Malaysia Umum ‘Lockdown’ Penuh Dua Minggu, Kes Harian COVID-19 Lebih 8,000

Pejabat Perdana Menteri keluar kenyataan lewat petang Jumaat, sebaik sahaja Muhyiddin pengerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.
Hadi Azmi & S. Adie Zul
Kuala Lumpur
2021-05-28
Share
Malaysia Umum ‘Lockdown’ Penuh Dua Minggu, Kes Harian COVID-19 Lebih 8,000 Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sedang menjalankan kerja-kerja pengkebumian jenazah mangsa COVID-19 di Tanah Perkuburan Islam di Gombak, Selangor, 22 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Malaysia pada Jumaat mengumumkan keputusan penutupan penuh sektor sosial dan ekonominya selama dua minggu di seluruh negara, selepas kes jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan kadar tertinggi selama empat hari berturut-turut.

Pengumuman mengenai penutupan penuh ‘total lockdown’ itu dibuat Pejabat Perdana Menteri [PMO] dalam satu kenyataan pada lewat petang Jumaat dengan turut memaklumkan sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali ekonomi dan perkhidmatan yang perlu dan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000,” menurut kenyataan dikeluarkan Putrajaya itu.

Keputusan kerajaan juga turut dipengaruhi oleh jumlah kematian yang semakin meningkat dan juga kewujudan varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas dalam komuniti.

PMO berkata keputusan itu dibuat dalam sidang khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, selepas mengambil kira situasi terkini penularan pandemik itu di Malaysia.

“Sekiranya penutupan penuh fasa pertama ini berjaya mengurangkan kes harian COVID-19, kerajaan akan melaksanakan fasa kedua untuk tempoh empat minggu, dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal dengan diikuti fasa ketiga yang memberikan lebih kelonggaran dalam perlaksanaan PKP.

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke satu fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan turut memberi jaminan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara itu tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara, selain meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat,” menurut PMO lagi.

Timbalan speaker desak

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Timbalan Speaker Azalina Othman Said mendesak supaya Muhyiddin menyambung sidang Parlimen yang ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Darurat bermula Januari sehingga Ogos 2021.

Azalina yang juga Ahli Parlimen UMNO kawasan Pengerang berkata sidang Parlimen perlu disambung semula bagi memulihkan defisit keyakinan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan mengekang penularan pandemik COVID-19 dengan membuat keputusan secara kolektif dalam sidang Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya pada Khamis, Azalina mendakwa salah satu contoh jelas kepada defisit keyakinan rakyat kepada kerajaan adalah penolakan vaksin dan pendaftaran permohonan vaksin yang rendah.

Beliau turut berkata Ahli Parlimen seharusnya memainkan peranan penting sebagai agen komunikasi kerajaan dan menyebarkan maklumat tentang kesihatan awam dan COVID-19 kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Pada Ahad lalu, Muhyiddin berkata ekonomi Malaysia berdepan risiko lumpuh dan sukar untuk bangkit sekiranya kerajaan melaksanakan penutupan penuh semua sektor ekonomi dan sosial, walaupun beliau secara peribadi bersetuju yang penutupan penuh seperti yang dilaksanakan tahun lalu adalah cara terbaik mengekang penularan mendadak jangkitan COVID-19 akhir-akhir ini.

Dalam temubual Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri itu, Muhyiddin berkata kerajaan terpaksa memberi pertimbangan amat mendalam mengenai kehidupan rakyat kerana khuatir lebih ramai yang akan hilang pekerjaan jika kerajaan melaksanakan semula ‘lockdown’ penuh seperti PKP 1.0 tahun lalu.

Katanya penutupan semua sektor ekonomi semasa PKP 1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 telah menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion(AS$580 juta) setiap hari selain menyaksikan ramai rakyat kehilangan pekerjaan manakala peniaga kecil turut terjejas teruk.

Ujarnya, jika kerajaan melaksanakan penutupan penuh sekali lagi, negara mungkin memerlukan sehingga RM500 bilion (AS$121 bilion) bagi membantu rakyat terjejas dan merangsang semula ekonomi negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran Twitter pada Jumaat memaklumkan negara itu mencatatkan 8,290 kes jangkitan harian COVID-19 - kali pertama Malaysia mencatatkan kes baharu harian melepasi paras 8,000 kes sejak penularan pandemik itu pada awal tahun lalu.

Jumlah kes aktif seluruh negara sebanyak 72,823 kes dengan 61 lagi pesakit COVID-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian kumulatif sebanyak 2,552 kes.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh