Malaysia beri Lynas lanjutan enam bulan lagi proses mineral radioaktif

Syarikat pelombong nadir bumi itu tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah radioaktif selepas 31 Disember.
Iman Muttaqin Yusof
2023.05.08
Kuala Lumpur
Malaysia beri Lynas lanjutan enam bulan lagi proses mineral radioaktif Pakaian seragam dan topi keledar keselamatan yang terdapat di Kilang Lynas yang terletak di Gebeng, Kuantan, Pahang, 23 Julai 2019.
[Lim Huey Teng/Reuters]

Kerajaan Malaysia pada Isnin mengumumkan yang syarikat pelombong nadir bumi Lynas diberikan lanjutan enam bulan lagi untuk memastikan semua aktiviti di lojinya bebas dari radiasi, setelah mengambil kira kepentingan kritikal mineral berkenaan kepada pelbagai industri berteknologi tinggi global.

Lanjutan yang diberikan oleh Putrajaya telah diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, sekaligus membenarkan syarikat tersebut mengekstrak nadir bumi yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi dari Austarlia menghantar bahan mentah itu untuk diproses di kilangnya di Malaysia sehingga akhir tahun ini.

“Mengambil kira kesan keputusan ini terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi kilang cracking and leaching (C&L) tersebut sehingga 31 Disember 2023.

“Oleh yang demikian, berkuatkuasa 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi ke Malaysia,” ujar Chang dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lanjutan itu adalah satu-satunya pengecualian yang dipersetujui untuk dirunding oleh kerajaan, manakala syarat-syarat yang lain masih kekal.

Lynas mengekstrak bijih nadir bumi dari Australia dan memprosesnya di loji pemprosesan terbesar syarikat itu, yang terletak di Kuantan, Pahang.

Malaysia sebelum ini melahirkan kebimbangan terhadap tahap radiasi, dengan laporan sebelum ini menyatakan Lynas telah mengeluarkan sebanyak 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif di Malaysia sejak memulakan operasi pada 2012.

Lynas, pada bulan lalu mengumumkan mereka sedang menimbang sama ada untuk menutup sementara operasi di Malaysia atau mengurangkan pengeluaran pada kadar signifikan sekiranya syarat lesen yang menghalang import and pemprosesan sebatian lanthanide terus dikuatkuasakan selepas 1 Julai.

Langkah itu dipertimbangkan susulan kegagalan Lynas dalam rayuan supaya Malaysia menggugurkan empat syarat berkaitan pengeluaran sisa radioaktif yang dikeluarkan pada Febuari lalu, yang melarang sebarang aktiviti berkenaan di Malaysia bermula Julai tahun ini.

Dalam respon kepada keputusan terbaharu itu, Lynas pada Isnin berkata syarikat itu akan meneruskan semakan undang-undang terhadap syarat-syarat yang mengancam permit operasinya.

“Malaysia mempunyai ruang untuk semakan undang-undang dilakukan ke atas syarat-syarat lesen,” ujar syarikat itu dalam satu kenyataan media.

“Lynas telah membuat pelaburan yang signifikan untuk lojinya di Malaysia dan akan meneruskan semakan melalui proses-proses berkaitan syarat-syarat bagi memastikan Lynas mendapat layanan yang adil dan saksama sebagai Pelabur Langsung Asing dan sebagai majikan serta penyumbang signifikan kepada ekonomi Malaysia.”

Sekitar 80 peratus daripada pengeluaran nadir bumi di dunia berada di bawah kawalan China, manakala Lynas adalah pesaing terbesarnya.

Nadir bumi digunakan dengan meluas dalam barangan elektronik dan produk-produk seperti enjin pesawat pejuang, peluru berpandu Tomahawk dan satelit-satelit di angkasa serta peranti telefon pintar.

Bekalan nadir bumi untuk keperluan Amerika Syarikat dan sekutunya semakin kritikal susulan peningkatan ketegangan di antara Washington dan Beijing.

Pada penghujung April, Lynas telah menerbitkan video kempen berdurasi satu minit bagi memperingati 10 tahun kewujudannya di Malaysia yang menekankan sumbangannya kepada ekonomi dan peluang pekerjaan di negara itu, dengan seorang aktivis alam sekitar menyifatkannya sebagai satu taktik untuk menimbulkan imej positif syarikat berkenaan.

“Agenda mereka sangat jelas. Iaitu untuk meletakkan imej yang baik, mengambil kira pelbagai kebimbangan ke atas kesan alam sekitar dan sosial, yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, termasuk penduduk-penduduk di Kuantan yang menyuarakan keresahan mereka,” ujar Mageswari Sangaralingam dari sebuah badan bukan kerajaan - Friends of the Earth Malaysia kepada BenarNews.

Sementara itu, kumpulan aktivis alam sekitar menyatakan kekesalan terhadap lanjutan operasi yang diberikan kepada operasi Lynas sehingga hujung tahun ini dan berharap tiada lagi lanjutan akan dipertimbangkan selepas ini.

“Walaupun pihak kami, Save Malaysia, Stop Lynas mengambil maklum dengan penuh kekesalan terhadap pertimbangan yang diberikan kepada Lynas untuk melanjutkan operasinya sehingga hujung tahun ini, kami berharap tiada lagi lanjutan selepas tarikh tersebut,” ujar pengerusi kumpulan itu, Tan Bun Teet dalam satu kenyataan pada Isnin.

“Pada masa yang sama, kami berharap Kementerian dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom akan memantau dengan rapat sisa radioaktif yang akan dihasilkan sepanjang tempoh lanjutan dan memastikan ia diurus dengan efektif dan selamat.”

Kumpulan itu menyeru menteri berkaitan untuk memastikan Lynas memenuhi komitment untuk membawa keluar sisa sekiranya gagal mengenalpasti kawasan yang sesuai sebagai fasiliti pembuangan kekal.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.