Follow us

Syarikat Perlombongan Nadir Bumi Australia Minta Semakan Semula Secara Adil

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-02
E-mel
Komen
Share
Amanda Lacaze, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation yang memiliki kilang penapisan nadir bumi di Kuantan, Malaysia, bercakap pada sidang berita di Kuala Lumpur, 2 Okt 2018.
Amanda Lacaze, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation yang memiliki kilang penapisan nadir bumi di Kuantan, Malaysia, bercakap pada sidang berita di Kuala Lumpur, 2 Okt 2018.
(Hadi Azmi/BeritaBenar)

Syarikat Australia yang terlibat dalam memproses nadir bumi pada Selasa meminta Malaysia supaya menggunakan pendekatan saintifik dalam melakukan semakan semula ke atas kilang penapisnya, selepas kerajaan mengumumkan mahu memulakan penilaian yang boleh mengancam satu-satunya sumber pembekalan elemen penting dalam pembuatan produk berteknologi tinggi seperti telefon pintar.

Lynas Corp, dalam surat terbukanya kepada kerajaan yang disiarkan oleh media tempatan, mengakui tentang hak kerajaan untuk melakukan semakan itu dan berjanji untuk memberi kerjasama. Ia juga menekankan tentang jangkaan orang ramai terhadap penggunaan piawaian tinggi secara adil dan telus  "seperti yang dilihat dalam inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kerajaan baru itu."

"Saya merayu kepada kerajaan supaya menggunakan piawaian yang sama - untuk menjadi adil dan saksama serta objektif dan saintifik - dalam mana-mana semakan ke atas Lynas Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Amanda Lacaze.

Lynas melombong nadir bumi dari gunung berapi yang runtuh di Australia dan menghantarnya ke kompleks perindustrian yang luas di Kuantan, ibu negeri Pahang, untuk penapisan.

Nadir bumi yang merupakan mineral seperti cerium, lanthanum dan neodymium digunakan dalam produk elektronik seperti televisyen dan telefon pintar. Penapisan dilakukan secara besar-besaran hanya di dua tempat di dunia - China dan Malaysia.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas surat terbuka itu disiarkan, Lacaze berkata, syarikat itu telah mendapat lesen untuk membuka kilang tersebut di Australia tetapi telah dipelawa oleh kerajaan Malaysia sebelum ini untuk menimbang melakukan pelaburan di negara itu.

"Kami ditawarkan peluang pelaburan yang menarik di Malaysia dan berada dekat dengan pasaran kami," kata Lacaze, sambil menyuarakan kebimbangannya terhadap jawatankuasa semakan semula itu yang dipengerusikan oleh Fuziah Salleh, wakil rakyat Kuantan.

Pada 2011, para penduduk Kuantan yang diwakili oleh wakil rakyat mereka itu telah memperjuangkan isu berkenaan di Parlimen, dengan menentang keras pembinaan kilang penapisan itu.

Lynas menyiarkan surat terbuka itu selepas Fuziah, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa semakan semula selama tiga bulan terhadap kilang pemprosesan itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan sisa radioaktif kilang itu dan kesannya terhadap alam sekitar.

Nadir bumi, yang terdiri daripada 17 elemen yang terdapat dalam bumi di seluruh dunia, sebenarnya bukanlah jarang dan pemprosesannya melibatkan cara yang rumit dan mahal. Lynas berkata, ia mengeluarkan kira-kira 12 peratus daripada hasil dunia dan syarikat-syarikat China menyumbang lebih daripada empat per lima, lapor New York Times.

Aktivis menyatakan bahawa dengan kilang Lynas bernilai $800 juta di Kuantan telah memecah monopoli China untuk menghasilkan elemen yang amat berharga itu, kerja-kerja pemprosesan itu turut meninggalkan sisa radioaktif peringkat rendah.

Tetapi, Lacaze mempertahankan syarikatnya dengan memberitahu bahawa selepas enam tahun beroperasi, kadar radiasi sehingga lingkungan 12.4 batu dari kilang itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Kru penerbangan lebih terdedah kepada radiasi sehingga tujuh kali ganda berbanding  para pekerja kami yang bekerja secara langsung dengan bahan itu," kata Lacaze yang merujuk kepada juruterbang  dan kru penerbangan.

Beliau berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menghantar pakar-pakar untuk menilai kilang itu pada 2011 dan 2014, dan mereka berpuas hati bahawa perkara-perkara yang dicadangkan mereka telah dilaksanakan oleh Lynas.

"Menurut IAEA, kilang kami mempunyai risiko yang rendah secara intrinsiknya," kata Lacaze.

Lynas mendakwa bahawa kilang penapis itu boleh mengeluarkan sehingga 20,000 tan praseodymium dan neodymium, elemen penting dalam pembuatan komponen berteknologi tinggi yang digunakan dalam telefon bimbit dan kereta hibrid.

Kilang penapis itu menghasilkan bahan buangan iaitu bahan radioaktif yang dikenali sebagai gypsum yang dikendalikan dan disimpan dalam satu tempat di kilang itu yang dibina mengikut piawaian antarabangsa, kata syarikat itu.

Pada 3 Sept 2016, kerajaan telah memperbaharui lesen Lynas yang akan tamat tempohnya pada September 2019.

Fuziah sebelum ini berkata bahawa walaupun bahan buangan itu mempunyai radiasi tahap rendah, ia mempunyai jangka hayat yang panjang dan boleh meninggalkan kesan lebih lama terhadap alam sekitar.

"Malah, keseluruhan operasi itu diselubungi dengan kerahsiaan dan  soalan-soalan saya di Parlimen mengenai kilang itu itu tidak dilayan," katanya, sambil memberitahu bahawa kerajaan bekas Perdana Menteri Najib Razak telah memberi layanan mudah kepada syarikat itu.

Dalam reaksinya kepada surat terbuka Lynas itu, Fuziah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad menjanjikan persekitaran yang selamat dan mesra dalam manifesto pilihan rayanya.

Mahathir dan parti-parti Pakatan Harapan mengambil alih kuasa selepas mengalahkan gabungan Barisan Nasional Najib dalam pilihan raya umum pada Mei lalu.

"Janji 39 Manifesto Pakatan Harapan di bawah tajuk 'Menyeimbangkan Pertumbuhan Ekonomi Dengan Perlindungan Alam Sekitar' menyatakan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk mentadbir negara berlandaskan prinsip-prinsip kelestarian dan pembangunan mampan,” kata Fuziah.

"Secara ringkasnya, ia akan menjadi kerajaan yang mesra alam sekitar," katanya.

Lynas melaporkan bahawa ia telah memberi komitmen untuk membelanjakan RM25 juta (AS$6 juta) selama lima tahun dengan menyertai Universiti Malaysia Pahang melakukan penyelidikan terhadap penggunaan bahan buangan yang berdaya maju.

Syarikat itu tidak menolak kemungkinan menutup kilang berkenaan dan meninggalkan negara itu sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian, tetapi Lacaze berkata, Lynas telah melabur dengan banyak di Malaysia dan, dalam proses itu, telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

"Apa-apa pun boleh dilakukan," kata Lacaze. "Perniagaan kami tidak akan lingkup."

Lihat Laman Penuh