LTTE: Mahkamah Dengar Pemeriksaan Aduan Dera, 5 dan 6 Disember Depan

Noah Lee & Hadi Azmi
2019.11.08
Kuala Lumpur, Malaysia
191108-MY-LTTE-Court620.jpg Pengutip besi buruk, A. Kalaimughilan, 28 yang ditahan bersama beberapa lagi individu dalam satu siri operasi khas Bahagian Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia baru-baru ini, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak LTTE, di bawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 8 November, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Sebuah mahkamah Malaysia telah membuat keputusan supaya satu pemeriksaan terhadap aduan dera oleh dua tahanan polis yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan kumpulan pemberontak Sri Lanka LTTE, dapat dibuat pada 5 dan 6 Disember depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi mengeluarkan arahan itu pada satu prosiding pada Jumaat, selepas mendapat aduan B. Subramaniam, 57 dan A. Kalaimughilan, 28, melalui peguam mereka kepada mahkamah yang antara lain mendakwa telah didera polis bagi mendapatkan pengakuan.

LTTE - kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam adalah sebuah kumpulan pemberontak yang tidak lagi berfungsi telah dilabelkan Malaysia sebagai sebuah kumpulan pengganas pada 2014.

"Satu pemeriksaan lanjut terhadap aduan kedua-dua tertuduh akan diteruskan…..,” kata Hakim Azura.

Keputusan Hakim itu adalah lanjutan daripada satu prosiding tertutup yang diadakan di kamarnya pada 1 November lalu, di mana Azura telah mendengar butiran aduan daripada peguam S. Selvam yang mewakili Subramanian, seorang pengusaha kedai runcit dan Kalaimughilan, pengutip besi buruk yang ditahan pihak berkuasa bersama 10 yang lain dalam satu siri operasi khas Bahagian Anti-Keganasan polis awal bulan lalu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang itu atas dakwaan terlibat dalam memberi sokongan terhadap aktiviti LTTE di Malaysia dan juga memiliki item berkaitan kumpulan pengganas tersebut.

Hakim Azura telah mengarahkan prosiding tertutup itu setelah Selvam, memberitahu mahkamah mengenai dakwaan kes dera tersebut ketika pendengaran hujahan bagi mendapatkan ikat jamin pada Jumaat lepas.

Mahkamah boleh keluarkan notis

Susulan daripada keputusan mahkamah pada Jumaat itu, Hakim berkenaan dijangka mengeluarkan notis dalam masa terdekat bagi memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan dalam sesi pemeriksaan yang telah ditetapkan selama dua hari pada 5 dan 6 Disember.

Menurut Selvam, di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah, Hakim mempunyai kuasa bagi mengeluarkan notis kepada pendakwaraya supaya mengemukakan saksi yang boleh membantu pemeriksaan itu.

"Hakim akan mengeluarkan notis itu kepada pendakwaraya bagi memanggil mereka yang terlibat dalam siasatan terhadap anak guam saya," kata peguam itu.

Selvam bagaimanapun berkata, beliau tidak mengetahui berapa jumlah saksi yang bakal dipanggil bagi memberikan keterangan dalam pemeriksaan berkenaan.

Kedua-dua mereka yang ditahan dikaitkan dengan LTTE telah dihadapkan ke mahkamah pada minggu lalu atas pelbagai tuduhan kesalahan keselamatan bersama 10 yang lain termasuk dua Anggota Dewan Undangan Negeri [ADUN] Melaka dan Negeri Sembilan, G Saminathan dan P Gunasekaran.

LTTE ditubuhkan pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, dengan misi mengeluarkan Eeelam dari kawasan utara dan timur Sri Lanka, di mana etnik Tamil merupakan majoriti penduduknya.

Kumpulan itu yang mempunyai sebuah militia yang serba lengkap dan melakukan banyak serangan, memerangi Colombo, ibu negara Sri Lanka selama 26 tahun, namun pasukan kerajaan mengumumkan kemenangan terhadap kumpulan berkenaan pada Mei 2009.

LTTE telah melakukan banyak serangan berprofil tinggi termasuk pembunuhan ahli-ahli politik dan dua ahli politik berprofil tinggi yang dibunuh oleh Tigers dalam pengeboman bunuh diri adalah Perdana Menteri India Rajiv Gandhi pada 1991 dan Presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa pada 1993.

Walaupun dikalahkan oleh pihak tentera Sri Lanka, Jabatan Negara Amerika Syarikat, dalam laporan Jun 2015, berkata "rangkaian simpatisan antarabangsa dan sokongan kewangan masih berterusan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.