Follow us

Malaysia Perbaharui Lesen Lynas, Syarikat Nadir Bumi Australia Dengan Syarat

Muzliza Mustafa & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-15
E-mel
Komen
Share
Penunjuk perasaan melekapkan poster "Stop Lynas" pada kotak semasa demonstrasi di Kuala Lumpur, 31 Dis, 2012.
Penunjuk perasaan melekapkan poster "Stop Lynas" pada kotak semasa demonstrasi di Kuala Lumpur, 31 Dis, 2012.
[AFP]

KEMASKINI pada 7 malam waktu tempatan - 2019-15-08

Malaysia memperbaharui lesen operasi syarikat Australia, Lynas, pada Khamis dengan membenarkannya terus memproses nadir bumi dan membina kemudahan pelupusan kekal sisa radioaktif paras rendah di negara itu.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar dunia di luar China, mengendalikan sebuah kilang pemprosesan bernilai AS$800 juta di Kuantan, ibu negeri Pahang di Malaysia. Syarikat itu dan kerajaan Malaysia terbabit dalam pertikaian sejak beberapa bulan lalu berhubung satu daripada kilang memproses yang menghasilkan sisa radioaktif.

Pembaharuan lesen itu adalah untuk enam bulan, tempoh yang lebih pendek daripada yang dijangkakan dan mengenakan syarat supaya Lynas memindahkan bahagian memproses itu ke luar negara dalam tempoh empat tahun – langkah yang akan dilakukan syarikat itu seperti yang diumumkannya sebelum ini - dan mencari penyelesaian bagi penyimpanan sisa radioaktif dalam masa itu.

"Lynas hendaklah mengenal pasti tapak spesifik untuk pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal dan mengemukakan kebenaran secara bertulis daripada Kerajaan Negeri bagi penggunaan tapak tersebut sebagai PDF," menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) yang turut mengumumkan tempoh lanjutan enam bulan itu.

"Atau, mengemukakan kebenaran rasmi secara bertulis daripada pihak berkuasa mana-mana negara untuk membawa keluar residu ‘Water Leach Purification [Pembersihan Air] ke negara tersebut," katanya.

Kelulusan melanjutkan lesen itu boleh membawa kesan global, kata penganalisis. Ia dibuat di tengah-tengah kebimbangan mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, yang boleh meningkatkan lagi dominasinya dalam pengeluaran nadir bumi - mineral seperti cerium, lanthanum dan neodymium - yang digunakan dalam elektronik dan telefon pintar, enjin jet pejuang, peluru berpandu Tomahawk dan satelit angkasa.

Lesen Lynas akan tamat pada 2 September. Sebelum ini, lesen syarikat itu diperbaharui dengan lanjutan tempoh tiga tahun untuk beroperasi, menurut laporan tempatan.

Pada Jun lalu, Lynas berkata ia akan memindahkan sebahagian daripada loji pemprosesan bijihnya dari Malaysia menjelang 2025 sebagai langkah memenuhi syarat awal yang dikenakan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad bagi membolehkannya untuk meneruskan operasi di negara itu. Tetapi, kerajaan Australia pula menegaskan bahawa ia tidak akan menerima sisa radioaktif Lynas.

Lynas mempunyai lebih daripada 650 pekerja di Malaysia dan Australia. Ia melombong mineral nadir bumi dari Gunung Weld iaitu gunung berapi yang ranap di Australia dan mengangkutnya untuk ditapis di kompleks perindustrian yang luas di Kuantan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze, memberitahu pemberita  minggu lalu bahawa syarikat itu dijangka mengumumkan tapak pemprosesan nadir bumi di Australia Barat dalam tempoh beberapa bulan lagi, lapor Sydney Morning Herald pada Khamis.

Menurut laporan itu loji berkenaan dijangka beroperasi mulai awal 2023.

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, memberitahu media di Fukoka, Jepun pada awal Ogos bahawa kerajaan tidak boleh ‘menghalau’  Lynas keluar dari negara itu hanya kerana terdapat pihak yang tidak mahu menerima hasil kajian pakar.

Beliau berkata pelabur asing sedang memerhatikan tindakan kerajaan terhadap Lynas.

"Kita yang jemput mereka datang untuk melabur. Kalau kemudian kita halau mereka, yang lain akan kata negara itu buat janji tetapi apabila ada masalah, kita halau mereka," kata Mahathir yang dipetik sebagai berkata dalam laporan agensi berita Bernama. "Kita tak boleh buat macam itu...kalau kita halau pelabur asing Lynas, (pelabur asing) yang lain tidak akan datang ke Malaysia."

Sementara itu, aktivis alam sekitar Malaysia menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan untuk melanjutkan lesen Lynas.

"Membolehkan Lynas terus beroperasi dan mengeluarkan lebih banyak sisa radioaktif adalah pengkhianatan besar terhadap kepercayaan rakyat," kata Tan Bun Teet, pengerusi Save Malaysia Stop Lynas.

Lihat Laman Penuh