Dua Anggota Dewan Undangan Negeri Malaysia Didakwa Punya Kaitan LTTE

Ali Nufael & Aminah Farid
2019.10.29
Kuala Lumpur, Malaysia
191029-MY-LTTE-Guna620.jpg Pihak berkuasa anti-keganasan Malaysia membawa Anggota Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, Gunasekaren Palasamy ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah di Melaka, 29 Oktober, 2019.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Dua Anggota Dewan Undangan Negeri daripada gabungan parti pemerintah serta lapan lagi pada Selasa telah didakwa di beberapa buah mahkamah di enam buah negeri atas pertuduhan menyokong, mempromosi atau memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka, LTTE.

Sepuluh lelaki itu adalah antara 12 orang ditahan tiga minggu lalu di bawah undang-undang anti-keganasan negara yang dikenali sebagai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA, yang diperkenalkan pada tahun 2012. Jika didapati bersalah, mereka menghadapi hukuman penjara maksima sehingga 30 tahun.

ADUN Gunasekaren Palasamy dan Saminathan Ganesan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka kerana menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan dari Sri Lanka yang telah dikategorikan oleh Malaysia sebagai kumpulan pengganas pada 2014.

Gunasekaren, 60, dan Saminathan, 34, adalah anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah komponen blok pemerintah pentadbiran Pakatan Harapan. Bersama ahli perniagaan berusia 38 tahun, Chandru Suparmaniam, mereka dituduh selepas mereka didakwa menyampaikan ucapan dan mengedarkan bahan bacaan yang menyokong pejuang LTTE yang terbunuh dalam satu majlis awam yang diadakan di Melaka pada 28 November tahun lepas.

Pendakwaan turut memfailkan pertuduhan kedua terhadap Saminathand dan Chandru kerana didakwa "memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas" LTTE di dalam telefon bimbit mereka.

Mahkamah menafikan jaminan dan tidak ada pengakuan direkodkan dari suspek, kerana kes itu akan dipindahkan ke mahkamah yang lebih tinggi di mana pendengaran pra-perbicaraan akan diadakan, demikian kata peguam kepada BeritaBenar.

Tuduhan berkaitan keganasan juga difailkan terhadap tujuh lelaki di lima negeri. Pertuduhan itu adalah kerana kebanyakannya memiliki bahan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka itu, termasuk cakera padat, video dan pelekat, agensi berita nasional Malaysia, Bernama melaporkan.

Dua lagi daripada kesemua 12 lelaki dijangka akan didakwa di Kuala Lumpur pada Khamis, demikian menurut laporan tempatan.

Gunasekaran adalah timbalan pengerusi DAP dan juga ADUN bagi Negeri Sembilan manakala Saminathan adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Biro Perundangan Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, yang mengetuai pasukan lima peguambela yang mewakili ketiga-tiga mereka menyifatkan pertuduhan itu sebagai "samar-samar".

"Kami tidak dapat mempertahankan diri dengan betul jika kami tidak mengetahui apa pertuduhan sebenarny," kata Ramkarpal kepada BeritaBenar.

Selain Sri Lanka, Amerika Syarikat, Britain dan Kanada telah menetapkan bahawa LTTE – yang dikenali sebagai Harimau Tamil sebagai sebuah kumpulan pengganas.


Pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang (berbaju belang) sedang berbual dengan anggota DAP yang lain di Mahkamah Syesen Ayer Keroh, Melaka, 29 Okt, 2019. [Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Pemimpin India: ‘Penindasan Keadilan’


Pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang dan pemimpin peringkat kebangsaan dan negeri berada di mahkamah pada Selasa untuk memberi sokongan moral kepada kedua-dua ADUN tersebut.

Lim, dalam blogpostnya yang disiarkan pada 13 Oktober lalu, menolak pertuduhan terhadap kedua-dua mereka, sambil menggambarkan yang mereka adalah ahli parti veteran yang telah dilatih untuk menolak "sebarang bentuk keganasan."

"Saya percaya bahawa kedua-dua Gunasekaran dan Saminathan tidak bersalah atas sebarang tuduhan yang berkaitan dengan keganasan," katanya.

Selepas laporan penangkapan wakil rakyat itu, 16 pemimpin India dari dalam gabungan Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan bersama yang menuntut pembebasan mereka, menggambarkan penahanan anggota dewan undangan negeri tanpa perbicaraan sebagai "melampaui pemahaman."

"Penangkapan dan penahanan ini hanyalah penindasan terhadap keadilan. Penangkapan dan penahanan sedemikian tidak boleh dibenarkan di bawah kerajaan baru Harapan, " kata kenyataan itu.

Pada 14 Oktober lepas, Perdana Menteri Mahathir Mohamad menolak tuntutan daripada pengkritik yang mengatakan bahawa penangkapan itu bermotivasi politik.

"Bukan saya yang menangkap orang-orang ini," kata Mahathir kepada pemberita. "Itu adalah polis yang melakukannya penangkapan tersebut oleh pegawai yang mengikut undang-undang."

"Saya telah diberi taklimat oleh pihak polis dan mereka memberi saya sebab-sebab di sebalik tindakan mereka, dan saya berpuas hati dengan mereka," katanya.

LTTE ditubuhkan pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, dengan misi mengeluarkan Eeelam dari kawasan utara dan timur Sri Lanka, di mana etnik Tamil merupakan majoriti penduduknya.

Kumpulan itu yang mempunyai sebuah militia yang serba lengkap dan melakukan banyak serangan, memerangi Colombo, ibu negara Sri Lanka selama 26 tahun, namun pasukan kerajaan mengumumkan kemenangan terhadap kumpulan berkenaan pada Mei 2009.

LTTE telah melakukan banyak serangan berprofil tinggi termasuk pembunuhan ahli-ahli politik dan dua ahli politik berprofil tinggi yang dibunuh oleh Tigers dalam pengeboman bunuh diri adalah Perdana Menteri India Rajiv Gandhi pada 1991 dan Presiden Sri Lanka Ranasinghe Premadasa pada 1993.

Walaupun dikalahkan oleh pihak tentera Sri Lanka, Jabatan Negara Amerika Syarikat, dalam laporan Jun 2015, berkata "rangkaian simpatisan antarabangsa dan sokongan kewangan masih  berterusan."


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.