LTTE: Mahkamah Malaysia Tolak Permohonan Ikat Jamin Tiga Lelaki

Nisha David & Noah Lee
2019.12.18
Kuala Lumpur, Malaysia
191218-MY-LTTE-suspect-620.jpg Pegawai polis mengiringi Anggota Dewan Undangan Negeri yang juga tertuduh, G. Saminathan (berbaju putih) semasa beliau meninggalkan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka, Malaysia 18 Dis 2019.
[Nisha David/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Rabu menolak permohonan ikat jamin dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri, yang merupakan antara 12 orang yang ditahan pada Oktober lepas kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka.

Tindakan mahkamah itu merupakan pendengaran ikat jamin kedua bagi tahanan di bawah undang-undang keselamatan nasional drakonian tersebut sejak ia digubal pada 2012. Bulan lepas, seorang hakim memutuskan bahawa pendengaran sedemikian untuk suspek yang ditahan di bawah undang-undang itu adalah tidak mengikut perlembagaan.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Rabu, Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan bahawa wakil rakyat terbabit G. Saminathan dan P. Gunasekaran, serta defendan ketiga, S. Chandra, telah gagal menunjukkan merit dan sebarang keadaan khas kenapa mereka boleh dibebaskan dengan jaminan.

"Mahkamah menolak permohonan ikat jamin bagi ketiga-tiga responden kerana pertuduhan terhadap mereka melibatkan keselamatan negara," kata hakim itu.

"Peguam telah gagal membuktikan merit dan keadaan luar biasa untuk membenarkan jaminan, jadi mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan ini," katanya.

Permohonan pertama ikat jamin bagi suspek yang ditahan di bawah undang-undang keselamatan itu telah didengar di Pulau Pinang pada Isnin lepas, dan turut membabitkan suspek yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), atau Harimau Tamil yang disenaraikan Malaysia sebagai kumpulan pengganas pada 2014.

Mahkamah Pulau Pinang telah menolak permohonan ikat jamin yang difailkan oleh defendan M. Pumugan, 29, dan S. Thanagaraj, 26.

Selepas mahkamah bersidang di Melaka pada Rabu, peguam yang mewakili ketiga-tiga defendan berkata anak guamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Kami percaya terdapat alasan-alasan kukuh yang membolehkan ikat jamin diberikan. Kami juga akan membuat permohonan untuk mempercepatkan pendengaran rayuan itu," kata peguam Ramkarpal Singh kepada pemberita di mahkamah.

Saminathan, 34, adalah wakil rakyat di Melaka manakala Gunasekaran, 60, merupakan wakil rakyat di Negeri Sembilan. Kedua-dua ahli politik adalah anggota Parti Tindakan Demokratik [DAP], sebuah parti gabungan pemerintah Malaysia. Chandru, 38, pula merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat milik kerajaan negeri Melaka.

Mereka adalah antara 12 orang yang ditahan oleh polis antikeganasan semasa satu siri serbuan di beberapa negeri pada pertengahan Oktober atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Tamil, sebuah kumpulan yang melancarkan pemberontakan separatis terhadap kerajaan Sri Lanka selama 26 tahun sehingga 2009.

Kesemua 12 individu telah didakwa memberi sokongan kepada LTTE menerusi media sosial dan mempunyai item yang berkaitan dengan kumpulan itu, menurut pejabat Peguam Negara Malaysia.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), atau SOSMA. Ia membenarkan pihak berkuasa menahan suspek selama 28 hari tanpa pendakwaan dan melarang mahkamah mendengar perbicaraan ikat jamin terhadap individu yang ditahan di bawah undang-undang berkenaan.

Ketiga-tiganya telah dibawa ke mahkamah pada Rabu untuk pendengaran permohonan ikat jamin mereka selepas sebuah mahkamah di Kuala Lumpur memutuskan bahawa SOSMA adalah tidak berperlembagaan kerana terdapat peruntukan yang melarang prosiding sedemikian.

Pada 29 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah membuat keputusan memihak kepada petisyen yang difailkan oleh Saminathan bagi membolehkan Adun itu memohon ikat jamin.

Minggu lepas, Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa pejabatnya tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan ikat jamin dalam kes melibatkan kumpulan LTTE.

Dalam kenyataan yang tegas, Thomas menyuarakan kebimbangan mengenai peruntukan dalam SOSMA yang menghalang suspek yang ditahan di bawahnya diikat jamin.

“Mungkin ciri SOSMA yang paling merosakkan adalah dalam Seksyen 13 yang melarang ikat jamin dari masa suspek ditahan sehingga dia dibicarakan, malah selepas dibebaskan oleh mahkamah yang mendengar kes itu sementara menunggu rayuan pendakwaan di mahkamah tertinggi,” kata peguam negara itu.

“Ini bermakna kuasa mahkamah untuk mendengar dan menentukan permohonan ikat jamin oleh tertuduh di hadapannya, yang berlaku setiap hari di semua mahkamah di negara kita yang mengendalikan perkara jenayah, dimansuhkan.”

Menurut Thomas, penggubal undang-undang dan parlimen pada 2012 yang menguatkuasakan undang-undang itu semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini tidak mengambil kira bahawa akibat daripada penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara itu, "fungsi kehakiman Mahkamah terkikis oleh sebab Seksyen 13."

"Akibatnya, kuasa kehakiman telah diremehkan," kata peguam negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.