Pemberontak Thailand Akan Bertemu Pemimpin OIC di Malaysia

Suhana Osman
2016.01.08
160108-MY-OIC620 Iyad Ameen Madani, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), bercakap dengan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov di Moscow. 11 Jun 2015
AFP

Sebuah kumpulan induk yang mewakili pemberontak-pemberontak selatan Thailand dalam usaha menyambung semula rundingan damai dengan Thailand, akan bertemu dengan ketua Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)  di Kuala Lumpur pada Ahad, kata ahli delegasi pemberontak kepada BeritaBenar.

Badan induk itu, MARA Patani, mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai OIC di Kuala Lumpur,  ibu negara Malaysia, pada Jumaat bagi merancang mesyuarat dengan Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani pada hujung minggu itu, menurut ahli MARA Patani, Abu Hafiz Al-Hakim.

"Kami telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai OIC di sini, hari ini," kata Abu Hafiz.

"Mesyuarat awal kami dengan pegawai-pegawai OIC hari ini adalah sangat positif. Lebih dari apa yang kami harapkan," katanya tanpa mengulas lanjut.

Madani yang dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Jumaat untuk lawatan tiga hari ke Malaysia, di mana beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak, menurut kenyataan media Kementerian Luar Negara Malaysia pada Khamis.

Pada Ahad, beliau akan ke Thailand bagi lawatan sehingga 13 Jan, dengan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha serta mengambil bahagian dalam simposium “dialog antara agama dan kehidupan aman dalam masyarakat pelbagai budaya,” kata Kementerian Luar Negeri Thailand dalam satu kenyataan.

Abu Hafiz mewakili Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dalam MARA Patani, yang mengadakan rundingan sejak tahun lepas sebagai barisan hadapan yang bersatu bagi pelbagai kumpulan dan puak pemberontak di selatan Thailand untuk berunding dengan pegawai-pegawai Thai.

Rundingan itu, yang diusahakan Malaysia,  bertujuan meneruskan rundingan damai rasmi dengan Thailand buat kali pertamanya sejak Disember 2013. Sekiranya usaha-usaha itu berjaya, pusingan baru rundingan rasmi akan menjadi yang pertama diadakan di bawah kerajaan tentera yang menerajui Thailand, yang mengguling kerajaan pimpinan awam pada Mei 2014.

Kumpulan dan puak pemberontak  berbeza telah melancarkan pemberontakan pemisah di wilayah Selatan Thailand, di mana majoriti  penduduknya ialah orang Islam yang bertutur bahasa Melayu, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 6,000 orang terkorban sejak  2004.

Malaysia adalah antara 57 negara anggota OIC, yang merupakan  organisasi  antara kerajaan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu. Thailand sebuh negara dengan agama rasmi Buddha, adalah satu daripada lima negara pemerhati OIC.

Masalah 'dalaman'

Sementara itu, akhbar The Nation di Thailand pada Jumaat menerbitkan rencana pengarang yang mengkritik Thailand kerana gagal mematuhi perjanjian-perjanjian yang telah dibuat dengan organisasi yang mewakili dunia Islam itu.

"Tidak jelas apa yang Iyad Ameen Madani dan pertubuhan 57 anggota itu fikirkan pada ketika ini, tetapi, jika lawatan wakilnya pada 2007 dan 2012 adalah satu petunjuk, Madani akan tiba dengan cadangan penting bagi menyelesaikan konflik penduduk Melayu Islam yang menguasai Selatan Thailand,” kata rencana pengarang itu.

Sementara itu, Jeneral Aksara Kerdpol, ketua perunding Thailand dalam rundingan ‘ pintu belakang’ dengan MARA Patani baru-baru ini, mempengerusikan mesyuarat pemimpin-pemimpin agama, ahli akademik dan kumpulan masyarakat awam di Selatan Thailand pada Jumaat, di mana beliau telah memberi maklumat terkini  mengenai status rundingan itu .

"Proses damai ini telah diteruskan  dan berada pada tahap membina kepercayaan ...," kata Aksara pada mesyuarat itu.

Beliau turut menyentuh mengenai lawatan Setiausaha Agung OIC ke Thailand.

"OIC telah menyokong kami dalam proses rundingan damai ini  dan memahami bahawa ia adalah satu urusan dalaman di mana OIC tidak akan campur tangan."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.