Lynas Saring Lokasi Berpotensi Pindah Loji Proses Awal di Australia

Ali Nufael
2019.09.06
Kuala Lumpur, Malaysia
190906-MY-AU-Nadir1000.jpg Anggota polis Malaysia mengawal aktivis anti-Lynas yang menghalang lalulintas semasa membuat bantahan berhampiran loji Lynas yang sedang dibina di Gebeng, Kuantan, Pahang, kira-kira 270 kilometer di timur Kuala Lumpur, 19 April 2012.
[AFP]

Lynas Corp, pengeluar nadir bumi Australia pada Jumaat mengumumkan yang syarikat itu telah menandatangani satu memorandum persefahaman(MoU) bersama bandar Kalgoorlie-Boulder, untuk menganalisa tapak di bandar tersebut bagi membina loji proses awal nadir bumi seperti yang disyaratkan oleh kerajaan Malaysia semasa bersetuju memperbaharui lesen operasi lojinya di Pahang.

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar dunia selain China, melombong bahan itu dari Gunung Weld iaitu gunung berapi yang ranap di bahagian barat Australia, dan mengangkut bijihnya untuk ditapis ke lojinya yang bernilai AS$800 juta di Kuantan, ibu negeri Pahang, sejak 2012.

MoU yang ditandatangani Lynas turut menerangkan satu rangka kerja bersama bandar Kalgoorlie-Boulder dalam usaha memampankan projek pembinaan loji pemprosesn awal Lynas di bahagian barat Australia itu..

"Dalam MoU tersebut, bandar Kalgoorlie-Boulder telah menawarkan khidmat bagi membantu Lynas dari segi menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja ditapak baru itu," kata Lynas dalam kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Kenyataan itu turut menyebut, "Lynas antara lain menyatakan bahawa tapak di Kalgoorlie dan sebuah lagi di Mount Weld adalah antara dua lokasi yang sedang dikaji untuk dibuat loji baru. Satu penilaian akhir akan dibuat sebelum keputusan dicapai oleh kedua-dua belah pihak."

Kerajaan Malaysia pada pertengahan bulan Ogos lalu telah melanjutkan lesen operasi Lynas selama enam bulan dengan bersyarat. Lesen syarikat berkenaan tamat pada 2 September lalu dan sebelum ini, lesennya telah diperbaharui dengan lanjutan tempoh tiga tahun untuk beroperasi, demikian menurut laporan media tempatan.

Antara syarat yang dikenakan ke atas Lynas bagi memperbaharui lesennya itu ialah Lynas di minta memindahkan bahagian pemprosesannya ke luar negara bagi tempoh empat tahun – langkah yang akan dilakukan syarikat itu seperti yang diumumkannya sebelum ini - dan mencari penyelesaian bagi penyimpanan sisa radioaktif dalam masa itu.

Beberapa bulan sebelum itu, Lynas berkata ia akan memindahkan sebahagian daripada loji pemprosesan bijihnya dari Malaysia menjelang 2025 sebagai langkah memenuhi syarat awal yang dikenakan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad bagi membolehkannya untuk meneruskan operasi di negara itu.

Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze dalam kenyataan Jumaat berkata bahawa perjanjian itu satu bentuk permulaan yang positif untuk syarikat Lynas dan bandar Kalgoorlie-Boulder.

"Bandar Kalgoorlie Boulder ada sejarah yang panjang tentang perlombongan yang lama dan masih meneruskan kerja industri bagi memajukan komunitinya," kata Amanda.

Infografik Pejabat Perdana Menteri


Pada 4 Sept lalu, Pejabat Perdana Menteri menerbitkan satu infografik bertajuk Penjelasan Mengenai Lynas Advanced Materials Plant (LAMP)" sambil menekankan kebarangkalian kehilangan 600 bentuk peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Sebanyak 14 pertanyaan yang kerap ditanya telah disenaraikan dalam Infografik yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, yang turut menghuraikan tiga akibat besar jika kerajaan tidak memperbaharui lesen syarikat yang berpangkalan di Australia itu.

Selain itu, senarai yang dikeluarkan itu turut menerangkan bahawa jika lesen Lynas tidak diperbaharui, maka akan gagal memecahkan monopoli yang dipegang oleh China di dalam pengeksportan nadir bumi disamping kredibiliti Malaysia akan terjejas sebagai negara pelaburan jangka panjang jika lesen tersebut tidak diperbaharui.

Penyenaraian infografik oleh Pejabat Perdana Menteri itu juga menerangkan yang, "LAMP telah mengkaji kesan radiasi kepada orang tempatan dalam 20km radius dan telah menjumpai tiada kesan sampingan terhadap air dan juga tanah."

Sebelum mengambil alih Putrajaya, anggota parlimen Pakatan Harapan dan juga aktivis telah acapkali menuduh kesan nadir bumi mampu merosakkan alam sekitar.

Mereka yang sebelum ini menjadi pembangkang turut berjanji akan menutup kilang Lynas jika diberi mandat untuk memerintah.

Nadir bumi bukanlah bahan yang jarang ditemui malah ia lebih banyak terdapat dalam kerak bumi berbanding dalam tembaga, plumbum, emas dan platinum, menurut laporan Perkhidmatan Kongres Amerika Syarikat (CSR).

Tetapi, nadir bumi belum cukup untuk dieksploitasikan secara ekonomi, dan penapisannya memerlukan banyak bahan kimia untuk menghakis dan menghasilkan sejumlah besar sisa, kata para saintis.

Nadir bumi - mineral seperti cerium, lanthanum dan neodymium - digunakan dalam elektronik isi rumah dan telefon pintar, turbin angin dan kenderaan elektrik. Ia juga digunakan secara meluas dalam aplikasi pertahanan seperti enjin jet pejuang, peluru berpandu Tomahawk, satelit angkasa dan sistem komunikasi.

Amerika Syarikat mengimport kira-kira $160 bilion bahan nadir bumi dari China, yang mengawal 80 peratus pengeluaran bahan itu. Konflik perdagangan yang sedang dihadapi Washington dan Beijing menonjolkan kepentingan strategik dan penggunaan unsur-unsur nadir bumi dalam peralatan pertahanan.

Sementara itu, aktivis anti Lynas Wong Tack yang kini sebahagian daripada Anggota Parlimen kerajaan menempelak infografik daripada PMO sambil mempersoalkan tindakan PMO itu.

Wong Tack yang dikenali sebagai orang paling lantang melawan Lynas sebelum dan selepas menjadi Ahli Parlimen Bentong berkata bahawa beliau kecewa apabila Perdana Menteri Mahathir Mohamad bertindak sedemikian rupa untuk mempertahankan Lynas.

"Sebelum ini kita melihat kementerian tertentu sibuk di sana sini, mengambil tahu perkara yang tidak berada dalam bidang mereka."

“Sekarang Pejabat Perdana Menteri buat perkara sama. Ini satu penghinaan bukan hanya terhadap Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) tetapi juga kepada Pejabat Perdana Menteri."

“Bagaimanapun, saya sendiri tidak percaya Perdana Menteri Mahathir Mohamad akan membenarkan pejabatnya menjadi pejabat jualan dan pegawai-pegawainya menjadi jurucakap Lynas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Turut senada dengan Wong Tack ialah Tan Bun Teet, Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas.

"Tolong tanya pada Pejabat Perdana Menteri sejak bila mereka diambil untuk bekerja bersama dengan Lynas. Ia sangat menghairankan kerana Pejabat Perdana Menteri yang mengambil alih tugas syarikat itu.

"Selain itu ia amat memalukan untuk kita masuk campur urusan memecah monopoli syarikat China. Rakyat Malaysia tidak harus lupa pengkhianatan ini. Dahulu mereka kata nadir bumi ini merbahaya sekarang ia selamat pula. Mengapa mereka harus terus menipu," kata Tan dengan nada marah kepada BeritaBenar.

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, memberitahu media di Fukoka, Jepun pada awal Ogos bahawa kerajaan tidak boleh ‘menghalau’  Lynas keluar dari negara itu hanya kerana terdapat pihak yang tidak mahu menerima hasil kajian pakar.

Beliau berkata pelabur asing sedang memerhatikan tindakan kerajaan terhadap Lynas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.