Syarikat Nadir Bumi Ulangi Rancangan Pindahkan Sebahagian Operasi Malaysia Ke Luar Negara

Ali Nufael
2019.06.19
Kuala Lumpur, Malaysia
190619-MY-lynas1-1000.jpg Pegawai-pegawai keselamatan cuba menghalang para aktivis Malaysia yang melakukan bantahan terhadap operasi kilang nadir bumi Lynas, semasa acara sambutan Hari Australia di Kuala Lumpur, 22 Januari 2014.
[AFP]

KEMASKINI pada 9.00 malam waktu tempatan - 2019-06-20

Pengeluar nadir bumi Australia, Lynas Corp, pada Rabu berkata cadangannya untuk memindahkan sebahagian daripada kilang pemprosesan bijihnya dari Malaysia menjelang 2025 adalah sebagai memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad bagi membolehkannya meneruskan operasi di negara Asia Tenggara itu.

Semasa menjawab soalan-soalan yang dikemukakan BeritaBenar, syarikat itu juga mengulangi kenyataannya bahawa pekerja Malaysia terdedah kepada radiasi yang parasnya jauh lebih rendah daripada had yang diterima di peringkat antarabangsa, berikutan kontroversi yang timbul berhubung keselamatan sisa radioaktif di kilangnya yang terletak di negeri Pahang.

"Kami mengumumkan pada 21 Mei 2019 bahawa kami berhasrat untuk memindahkan kilang pemprosesan retakan dan peleburan peringkat pertama dari Malaysia ke Australia Barat menjelang 2025," kata Lynas dalam satu kenyataan.

"Ini bagi memenuhi syarat-syarat baru yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia."

Pengesahan syarikat itu mengenai penempatan semula kilang itu di luar Malaysia dibuat ketika jurucakap sebuah kementerian di Kuala Lumpur berkata menteri tenaga dan alam sekitar negara itu Yeo Bee Yin telah menangguhkan lawatannya ke Australia pada 20 Jun.

Yeo merancang untuk bertemu Bill Johnston, menteri perlombongan Australia Barat, di Perth pada Khamis, menurut laporan.

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada April berkata kerajaannya akan memperbaharui lessen operasi Lynas – yang dijadualkan tamat pada September – dengan syarat ia terlebih dahulu memproses bijih yang mengandungi radioaktif sebelum membawanya masuk ke negara itu, lapor portal berita The Edge ketika itu.

Semasa bercakap kepada wartawan di Tokyo pada lewat Mei lalu, Mahathir berkata kerajaannya akan terus mendesak Lynas supaya mengeluarkan sisa radioaktif itu daripada Malaysia serta mencari penyelesaian lain.

"Kami akan berbincang dengan mereka tetapi jika gagal, sudah tentu kami perlu melakukan sesuatu dengan bahan mentah itu. Mungkin menempatkannya di suatu tempat lain agar bahan radioaktif tidak tertumpu di satu tempat," katanya.

"Kami akan membenarkan Lynas meneruskan operasinya atau kami akan kehilangan pelaburan yang sangat besar dari Australia."

Lynas, pengeluar nadir bumi terbesar dunia selain China, melombong bahan itu dari Gunung Weld iaitu gunung berapi yang ranap di Australia, dan mengangkutnya untuk ditapis ke kompleks perindustrian yang luas di Kuantan, ibu negeri Pahang. Ia mempunyai lebih 650 orang pekerja di Malaysia dan Australia.

Penapisannya dilakukan secara besar-besaran hanya di dua tempat: Malaysia dan China, yang telah mengancam untuk menyekat bekalan mineral nadir bumi ke Amerika Syarikat.

Para aktivis menyatakan walaupun kilang Lynas  bernilai AS$800 juta di Kuantan memecahkan monopoli China dalam menghasilkan bahan yang mempunyai unsur yang berharga itu, namun pemprosesan itu juga meninggalkan sisa radioaktif tahap rendah.

"Isu utama adalah pelupusan bahan sisa itu, yang perlu diselesaikan dengan segera. Sekiranya kedua-dua kerajaan tidak dapat mencari penyelesaian bagi masalah ini, industri itu perlulah dipindahkan," kata Randolph Jeremiah, naib presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar, sebuah badan bukan kerajaan Malaysia, kepada BeritaBenar baru-baru ini.

‘Risiko Rendah’


Nadir bumi bukanlah bahan yang jarang ditemui malah ia lebih banyak terdapat dalam kerak Bumi berbanding dalam tembaga, plumbum, emas dan platinum, menurut laporan Perkhidmatan Kongres Amerika Syarikat (CSR).

Tetapi, nadir bumi belum cukup untuk dieksploitasikan secara ekonomi, dan penapisannya memerlukan banyak bahan kimia untuk menghakis dan menghasilkan sejumlah besar sisa, kata para saintis.

Nadir bumi - mineral seperti cerium, lanthanum dan neodymium - digunakan dalam elektronik isi rumah dan telefon pintar, turbin angin dan kenderaan elektrik. Ia juga digunakan secara meluas dalam aplikasi pertahanan seperti enjin jet pejuang, peluru berpandu Tomahawk, satelit angkasa dan sistem komunikasi.

Amerika Syarikat mengimport kira-kira $160 bilion bahan nadir bumi dari China, yang mengawal 80 peratus pengeluaran bahan itu. Konflik perdagangan yang sedang dihadapi Washington dan Beijing menonjolkan kepentingan strategik dan penggunaan unsur-unsur nadir bumi dalam peralatan pertahanan.

Dalam kenyataannya itu, Lynas berkata ia menyambut baik kenyataan Mahathir yang mengakui kepentingan ekonomi operasi Lynas di Malaysia.

Ia menjelaskan bahawa satu daripada produk samping pemprosesan nadir bumi adalah WLP iaitu fosfat besi yang merupakan Bahan Radioaktif Diperoleh Secara Semulajadi (NORM).

"Sisa WLP diklasifikasikan sebagai sisa tahap yang amat rendah mengikut skim klasifikasi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa," kata syarikat itu.

Pendedahan radiasi yang diterima oleh para pekerjanya di Malaysia adalah kurang dari 2 juta tahun (mSv) setahun, yang "jauh lebih rendah daripada had pendedahan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa," kata firma itu, yang merujuk kepada tahap 20 mSv yang disarankan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan Malaysia yang membuat semakan semula ke atas Lynas menyatakan bahawa syarikat itu "mematuhi peraturan-peraturan yang berkaitan dan kemudahan penyimpanan sisa dikendalikan dengan cara yang betul," dakwa firma perlombongan itu dalam kenyataannya.

"Seperti mana sekarang, tidak ada sebab yang sah untuk menutupnya,” kata Amlir Ayat, naib presiden EcoKnights Malaysia tentang kilang itu. “Bagaimanapun, badan tempatan dan antarabangsa perlu mengadakan pemantauan yang kerap dan sewajarnya terhadap operasi yang dijalankan bagi memastikan ia terus selamat."

Seorang lagi aktivitis alam sekitar, Shariffa Sabrina Syed Akil, memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan Mahathir bertindak salah dengan membenarkan Lynas terus beroperasi di negara Asia Tenggara itu.

"Kami tahu negara pintar seperti Australia tidak akan membahayakan rakyatnya," kata Shariffa.

"Tetapi, Malaysia mahukan lebih banyak wang dan pembangunan dengan merisikokan kami dengan bahan-bahan berbahaya.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.