Lynas Australia umum mahu tutup operasi di Malaysia

Februari lepas, kerajaan Malaysia telah membenarkan Lynas memperbaharui lesen operasinya untuk tempoh tiga tahun, namun kebenaran itu datang dengan beberapa syarat.
Iman Muttaqin Yusof
2023.10.20
Kuala Lumpur
Lynas Australia umum mahu tutup operasi di Malaysia Seorang jurutera berjalan melepasi papan tanda Lynas di pejabat pentadbiran loji Lynas di Gebeng, Pahang, 2 Feb 2012.
[Mohd Rasfan/AFP]

Syarikat perlombongan nadir bumi Lynas Corp yang berpangkalan di Australia pada Jumaat mengumumkan rancangan untuk menamatkan semua operasinya di Malaysia kecuali untuk aktiviti pemprosesan karbonat campuran nadir bumi (MREC) mulai pertengahan November ini.

Pengumuman itu dibuat ketika Lynas bergelut dengan isu kawal selia yang semakin ketat di Malaysia di mana kerajaan mengenakan beberapa syarat tambahan terhadap syarikat berkenaan untuk meneruskan operasinya pada Mei lalu.

Antaranya Lynas memindahkan kilang 'cracking and leaching' (C&L) yang beroperasi di Gebeng, Pahang ke luar negara sebelum 31 Dis ini. Syarikat itu juga tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah mengandungi radioaktif semula jadi ke Malaysia bermula 1 Jan 2024.

"Di Malaysia, akan berlaku rancangan untuk menutup semua operasi, kecuali operasi pemprosesan MREC, pada suku Disember bermula pertengahan November ini. Jumlah MREC yang diproses dalam tempoh waktu berkenaan dijangka berada pada tahap minimum," kata CEO Lynas Amanda Lacaze dalam laporan suku tahun syarikat itu.

Menurut Lacaze, semasa tempoh penutupan itu, Lynas akan menjalankan kerja menaik taraf operasi hilirannya di Malaysia untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk NdPr (neodymium-praseodymium). Langkah itu sebagai persediaan sekiranya lesen Lynas diperbaharui kerajaan bagi membenarkan syarikat tersebut mengimport dan memproses Lanthanide selepas 1 Jan depan.

Lacaze berkata jika lesen tidak diperbaharui, kapasiti tambahan untuk pengeluaran NdPr tetap diperlukan apabila kilang baharu Lynas di Kalgoorlie, Australia beroperasi sepenuhnya bagi mengeluarkan MREC untuk menghasilkan produk akhir NdPr sebanyak kira-kira 9,000 tan setahun.

Selain itu, katanya, kakitangan utama kilang C&L Lynas dari Malaysia akan dihantar ke Kalgoorlie untuk membantu proses memulakan operasi di fasiliti baharu ekoran penutupan kilang di Malaysia.

"Sekiranya lesen operasi syarikat diperbaharui untuk membenarkan kami terus mengimport dan memproses Lanthanide di Malaysia, kami akan menggunakan tempoh penutupan ini bagi melaksanakan kerja penyelenggaran lanjut ke atas fasiliti C&L, selain kerja-kerja menaik taraf operasi hiliran," kata beliau.

Sejak beroperasi di Malaysia pada 2012, Lynas telah mengekstrak bijih nadir bumi dari Australia dan memprosesnya di loji pemprosesan terbesar syarikat itu di Gebeng.

Malaysia meluahkan kebimbangan terhadap tahap radiasi dengan laporan sebelum ini yang menyatakan Lynas telah mengeluarkan sebanyak 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif di Malaysia sejak 11 tahun lalu.

Kilang Lynas di Malaysia telah memecahkan monopoli China ke atas aktiviti pemprosesan nadir bumi, bahan penting yang digunakan dalam industri pertahanan dan aeroangkasa. China mengawal 80 peratus pengeluaran bahan nadir bumi dunia manakala Lynas merupakan pengeluar nadir bumi terbesar di luar China.

Nadir bumi digunakan secara meluas dalam barangan elektronik dan produk seperti enjin pesawat pejuang, peluru berpandu Tomahawk dan satelit di angkasa serta peranti telefon pintar.

Bekalan nadir bumi untuk keperluan Amerika Syarikat dan sekutunya semakin kritikal susulan peningkatan ketegangan di antara Washington dan Beijing.

Pada Februari tahun ini, kerajaan Malaysia telah membenarkan Lynas memperbaharui lesen operasinya untuk tempoh tiga tahun. Namun kebenaran itu datang dengan beberapa syarat tambahan termasuk memindahkan fasiliti C&L Lynas ke luar Malaysia.

Lynas telah memfailkan semakan undang-undang terhadap syarat itu yang dilihat mengancam operasinya di Malaysia. Kes itu masih dalam proses mahkamah.

Selain peraturan kawal selia yang ketat, kerajaan Malaysia baru-baru ini memberi isyarat bahawa ia merancang untuk melarang eksport bahan mentah nadir bumi yang dilombong di negara itu.

Tapak perlupusan

BenarNews telah menghubungi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang untuk mendapatkan respons kerajaan mengenai pengumuman Lynas namun beliau enggan memberikan komen.

Chang sebelum ini berkata Lynas telah menghasilkan lebih sejuta tan metrik sisa radioaktif sejak 2012.

Sementara itu, kumpulan aktivis alam sekitar Save Malaysia Stop Lynas ketika dihubungi menyambut baik keputusan syarikat itu untuk menghentikan operasi di Malaysia dan berkata ia akan menghindarkan negara tersebut daripada menjadi tapak pelupusan bahan buangan negara lain.

"Penutupan operasi Lynas secara total akan dialu-alukan oleh semua rakyat Malaysia yang telah berusaha berkempen supaya kerajaan tidak membenarkan tanah air kita digunakan sebagai tapak buangan bahan sisa negara lain sama ada ia radioaktif atau plastik.

"Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa sekiranya mereka menukar keputusan untuk tidak lagi membenarkan import bahan nadir bumi pekat dan operasi C&L selepas 31 Dis ini, ia akan memberi impak kepada kredibiliti kerajaan dan kepercayaan rakyat Malaysia.

"Ia akan menjadi satu bentuk pengkhianatan terhadap rakyat Malaysia dan generasi masa depan," kata Pengerusi NGO itu Tan Bun Teet kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.