Tiga Penjawat Awam Berpangkat Tinggi Ditahan SPRM, Beku RM13 Juta

Hata Wahari
2016.08.15
Kuala Lumpur
160815-my-macc-kerajaan-620 Sekumpulan rakyat Malaysia mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, 17 Julai, 2009.
AFP

Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin telah menahan tiga penjawat awam berpangkat tinggi di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan atas siasatan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram dengan mengambil tindakan membekukan hampir kesemua harta milik mereka berjumlah kira-kira RM13 juta.

Ketiga-tiga individu yang berusia dalam lingkungan 50-an itu bertugas di sebuah jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan itu ditahan dalam operasi serentak yang dijalankan di tiga negeri pada Isnin, demikian menurut kenyataan suruhanjaya berkenaan.

Pengarah Siasatan SPRM Azam Baki berkata, susulan penahanan itu, pihak SPRM telah bertindak membeku akaun milik ketiga-tiga mereka melebihi RM13 juta yang meliputi wang simpanan, amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang ditahan itu.

“SPRM juga menyita beberapa aset mereka seperti kondominium mewah termasuk penthouse, rumah banglo serta kenderaan mewah jenis Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil kegiatan rasuah dan penggubahan wang haram.

“Dalam itu juga, SPRM menemui wang tunai mencecah RM400,000 termasuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Siasatan dibuat dibawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Di bawah kesalahan seksyen Akta SPRM 2009, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi," katanya.

Di bawah Akta Penggubahan Wang haram pula, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana  yang lebih tinggi.

Semua suspek akan dibawa ke mahkamah pada Selasa untuk mendapatkan perintah tahan reman di mahkamah majistret.

Dalam pada itu, Presiden Transparency Malaysia (TI-M) Akhbar Satar dalam reaksi segeranya terhadap penahanan berkenaan mahu SPRM terus meningkatkan usaha untuk mencegah rasuah di peringkat tertinggi jabatan-jabatan kerajaan Malaysia.

“Usaha ini tidak harus terhenti, sebaliknya harus dipertingkatkan dengan memastikan mereka yang terlibat dalam rasuah di peringkat tertinggi ditangkap,’’ katanya kepada BeritaBenar ketika dihubungi.

SPRM kini diterajui oleh Dzulkifli Ahmad, yang sebelum ini mengetuai pasukan penguatkuasaan pemulihan pendapatan negara, Jabatan Peguam Negara. Beliau menggantikan Abu Kassim Mohamed yang memilih untuk mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya kerana ditawarkan menjadi pakar jemputan di International Anti-Corruption Academy (IACA) iaitu sebuah Universiti Pencegahan Rasuah pertama di dunia yang terletak di Austria.

Suruhanjaya itu semasa berada di bawah Abu Kassim telah menjalankan siasatan melibatkan skandal 1MDB dan menurut laporan bulan lepas oleh Wall Street Journal, agensi itu telah meminta Peguam Negara untuk memfailkan tuduhan jenayah terhadap Najib, berkaitan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau melalui entiti yang berkaitan dengan 1MDB.

Dalam satu temubual eksklusif bersama agensi berita nasional Bernama baru-baru ini, Dzulkifli berkata fokus utamanya adalah memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya dalam laporan itu.

‘Perlantikan anggota panel bebas’

Sementara itu, kerajaan Malaysia mengumumkan pelantikan seramai 20 anggota badan bebas yang memantau perjalanan SPRM iaitu Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Panel Penilaian Operasi (PPO) pada Isnin, dengan menyatakan Perdana Menteri Najib Razak telah menyerahkan watikah pelantikan itu kepada mereka yang dilantik.

Mereka yang dilantik terdiri daripada pemimpin badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, golongan profesional, ahli-ahli akademik serta bekas pegawai tertinggi kerajaan.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Ismail Adam dilantik sebagai pengerusi PPPR manakala bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Zaleha Ismail dilantik sebagai pengerusi PPO, menurut kenyataan itu.

Dua belas anggota PPPR ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohamad Sheikh Abdul Aziz, bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Dr. Mohd Sham Mohd Sani, Profesor Adjung di Asia E-University Dr. T. Marumuthu, Pengarah Urusan The Store Corporation Berhad Tang Yeam Soon, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar V. Danapalan, pengasas Naim Land Sdn. Bhd., Hasmi Hasnan.

Selain itu, Karyawan Tamu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia Amia Mohd. Salleh, Peguambela dan Peguamcara Baljit Singh Sidhu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Abdul Aziz Ishak, Pengarah Urusan Skop Productions Sdn. Bhd. Yusof Haslam; Dekan Pengasas dan Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Cyberjaya University College of Medical Sciences Profesor Dr.Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global Nasharuddin Mat Isa.

Sementara enam lagi anggota PPO SPRM ialah bekas Ketua Polis Negara Ismail Omar; Pengerusi Malaysian Rating Corporation Berhad Azizan Abdul Rahman, bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Dr. Siti Mariam Che Ayub, Peguambela dan Peguamcara dari Selva Mookiah & Associates Selva Mookiah, Profesor Madya Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Profesor Madya di Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA Profesor Dr. Yap Bee Wah.

“Tempoh pelantikan anggota bagi PPPR dan PPO adalah selama setahun berkuatkuasa hari ini sehingga 14 Ogos tahun depan,” kata SPRM dalam kenyataan pada Isnin,

SPRM yang diwujudkan pada tahun 2009 mempunyai lima badan bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, PPO, Jawatankuasa Aduan dan PPPR.

Akhbar menambah, ahli panel yang terpilih seharusnya memenuhi tanggungjawab mereka dengan amanah serta membantu SPRM menjalankan tugasnya sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang dipercayai dan dihormati.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.