Laman Web Lapor Skandal Najib Tidak Boleh Diakses Di Malaysia

Fahirul N. Ramil
2016.01.29
160129-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berjalan ke kereta rasmi beliau ketika beredar dari Parlimen di Kuala Lumpur. 26 Januari 2016.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia dipercayai telah menyekat sebuah laman web berita asing pada Jumaat selepas ia menyiarkan laporan yang mempersoalkan asas kepada keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan sebarang pertuduhan  berkaitan rasuah terhadap Perdana Menteri Najib Razak berhubung wang beratus-ratus juta dolar yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Rakyat Malaysia yang cuba untuk log masuk ke jurnal dalam talian Asia Sentinel disambut dengan mesej pada Jumaat yang memberitahu mereka bahawa "laman web ini tidak boleh didapati di Malaysia kerana ia melanggar undang-undang Negara ."

"Kami sedar bahawa ada yang mempunyai kesukaran mengakses laman web kami dari Malaysia dan kami sedang mencari penyelesaiannya sekarang,"  kata Asia Sentinel,  yang melaporkan berita, analisis dan pendapat mengenai isu-isu nasional dan serantau dalam e-mel kepada pembaca. Ia berpejabat di Hong Kong.

Mesej itu dihantar kepada pelanggan tempatan dengan pautan web berserta alat, yang menurutnya, membolehkan mereka untuk "memintas penapisan dalam talian."

Pihak berkuasa Malaysia tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan maklum balas.

Laporan Asia Sentinel mempersoalkan dakwaan peguam utama kerajaan Malaysia minggu ini bahawa AS$ 681 juta (RM2.08 bilion) yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib adalah hadiah daripada keluarga diraja di Arab Saudi.

Sejak Peguam Negara Malaysia Mohamed Apandi Ali mengumumkan pada Selasa bahawa pejabatnya tidak akan mengenakan pertuduhan rasuah yang berkaitan terhadap Najib, Asia Sentinel telah melaporkan tiga artikel mengenai tajuk itu.

Laporan pada Jumaat mempersoalkan kenyataan Apandi bahawa AS$681 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib adalah "derma peribadi" dari keluarga diraja Saudi dan bahawa "tidak ada jenayah" yang dilakukan.

Asia Sentinel merujuk satu laporan Wall Street Journal, yang memetik pegawai Arab Saudi sebagai berkata, bahawa mereka "tidak mempunyai maklumat mengenai apa-apa hadiah dan sumbangan diraja ke akaun bank peribadi seorang pemimpin asing tidak pernah dilakukan sebelum ini."

"Sumber berita lain mengatakan kerajaan Arab Saudi telah memulakan siasatan untuk menentukan sama ada sebarang sumbangan diberikan  kepada Najib, yang dianggapnya sebagai tidak mungkin pernah berlaku," lapor Asia Sentinel pada Jumaat.

Sumber SPRM: Ada cadangan pertuduhan dibuat terhadap Perdana Menteri

Peguam Negara membuat keputusannya selepas menerima laporan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap deposit AS$681 juta dan transaksi kewangan yang lain, di mana nama Najib dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu  dana negara yang sarat hutang, dengan lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Sumber dalaman SPRM memberitahu BeritaBenar bahawa agensi itu telah mencadangkan Peguam Negara supaya meneruskan tiga pertuduhan jenayah salah guna harta berjumlah RM42 jutat (US$10.1 juta) terhadap Najib.

Sumber yang tidak mahu dikenali itu berkata, pertuduhan yang dicadangkan itu adalah berkaitan dengan tiga transaksi wang yang ditokok menjadi RM42 juta dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada SRC International Subsidiaries, sebuah syarikat milik negara yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mohamed Apandi enggan mengulas berita itu ketika dihubungi.

"Saya di luar negara kerana menghadiri satu persidangan ... minta maaf," katanya kepada BeritaBenar dalam satu mesej.

Sehari selepas beliau mengarahkan pegawai-pegawai SPRM untuk menutup semua fail dan menghentikan siasatan terhadap perdana menteri, suruhanjaya itu merujuk keputusan Peguam Negara berkenaan kepada dua panel bebas.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata, pengurusan atasannya telah memutuskan untuk merujuk kes itu kepada Panel Penilaian Operasi (PPO) dan satu lagi panel khas yang anggotanya masih belum dilantik.

PPO adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk memantau SPRM, dan merupakan satu daripada lima badan bebas yang memantau prestasi dan status kes yang disiasat oleh suruhanjaya itu.

Pada  Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed mengeluarkan kenyataan menafikan berita itu bahawa, melalui langkah merujuk kes itu kepada PPO, suruhanjaya itu mempertikaikan atau mencabar keputusan Apandi untuk membersihkan Najib daripada potensi pertuduhan. Langkah itu adalah prosedur operasi standard dalam mana-mana kes yang telah ditutup, kata ketua SPRM itu.

'Peguam Negara tidak perlu takut'

Keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa perdana menteri telah mengundang banyak kritikan di Malaysia.

Ahli PPO Lim Chee Wee berkata, Apandi perlu menerangkan dengan jelas kepada orang ramai “mengapa beliau tidak mendakwa Najib."

"Peguam Negara tidak perlu takut terhadap kuasa atau kedudukan mana-mana individu ...," kata Lim, yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, kepada BeritaBenar melalui e-mel.

Peguam Negara juga tertakluk kepada undang-undang untuk memberi penjelasan terperinci dan memuaskan kepada orang ramai tentang mengapa beliau mungkin tidak bersetuju dengan cadangan yang dibuat oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang apabila dakwaan itu melibatkan personaliti berprofil tinggi, seperti seorang perdana menteri, kata Lim.

Pengumuman Apandi dibuat sehari sebelum pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global, Transparency International (TI), mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah bagi 2015, di mana kedudukan Malaysia merosot sebanyak empat tahap kepada 54 daripada 167 negara dan wilayah sejak 2014.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.