Malaysia Minta Bantuan Macau Kesan Jho Low
2018.07.10
Kuala Lumpur, Malaysia
Polis Diraja Malaysia telah meminta Macau membantu usaha memberkas ahli perniagaan yang kini melarikan diri, Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low), kerana beliau dikehendaki atas dakwaan terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, kata Ketua Polis Negara Malaysia pada Selasa.
Jabatan beliau telah membuat permohonan itu selepas Jho Low didakwa meninggalkan Hong Kong minggu lepas ketika para pegawai Malaysian dalam perjalanan ke sana untuk memberkas ahli perniagaan itu, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur.
“Sebaik sahaja mengetahui bahawa beliau telah melarikan diri, kami telah menulis kepada Macau namun setakat ini, kami belum menerima sebarang respons,” kata Fuzi. “Kami telah menghantar permintaan untuk mendapatkan maklumat dalam usaha kami untuk memberkas Jho Low kepada tujuh negara, termasuk China, menerusi notis merah Interpol.”
Satu-satunya respons yang diterima adalah daripada pihak berkuasa Hong Kong yang telah mengesahkan bahawa dalang di sebalik skandal yang membelenggu dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sememangnya berada di wilayah tersebut.
“Malangnya ketika pihak kami tiba, kami telah dimaklumkan bahawa beliau telah melarikan diri ke Macau dengan menaiki feri,” kata Fuzi.
Dalam perkembangan berkaitan pada Selasa, peguam negara Switzerland dan Malaysia telah bertemu bagi membincangkan kes 1MDB manakala peguam isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak membincangkan usaha untuk mendapatkan semula barangan peribadi anak guam mereka yang telah dirampas oleh penyiasat Malaysia bulan lepas.
Peguam Negara Switzerland telah mendedahkan bahawa Najib tidak termasuk dalam kalangan orang yang disiasat oleh pihak berkuasa negara itu berhubung kes 1MDB, yang menjadi focus siasatan pelbagai aktiviti penggubahan wang haram dan penyelewengan di seluruh dunia.
Minggu lepas, Najib telah ditahan dan didakwa di Malaysia berhubung skandal itu.
Menyentuh usaha Malaysia untuk menjejaki Jho Low, sebuah firma guaman yang mewakili ahli perniagaan yang kini menjadi pelarian itu bulan lepas berkata beliau akan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatannya berhubung kes 1MDB selepas agensi itu mengarahkannya hadir untuk disoal siasat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull menolak tuntutan Jho Low agar keterangannya direkod oleh penyiasat di Dubai, dan berkata ahli perniagaan itu adalah seorang warganegara Malaysia dan harus pulang ke tanah air untuk membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.
Para pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah menyifatkan kes 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi paling buruk kebelakangan ini,” dan menuduh Jho Low melakukan aktiviti penggubahan wang haram ke atas lebih AS$400 juta yang telah dicuri daripada 1MDB menerusi pemerolehan beberapa hartanah di California, New York dan London.
Antara pemerolehan itu ialah sebuah pesawat yang dibeli pada harga AS$35 juta dan sebuah kapal layar mewah yang dianggarkan bernilai AS$250 juta.
Skala besar-besaran skandal transnasional itu menyaksikan siasatan turut dibuka di Switzerland, Hong Kong, Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg, Emiriah Arab Bersatu dan Australia.
Kunjungan oleh peguam negara Switzerland
Terdahulu pada Selasa, Peguam Negara Switzerland Michael Lauber dan delegasinya telah bertemu rakan sejawat beliau dari Malaysia, Tommy Thomas, bagi membincangkan kerjasama terutama berkaitan kes 1MDB.
Dalam satu kenyataan berkaitan kunjungan itu, Peguam Negara Switzerland itu mendedahkan bahawa Najib bukanlah antara enam orang yang disiasat di negara berkenaan.
Selain itu, dua bank disyaki terlibat dalam kes-kes yang meliputi merasuah pegawai awam asing, salah laku di pejabat awam, penggubahan wang haram, melakukan penipuan, pemalsuan dokumen dan salah urus jenayah.
The Wall Street Journal melaporkan bahawa kira-kira AS$7 bilion dana daripada 1MDB mengalir menerusi sistem kewangan antarabangsa antara 2009, apabila ia diasaskan oleh Najib, dan 2015.
Pihak berkuasa Switzerland kini menjalankan siasatan bagi menentukan jumlah wang yang mengalir menerusi sistem kewangan Switzerland yang mungkin telah disalahgunakan.
Najib telah didakwa di Kuala Lumpur pada 14 Julai atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung penglibatannya dalam skandal yang membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta suapan berjumlah RM42 juta (AS$10.6 juta) sebagai dorongan bagi mempengaruhi keputusan kerajaan Malaysia untuk menjamin beberapa pinjaman berjumlah RM4 bilion (AS$1.01 bilion) kepada SRC International.
Beliau berdepan hukuman maksimum penjara 80 tahun jika disabitkan dengan keempat-empat pertuduhan.
Sejak disingkirkan daripada jawatan pada Mei, Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, telah disoal siasat oleh suruhanjaya pencegahan rasuah berhubung isu 1MDB.
Semasa menggeledah kediaman dan hartanah lain yang dikaitkan dengan mereka, para penyiasat telah merampas wang tunai sebanyak RM117 juta (AS$29 juta) selain barang kemas dan barangan mewah lain yang kesemuanya berjumlah antara RM900 juta (AS$225 juta) dan RM1.1 bilion (AS$273 juta).
Sementara itu, pada 26 Jun, syarikat Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Beirut telah mengemukakan saman terhadap Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menuntut pemulangan sejumlah 44 item barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada bekas wanita pertama itu pada 10 Feb, lapor media Malaysia.
Barang kemas itu termasuk kalung berlian, cincin, rantai tangan, anting-anting dan tiara bernilai RM59.8 juta (AS$14.9 juta).
Mengulas laporan media berkaitan saman itu, Fuzi berkata Najib dan Rosmah tidak memfailkan permohonan rasmi untuk menuntut barang kemas atau mana-mana barang yang telah dirampas ketika hartanah mereka digeledah.
Peguam Rosmah, K. Kumaraendran dan Geethan Ram, yang memberikan respons terhadap kenyataan Fuzi, membangkitkan isu berkaitan penggeledahan itu dan berkata anak guam mereka tidak hadir ketika ia dilakukan.
“Bagi pihak anak guam kami, kami juga telah menulis kepada Polis Diraja Malaysia untuk meminta senarai geledah yang tidak dikemukakan kepada anak guam kami secara langsung oleh pegawai yang bertanggungjawab, dan masih belum diterima,” kata kedua-dua peguam dalam satu kenyataan.
Mereka juga mendakwa telah meminta untuk memeriksa dan mengenal pasti barangan milik Rosmah bagi membolehkan beliau mengemukakan permohonan menuntut agar ia dipulangkan, namun telah ditolak.
“Kami berharap pihak polis akan memberikan keadilan kepada anak guam kami dan mematuhi semua proses yang wajar dengan bersungguh-sungguh,” menurut kenyataan itu.
Najib dan Rosmah secara konsisten telah menyangkal penglibatan mereka dalam skandal berkaitan1MDB.