Follow us

Dua Lelaki Ditahan Di Lubnan Dibawa Pulang

Hata Wahari
2015-11-02
E-mel
Komen
Share
Dua daripada lapan lelaki yang ditahan di Selangor, Perak dan Johor, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan, di bawa ke Bukit Aman, Kuala Lumpur. 2 Nov 2015
Dua daripada lapan lelaki yang ditahan di Selangor, Perak dan Johor, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan, di bawa ke Bukit Aman, Kuala Lumpur. 2 Nov 2015
Ehsan Polis Diraja Malaysia

Dua orang lelaki berkerakyatan Malaysia yang ditahan atas dakwaan keganasan di Lubnan tiga tahun lepas telah dibawa pulang dan kini berada dalam tahanan Polis Malaysia, seperti yang diumumkan pada Isnin.

"Dua suspek tersebut yang berusia 24 dan 33 tahun, disyaki menganggotai Tandzim Al-Qaeda Malaysia. Mereka ditahan di Lubnan pada 18 Oktober 2012 kerana cuba memasuki Syria untuk menyertai kumpulan pengganas itu," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

"Mereka dibawa balik ke Malaysia oleh pasukan khas dari Bahagian Counter Terrorism pada 30 Oktober dan ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor," tambah beliau.

Khalid berkata, seorang lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Selangor merupakan bekas kakitangan awam, manakala lelaki yang lebih tua daripadanya adalah juru elektrik dari Kuala Lumpur.

Kedua-dua mereka adalah antara enam orang yang ditahan oleh pasukan khas Bahagian Counter Terrorism yang menjalankan operasi serentak di Selangor, Perak dan Johor pada Jumaat lepas.

Media tempatan pada 28 Okt 2012, melaporkan dua lelaki rakyat Malaysia, disyaki anggota kumpulan al-Qaeda, ditahan di Beirut Hamra, Lubnan, kerana merancang untuk melakukan serangan ganas di negara itu.

Utusan Malaysia dalam laporannya berkata, suspek Rafik Mohmmed Aaref dan Mohammed Razin Shaaban ditangkap oleh perisikan tentera darat negara itu di sebuah hotel di Beirut Hamra.

Penahanan mereka turut disahkan oleh Duta Malaysia di Lubnan, Ilango Karuppannan kepada agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada masa itu.

“Mereka akan dibawa ke mahkamah dan kami akan tanya sama ada mereka memerlukan peguam,” kata duta itu seperti dilaporan pada 28 Okt 2012.

Sebuah akhbar tempatan di Lebanon, al-Joumhouria telah melaporkan, siasatan mendedahkan Rafik dan Mohammed Razin telah direkrut sebagai ahli kumpulan al-Qaeda oleh seorang lagi lelaki rakyat Malaysia dikenali sebagai Mustapha Mansour di Malaysia pada 2007.

Dalam pada itu, media tempatan pernah melaporkan yang kumpulan militan Tandzim Al Qaeda Malaysia diasaskan oleh bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat, 51 yang mempunyai hubungan terus dengan kumpulan militan Al Qaeda Proper yang diketuai oleh Osama bin Laden.

Yazid dan pembantunya Muhammad Hilmi Hasim kini ditahan dan didakwa menjadi ahli kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia di antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Khalid berkata, empat lagi anggota Tandzim Al-Qaeda, yang "masih bersembunyi selepas operasi untuk menangkap pemimpin kanan kumpulan itu pada bulan Februari 2013, turut di dalam operasi pada Jumaat lepas itu.

“Mereka ditangkap di sekitar Selangor dan Johor dan merupakan saki baki anggota kumpulan Tandzim Al-Qaeda Malaysia,” tambah beliau.

Dalam operasi yang sama, Polis turut menahan dua lelaki, seorang kakitangan awam berusia 28 tahun, dan rakannya kerana disyaki menyebarkan propaganda kumpulan militan Negara Islam (IS) di kalangan rakan sekerja mereka.

Khalid berkata, kesemua lapan mereka ditahan di bawah BAB VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)

Lihat Laman Penuh