Follow us

Orang Kanan LTTE Ditahan Polis Malaysia

Oleh Hata Wahari
2015-08-14
E-mel
Komen
Share
Lelaki warga Sri Lanka yang juga dipercayai orang kanan Barisan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Polis Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur. 14 Ogos 2015.
Lelaki warga Sri Lanka yang juga dipercayai orang kanan Barisan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Polis Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur. 14 Ogos 2015.
Ehsan Polis Diraja Malaysia

Seorang anggota kanan kumpulan pengganas Barisan Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dipercayai cuba menghidupkan kembali kumpulan tersebut di Sri Lanka ditahan Polis Malaysia pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada Disember 2012 dengan menggunakan pas lawatan sosial, dan kemudian ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Polis Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur.

LTTE diasaskan oleh Vellupillai Prabhakaran di wilayah utara dan timur Sri Lanka, kerana marah terhadap apa yang didakwanya sebagai diskriminasi etnik Tamil oleh kerajaan negara itu.

Konflik antara komuniti majoriti Sinhala dan minoriti Tamil yang berpanjangan selama 37 tahun menyebabkan sekurang-kurangnya 70,000 nyawa terkorban.

Sejarah penubuhannya bermula pada tahun 1972 apabila Prakbakaran pada mulanya mengasaskan Tamil New Tiger (TNT) yang menarik minat ramai belia untuk menyertai kumpulan itu sebelum ditukar nama ke LTTE pada tahun 1976.

Konflik itu juga menyebabkan beratus ribu rakyat Sri Lanka menjadi pelarian selain menimbulkan masalah kebuluran.

Pada 18 Mei 2009, Agence France-Presse (AFP) melaporkan seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan Sri Lanka sebagai berkata, pengasas dan ketua LTTE, Prabhakaran terbunuh ketika cuba melarikan diri dari zon perang dengan menggunakan jip dan ambulans bersama dua anggota kanannya.

LTTE juga dipercayai membunuh ahli-ahli politik terkemuka termasuk bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi dan bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa serta Menteri Luar Sri Lanka, Lakshman Kadirgamar.

Kumpulan itu turut dilabel sebagai pengganas antarabangsa oleh 32 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan negara Kesatuan Eropah dengan berstatus sangat dikehendaki di India.

Malaysia sebagai pangkalan

Khalid berkata, siasatan awal mendapati anggota kanan LTTE yang ditahan itu telah menjadikan Malaysia sebagai tempat persembunyiaan serta terlibat di dalam aktiviti memeras ugut warga Sri Lanka di Malaysia

“Lelaki itu dipercayai berbuat demikian untuk mendapatkan dana bagi menghidupkan kembali perjuangan LTTE di Sri Lanka. Suspek juga mengaku pernah terlibat di dalam sindiket pemalsuan kad kredit di Malaysia yang didalangi oleh beberapa warganegara asing,’’ kata beliau.

Katanya, lelaki itu ditangkap dibawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana menetap di Malaysia melebih tempoh pas lawatan yang dibenarkan.

‘’Suspek telah diusir ke negara asal pada Jumaat untuk tindakan susulan pihak berkuasa Sri Lanka,’’ tambah beliau.

Polis Malaysia, pada Mei tahun lepas, berjaya menahan tiga anggota LTTE di dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Selangor.

Khalid berkata, kesemua mereka telah berada di Malaysia selama 10 tahun dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebar propaganda serta menghidupkan semula pergerakan itu.

“Polis berjaya mengesan suspek yang menggunakan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk tinggal di Malaysia dan mengelak diri daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.

Difahamkan kira-kira 13 anggota LTTE telah dihantar pulang ke Sri Lanka oleh Malaysia sehingga hujung tahun 2014.

Menurut Laporan Keganasan Negara 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Jun lepas, sejak 2009, Malaysia telah menghantar pulang 67 warga asing yang disyaki terlibat di dalam kegiatan militan di Malaysia dan di luar negara.

Lihat Laman Penuh