Malaysia benarkan firma Australia proses nadir bumi sehingga 2026
2023.10.24
Kuala Lumpur
Malaysia pada Selasa mengumumkan yang negara itu telah mengemaskini lesen operasi syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas dan memberi kebenaran mengimport bahan radioaktif mentah sehingga Mac 2026, dengan syarat mengurangkan sisa radioaktif.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Chang Lih Kang berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan daripada kajian makmal oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom yang menunjukkan bahawa bahan radioaktif tersebut boleh diekstrak keluar bagi memastikan sisa radioaktif dari aktiviti pemprosesan nadir bumi dapat dineutralkan.
Beliau berkata, keputusan kerajaan itu akan memberikan satu situasi menang-menang bagi kedua belah pihak.
"Sebelum ini, kebimbangan kita ialah tidak mahu sisa radioaktif terkumpul secara berterusan di Malaysia. Sebab itu kita tidak membenarkan mereka untuk mengimport dan memprosesnya di sini, kerana aktiviti itu akan menghasilkan sisa radioaktif," kata Chang pada satu sidang media.
Kerajaan Malaysia telah melahirkan kebimbangan terhadap thorium jika tidak diekstrak dengan betul daripada nadir bumi yang dilombongkan di Australia dan dihantar ke negara itu.
Lynas merupakan pengeluar nadir bumi terbesar di luar China - Beijing mengekalkan kawalan 80 peratus pengeluaran bahan nadir bumi, dengan bahan penting itu digunakan dalam industri turbin angin, elektronik, pertahanan dan aeroangkasa.
Minggu lepas, Lynas mengumumkan bahawa syarikat itu merancang untuk menghentikan operasinya di Malaysia mulai 1 Januari atas kebimbangan mengenai radiasi. Syarikat itu telah memulakan penyediaan kemudahan di kilangnya di Kalgoorlie, Australia untuk beroperasi sebagai langkah sandaran.
Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan yang terletak kira-kira 264 km (164 batu) dari Kuala Lumpur sebelum ini menjadi sasaran kerana ketiadaan kaedah pelupusan yang selamat bagi melupuskan sisa toksik dan radioaktif dikeluarkannya.
Chang berkata, fasiliti pelupusan kekal milik Lynas yang berkapasiti 1.6 juta tan metrik kini menampung sisa sebanyak 1.2 juta tan metrik.
Kata Menteri itu lagi, keputusan tersebut selari dengan hasrat kerajaan untuk menghalang sisa radioaktif, dan sebaik sahaja thorium berjaya diproses, ia boleh dijual sebagai komoditi dan menjana pendapatan untuk negara.
"Thorium boleh dinaiktaraf kepada gred bahan api dan dijual sebagai komoditi. Malaysia tidak mempunyai loji tenaga nuklear pada masa ini, tetapi boleh menjualnya kepada negara yang mempunyai loji sedemikian, dan thorium boleh digunakan dalam sektor lain juga," tambah Chang.
Pada Februari lepas, kerajaan Malaysia telah membenarkan Lynas memperbaharui lesen operasinya untuk tempoh tiga tahun. Namun kebenaran itu datang dengan beberapa syarat tambahan termasuk memindahkan fasiliti C&L Lynas ke luar Malaysia.
Malaysia sekali lagi memberikan Lynas tempoh tambahan selama enam bulan pada Mei, untuk menguruskan isu radiasi dalam aktiviti pemprosesannya, keputusan yang dikatakan dibuat bagi mengelakkan gangguan terhadap rantaian bekalan nadir bumi global.
Seorang buruh mengendalikan jentolak semasa pembinaan kilang pemprosesan Lynas di Gebeng, Malaysia, 19 April 2012. [Saeed Khan/AFP]
Penyelidikan dan pembangunan
Lesen Lynas itu bagaimanapun menetapkan syarat supaya ia membuat pelaburan tahunan sebanyak satu peratus daripada hasil jualan kasarnya di Malaysia. Pelaburan itu adalah untuk tujuan kolaborasi penyelidikan dengan pihak berkuasa nuklear Malaysia dalam usaha mengurangkan sisa radioaktif.
Pada masa kini, pelaburan Lynas bagi penyelidikan dan pembangunan di Malaysia adalah sekitar 0.5 peratus daripada hasil jualan kasarnya, menurut CEO Lynas, Amanda Lacaze dalam satu kenyataan. Menurut beliau, Lynas telah melabur lebih RM3 bilion (AS$627 juta) di Malaysia.
"Program R&D ini akan diselia oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan akan digunakan ke arah membangunkan kaedah untuk mengasingkan bahan radioaktif semulajadi daripada sisa-sisa.
"Sebagai pengeluar terbesar bahan nadir bumi di luar China, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan nadir bumi global. Keputusan ini memberikan asas kukuh untuk terus membangunkan industri nadir bumi Malaysia," kata beliau.
Kebimbangan alam sekitar
Sementara itu, dua aktivis alam sekitar mempersoalkan kebolehlaksanaan kaedah ekstrak yang akan digunakan itu bagi memastikan sisa bahan nadir bumi yang diproses adalah bebas radioaktif.
"Kerajaan mesti membuktikan kepada rakyat bahawa apa dijanjikan oleh Lynas mampu dilaksanakan dan boleh dipercayai. Pihak berkuasa harus memainkan peranan mereka bagi memastikan pematuhan ketat terhadap semua syarat yang ditetapkan," kata Tan Bun Teet, pengerusi gerakan Save Malaysia Stop Lynas, kepada BenarNews.
"Menurut kenyataan menteri, Lynas mendakwa bahawa ia akan menghasilkan sisa yang kurang. Bagaimanapun, persoalannya bagaimana mereka akan menguruskan lebih sejuta tan sisa radioaktif, yang menunggu untuk menjadi 2 juta tan sehari.
"Penerangan yang diberikan adalah tidak mencukupi, dan tiada dokumen lengkap yang memberikan butiran untuk menunjukkan kebolehlaksanaan kaedah ini. Adakah menteri telah melakukan apa yang perlu bagi memastikan semua yang disebutnya dalam kenyataan rasmi?" persoal beliau.
Sementara itu, aktivis Mageswari Sangaralingam dari badan bukan kerajaan Friends of the Earth Malaysia menggesa kerajaan supaya bersikap telus dalam dapatannya.
Kata beliau, kadar sisa yang ada hari ini adalah melebihi kadar selamat dan kaedah untuk mengekstrak radioaktif daripada sisa adalah tidak jelas dan boleh dipersoalkan.
"Tiada penjelasan diberikan mengenai bagaimana kadar radioaktif akan dapat diturunkan," kata beliau dalam satu kenyataan.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.