rakyat yang membabitkan isu berkepentingan umum.

"Saya tidak pernah rasa begitu sedih, bukan kerana saya akan digantung, tetapi kerana apa yang berlaku hari ini merupakan satu penghinaan kepada Yang Dipertua dan Parlimen ini.

"Ini menunjukkan begitu cetek dan jahil Ahli Parlimen hari ini. Biarlah penggantungan saya ini dijadikan sebagai pengajaran kepada rakyat supaya tidak mengundi lagi kerajaan Barisan Nasional," kata Lim.

Lim turut menafikan beliau menuduh Pandikar menyalah guna kuasa sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat serta cuba mensabotaj siasatan mengenai 1MDB pada Isnin lalu.

‘Kertas Siasatan’

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Polis DiRaja Malaysia telah membuka tiga kertas siasatan berhubung aduan terhadap Mahathir dengan dua daripadanya melibatkan siasatan yang sedang dijalankan manakala satu lagi kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

"Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap aduan yang dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu berkaitan Klang Report 33074/14 dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai dijalankan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang memintanya menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang diambil ke atas Mahathir.

Beliau berkata satu lagi kertas siasatan terhadap Mahathir berkaitan Jinjang Report telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 9 Okt lepas untuk arahan selanjutnya.

"Pihak polis juga menjalankan siasatan berkaitan Jinjang Report 18448/2015 dan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan," katanya.

‘Usul Tidak Percaya

Dalam pada itu, Wan Azizah telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Najib di pejabat Pandikar, susulan keputusan sebulat suara pakatan pembangkang, untuk membawa usul itu yang sebelum ini telah dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.‎

Wan Azizah yang juga isteri kepada bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang kini sedang menjalani hukuman penjara setelah didapati bersalah atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, berkata, usul itu bertujuan menolak kepimpinan Najib dan bukannya menukar kerajaan yang memerintah Malaysia.

Portal berita The Malaysian Insider melaporkan Wan Azizah sebagai berkata, beliau percaya Pakatan Harapan akan mendapat sokongan majoriti daripada ahli Parlimen termasuk BN bagi menyingkirkan Najib.

"Rakyat kini menderita akibat kos kenaikan sara hidup dan kesukaran ekonomi di bawah pentadbiran Najib dah polisinya gagal.

"Transformasi yang dikatakan juga dilihat lebih sebagai retorik semata-mata," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Usul tidak percaya yang dibawa Pakatan Harapan mencetuskan kontroversi kerana pihak pembangkang sepatutnya menghantar notis usul 14 hari sebelum sidang bermula.

Semalam, Pandikar menyarankan pakatan pembangkang menyerahkan senarai sokongan Ahli Parlimen sebelum dipertimbangkan untuk dibahaskan.

Ditanya mengenai itu, Wan Azizah berkata Pakatan Harapan tidak akan menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen kerana tidak pernah diminta Speaker.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.