Polis Malaysia Siasat Dakwaan Ahli Politik Dikaitkan Dengan Tamil Tigers

Ali Nufael
2018.07.19
Kuala Lumpur, Malaysia
180719-MY-Fuzi1000.jpg Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bercakap pada sidang berita di Kuala Lumpur, 19 Julai 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 8.15 am waktu tempatan pada 2018-07-20

Polis Malaysia pada Khamis berkata mereka sedang menyiasat seorang ahli politik kanan, yang pernah berunding bagi pihak pemberontak Tamil Tiger semasa perang saudara Sri Lanka, selepas mendapat banyak aduan yang mendakwa beliau menyokong kumpulan itu yang dikenali sebagai organisasi keganasan di peringkat antarabangsa.

Ketua Polis Malaysia mengesahkan bahawa lebih daripada 50 laporan telah dibuat terhadap P. Ramasamy, timbalan ketua menteri negeri Pulau Pinang, tetapi semasa bercakap kepada BeritaBenar Ramasamy menafikan breliau menganggotai organisasi pemisah bersenjata itu yang sebelum ini dikenali sebagai Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Lima puluh tiga laporan dibuat setakat ini dan Ramasamy sendiri telah membuat laporan dengan kami berhubung isu itu," kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada sidang berita di Kuala Lumpur pada Khamis.

"Pasukan khas Bukit Aman sedang mengendalikan kes ini," kata Fuzi, merujuk kepada nama ibu pejabat Polis Diraja Malaysia itu. "Sebelum ini, pihak polis Pulau Pinang yang mengendalikannya tetapi selepas ia mendapat perhatian umum, kami mengambil alihnya."

Menurut laporan akhbar New Straits Times, polis di George Town, ibu negeri Pulau Pinang, telah mengambil keterangan daripada Ramasamy, 69, awal minggu ini.

Dalam temu bual dengan BeritaBenar, Ramasamy, yang pernah menjadi perunding dalam rundingan damai bagi menamatkan pemberontakan berpanjangan di wilayah Aceh di Indonesia, berkata, beliau bersedia berkongsi maklumat dengan polis mengenai dakwaan penglibatannya dengan LTTE.

"Saya bukan ahli LTTE, saya warganegara Malaysia. Saya seorang perunding damai bukan sahaja untuk Sri Lanka malah untuk konflik Aceh, dan saya tidak terjejas dengan tuduhan itu, "kata Ramasamy.

Ramasamy berkata, hubungannya dengan LTTE bermula pada 2006 apabila Norway meminta pertolongannya dalam menyelesaikan konflik Sri Lanka yang berpanjangan dari Julai 1983 hingga Mei 2009.

Ramasamy merupakan ahli politik yang menganggotai Parti Tindakan Demokratik (DAP), satu daripada parti dalam Pakatan Harapan, kerajaan baru Malaysia.

Dakwaan bahawa beliau menyokong LTTE muncul di akhbar-akhbar Malaysia berikutan pengedaran sekeping gambar baru-baru ini yang menunjukkan Ramasamy memberi penghormatan kepada senapang Kalashnikov, yang merupakan simbol Tamil Tigers, yang berjuang untuk menubuhkan negara asing - Eelam - bagi minoriti etnik Tamil Sri Lanka.

Dilaporkan juga bahawa Ramasamy baru-baru ini meraikan seorang ahli politik yang pro-LTTE dari India.

V. Gopalasamy, yang lebih dikenali sebagai Vaiko, yang mengetuai parti Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam (MDMK) di di Tamil Nadu, berada di Pulau Pinang untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Ramasamy.

Menurut laporan, Vaiko sebelum ini telah dihalang masuk ke Malaysia dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Jun 2017. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Mustafar Ali, mengesahkan perkara itu kepada media baru-baru ini.

Akhir-akhir ini, Ramasamy telah menimbulkan kemarahan pemimpin dan ahli politik Islam yang konservatif di Malaysia, negara yang mempunyai majoriti Muslim, selepas membuat beberapa komen di mana beliau dilihat  mengkritik kerajaan baru berhubung keputusan awal bulan ini untuk tidak mengekstradisi  pendakwah televisyen, Zakir Naik, ke India atas permintaan New Delhi.

"Ramai yang membenci saya kerana saya mengkritik Zakir berhubung status PR [pemastautin tetap] Malaysia beliau, jadi mereka menuduh saya menyokong keganasan," katanya.

Nasrudin Hassan, ketua penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), adalah antara yang menggesa polis untuk menyiasat dakwaan hubungan Ramasamy dengan Tamil Tigers.

"Penyiasatan terperinci mesti dilakukan terhadapnya dan individu lain," kata Nasrudin kepada pemberita pada Rabu.

Pendakwah India Zakir Naik dikehendaki oleh kerajaan India kerana didakwa terlibat dengan kegiatan ekstremis dan menyampaikan khutbah, yang menurut pihak berkuasa India, telah mencetuskan keganasan. Mereka menuduh Zakir mempengaruhi beberapa militan yang melakukan serangan keganasan yang dikaitkan dengan Negara Islam di sebuah kafe di Dhaka, di mana 29 orang termasuk 20 tebusan dan lima lelaki bersenjata, terbunuh pada 1 hingga 2 Julai 2016.

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata bahawa pendakwah itu tidak akan diekstradisi ke India selagi beliau tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia.

Zakir kemudian mengeluarkan kenyataan bagi mengucapkan terima kasih kepada Mahathir kerana membenarkan beliau tinggal di negara itu. Beliau turut menafikan dakwaan bahawa beliau menggalakkan perbuatan ekstremis melalui khutbah-khutbah di televisyen.

Kumpulan yang ditakuti


LTTE ditubuhkan pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, dengan misi mengeluarkan Eeelam dari kawasan utara dan timur Sri Lanka, di mana etnik Tamil merupakan majoriti penduduknya.

Semasa di kemuncak kuasanya, LTTE mempunyai sebuah militia yang serba lengkap dan melakukan banyak serangan berprofil tinggi termasuk pembunuhan ahli-ahli politik.

Dua orang berprofil tinggi yang dibunuh oleh Tigers dalam pengeboman bunuh diri ialah Perdana Menteri India Rajiv Gandhi pada 1991 dan Presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa pada  1993. Kumpulan itu juga terkenal kerana melakukan serangan pengganas di ibu negara Sri Lanka, Colombo, dan bandar-bandar lain di mana penganut Buddha Sinhalese membentuk etnik majoriti.

Selain daripada Sri Lanka, Amerika Syarikat, Britain dan Kanada – yang mempunyai ramai komuniti Tamil Sri Lanka - adalah antara negara yang mengharamkan LTTE kerana dianggap sebagai kumpulan keganasan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.