Follow us

Isteri Tahanan Ada Kaitan Dengan Pengganas LTTE Lancar Mogok Lapar

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-24
E-mel
Komen
Share
Umadevi (kiri), Vimalar Jakumaran dan Sumathi, yang suami mereka ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak berpusat di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang tidak berfungsi lagi, memulakan mogor lapar di Kuala Lumpur, 24 Okt, 2019.
Umadevi (kiri), Vimalar Jakumaran dan Sumathi, yang suami mereka ditahan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak berpusat di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang tidak berfungsi lagi, memulakan mogor lapar di Kuala Lumpur, 24 Okt, 2019.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Tiga wanita, yang suami mereka adalah antara 12 orang yang ditahan oleh polis Malaysia kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka yang tidak lagi berfungsi, melancarkan mogok lapar pada Khamis sebagai membantah penahanan suami mereka.

Pihak berkuasa Malaysia menahan beberapa suspek pada 14 Okt lalu yang didakwa memberi sokongan serta mengumpul dana bagi kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), yang telah dilabelkan sebagai organisasi pengganas oleh Malaysia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

LTTE berjuang menentang kerajaan Sri Lanka selama 26 tahun dan berjanji akan mewujudkan sebuah negara Tamil yang berasingan. Bagaimanapun, pasukan keselamatan Sri Lanka telah mengisytiharkan kemenangan ke atas LTTE pada 2009 berikutan konflik sporadis yang meragut nyawa puluhan ribu, termasuk orang awam.

Kesemua wanita itu berkata mereka akan meneruskan mogok lapar sehingga suami mereka dibebaskan oleh Bahagian Pencegahan Anti-Keganasan Bukit Aman.

"Suami kami ditahan, kami tidak rugi apa-apa. Kami tidak akan meraikan Deepavali," kata Umadevi kepada BeritaBenar, merujuk kepada perayaan pesta cahaya yang akan disambut oleh masyarakat Hindu pada Sabtu ini.

"Apa yang perlu diraikan?" persoal beliau. "Kami tidak boleh bergembira ketika suami kami dianiaya."

Suami Umadevi, G. Saminathan, adalah anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang  mewakili kawasan Gadek dalam Dewan Undangan Negeri (Adun) dan juga merupakan ahli majlis eksekutif negeri Melaka.

Saminanthan dan enam lagi, termasuk Adun DAP Negeri Sembilan bagi kawasan  Seremban Jaya P. Gunasekaran, telah ditahan pada 10 Okt di bawah SOSMA [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)] kerana didakwa mempromosi idelogi dan merekrut anggota untuk menghidupkan semula LTTE di Malaysia.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi lelaki, menjadikan jumlah mereka ditangkap berjumlah 12 orang.

Ditubuhkan pada Mei 1976, misi LTTE ialah untuk mengeluarkan Eeelam dari wilayah utara dan timur Sri Lanka, di mana etnik Tamil merupakan penduduk majoriti. Pegawai berkata organisasi itu telah dibubarkan bertahun-tahun yang lalu apabila pemimpinnya terbunuh.

Umadevi berkata beliau dan dua wanita lain berada di tempat letak kereta berhampiran ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur sejak Isnin.

"Sudah empat hari kami tidur di dalam kereta kami. Kami menunggu di tepi jalan yang menghadap ibu pejabat polis itu sambil memegang plakad memaklumkan mereka bahawa suami kami tidak bersalah dan mereka harus dibebaskan," katanya.

Polis ada datang memeriksa kami pada Isnin, kata Umadevi.

"Mungkin mereka fikir hanya ada tiga orang, jadi mereka tidak kisah dan tidak bertindak mengusir kami. Mereka hanya membiarkan kami," katanya.

Dua lagi wanita bersama Umadevi ialah Vimalar Jakumaran, isteri anggota kerajaan tempatan Melaka, Suresh Kumar Velayuthan, serta Sumathi yang merupakan isteri Chandru Suparmaniam, ketua pegawai eksekutif Green Technology Corp, juga dari Melaka.

Peguam Ramkarpal Singh telah memfailkan permohonan Habeas Corpus pada Selasa bagi pihak Saminathan, Gunasekaran, Chandru, Suresh Kumar dan Arivainthan Subramaniam untuk membebaskan mereka daripada tahanan di bawah SOSMA.

Kelima-lima individu mengesahkan bahawa mereka bukan sebahagian daripada LTTE dan menafikan dakwaan cuba menghidupkan semula kumpulan pengganas berkenaan.

"Kami berharap pendengaran boleh dibuat seawal esok supaya mereka dapat menyambut Deepavali bersama keluarga," kata peguam itu sambil menambah mereka perlu menunggu sehingga seorang hakim mendengar permohonan yang difailkan itu.

Polis minta keluarga bersabar

Pada Rabu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador meminta anggota keluarga yang terjejas akibat penahanan itu bersabar. Meskipun bersimpati dengan mereka, beliau berkata pihak polis perlu menyelesaikan tugasnya.

"Para penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dihantar ke pejabat Peguam Negara. Saya bersimpati dengan mereka, tetapi pegawai saya perlu memastikan keselamatan negara kita tidak dipertaruhkan," katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita Bernama.

Dua minggu lalu, Ketua Pengarah Anti-Keganasan Polis Diraja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa mempunyai bukti kukuh terhadap kesemua 12 suspek, yang didakwa ingin menghidupkan semula LTTE dengan merekrut anggota serta menyalurkan dana ke akaun di luar negara.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melahirkan kebimbangan berhubung keadaan ketiga-tiga wanita.

“Ini amat membimbangkan, jika keadaan tidak berjalan dengan baik, kesihatan mereka mungkin terjejas," kata pegawai Suaram, Amir Abdul Hadi kepada BeritaBenar.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh