Adik Najib, Ahli Politik dan Syarikat Antara Diarah Pulangkan Jutaan Dana 1MDB

Hadi Azmi
2019.10.07
Kuala Lumpur, Malaysia
191007-MY-MACC-chief-1000.jpg Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Latheefa Koya (tengah) menunjukkan senarai orang perseorangan dan syarikat yang diminta untuk mengembalikan dana Malaysia Development Berhad (1MDB), semasa sidang media di Putrajaya, Malaysia, 7 Okt, 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Agensi anti-rasuah Malaysia pada Isnin mengeluarkan notis kepada adik bekas Perdana Menteri Najib Razak dan 79 individu termasuk organisasi lain dengan mengarahkan mereka untuk memulangkan wang yang didakwa diterima daripada dana negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau berdepan tindakan denda.

Nazir Razak dan yang lain-lain itu didakwa menerima kira-kira RM420 juta (AS$100 juta) dari 1MDB, kata Latheefa Koya yang mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Latheefa berkata individu dan organisasi yang disenaraikan oleh SPRM itu diberi masa dua minggu untuk mengembalikan wang tersebut atau berdepan tindakan denda sehingga 2.5 kali daripada jumlah yang diterima masing-masing.

Beliau berkata kesemua 80 individu dan syarikat itu sedang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan Malaysia.

"Denda itu adalah jumlah terendah yang diterima mereka atau setinggi 2.5 kali ganda daripada jumlah yang mereka terima. Kami berharap untuk mendapatkan semula sebanyak mana yang mungkin," kata Latheefa kepada media pada Isnin. "Terserah kepada mereka untuk membayar denda, yang jika gagal, kami akan menggunakan kuasa penuh yang terdapat dalam akta itu untuk mengambil tindakan yang perlu."

Najib sedang dibicarakan dalam dua kes rasuah yang dikaitkan dengan dakwaan kecurian berbilion dolar dari 1MDB, dana yang ditubuhkan beliau pada 2009 untuk merangsang pembangunan ekonomi di Malaysia. Secara keseluruhannya, beliau menghadapi 42 pertuduhan termasuk salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Latheefa berkata adik Najib, Nazir, yang juga bekas pengerusi kumpulan perbankan CIMB, adalah individu yang menerima wang paling banyak dalam senarai itu.

"Senarai itu menunjukkan bahawa jumlah yang diterima Nazir, jika tidak salah saya, adalah kira-kira RM25.7 juta (AS$6.1 juta)," katanya.

Solar Shine Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengkhususi acara penganjuran, pula menerima sebanyak RM134 juta (AS$32 juta) daripada dana 1MDB.

"Mereka menerima wang tersebut melalui cek - itulah sebabnya kami dapat mengesahkan jejaknya dan mengesan mereka dengan tuduhan ini. Kami amat  jelas dengan asal punca wang berkenaan," katanya sambil memberitahu bahawa lebih banyak nama akan dimasukkan dalam senarai tersebut.

Turut dinamakan dalam senarai itu ialah Ahmad Maslan yang merupakan bekas timbalan menteri kewangan dan Ahli Parlimen Barisan Nasional, gabungan parti yang pernah dipimpin Najib dan kini bertindak sebagi pembangkang selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Namun, dalam satu kenyataan ringkas kepada pemberita, Ahmad menafikan beliau menerima dana 1MDB.

"Saya telah disiasat oleh polis dan SPRM. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan jumlah yang ditunjukkan pada salinan cek yang dikaitkan dengan saya," katanya, sambil memberitahu "saya juga telah menandatangani dokumen polis dan SPRM bahawa saya tidak menerima dana seperti yang dinyatakan."

Pengumuman SPRM itu adalah berbeza daripada tuntutan saman yang berkaitan dengan 1MDB yang difailkan pada Jun terhadap 41 individu dan organisasi untuk mendapatkan kembali RM270 juta (AS$64.5 juta).

Perbicaraan kes rasuah bermula


Latheefa membuat pengumuman itu pada hari sama bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengikuti hari pertama perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya di mahkamah.

Pihak pendakwaan menuduh Mohd Isa Abdul Samad menerima RM3 juta (AS$716,000) pada 2014 dan 2015 kerana meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suite di Kuching, Sarawak kepada Felda Investment Corp Sdn Bhd pada harga yang melambung tinggi, menurut laporan media.

Mohd Isa mengaku tidak bersalah pada Disember lalu bagi satu pertuduhan pecah amanah jenayah dan sembilan pertuduhan menerima suapan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.