'Malaysia Madani' slogan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim

Konsep Madani yang lahir dari perkataan Arab itu menekankan kepada keterangkuman dan urus tadbir baik, demikian menurut Perdana Menteri.
Iman Muttaqin Yusof & Iskandar Zulkarnain
2023.01.19
Putrajaya
'Malaysia Madani' slogan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap semasa memperkenalkan slogan pentadbiran kerajaan baharunya ‘Malaysia Madani” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 19 Januari, 2023.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Kerajaan memberi jaminan kaum-kaum minoriti dalam masyarakat berbilang kaum di negeri itu akan dihormati dan dipelihara, demikian menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis, apabila beliau memperkenalkan slogan yang menekankan kepada keterangkuman dan urus tadbir baik.

“Malaysia Madani” memberi penekanan kepada jaminan bahawa tiada komuniti akan terpinggir, ujar Anwar dalam menerangkan slogan pentadbirannya, termasuk parti-parti di Sabah dan Sarawak, negeri-negeri di mana populasinya bukan majoriti Melayu.

“Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan dirangkul peradaban yang dicitakan.

“Pimpinan ini akan berusaha mempelihara rakyat daripada kancah perkauman, serta meletakkan noktah terhadap usaha pihak yang menggunakan politik identiti untuk memecah-belahkan masyarakat,” ujarnya dalam majlis Amanat Perdana Menteri bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Anwar, yang pada usia mudanya dikenali sebagai presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menjelaskan istilah Madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.

Ujarnya lagi, langkah mengekang politik perkauman itu adalah selari dengan titah Raja-Raja Melayu, dengan merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Selangor dan Raja Perlis sambil memberi amaran tentang ancaman pengertian perkauman sempit sehingga membiarkan berlakunya kezaliman.

Madani dalam istilah Arab membawa maksud ‘bertamadun’ namun Anwar menjelaskan konsep Madani yang dibawa pentadbirannya merujuk kepada usaha pembangunan peradaban yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, berkeyakinan dan bersifat insan.

Menurutnya, Malaysia Madani adalah hala tuju kerajaan perpaduan pada tahun 2023 dan tahun-tahun selepasnya.

“Kita perlu melihat kepada kenyataan global pada hari ini. Dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan, percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal – indeed, these are postnormal times,” jelasnya lagi.

Penstrukturan semula

Anwar menegaskan, pentadbirannya tidak akan hanya menggunakan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya dilihat dari konteks yang lebih luas – ekonomi manusiawi.

“Sudah tiba masanya untuk menamatkan salah ukur kemajuan manusia dengan pertumbuhan ekonomi semata-mata. Kadar pengangguran juga tidak boleh dilihat dari segi perangkaan sahaja kerana ia tidak menggambarkan kesengsaraan dan penderitaan sebenar kemiskinan yang dialami oleh rakyat atau mereka yang terjejas.

“Justeru, pertumbuhan dan pengembangan perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas yakni ekonomi manusiawi - yang mengutamakan keperluan rakyat, khususnya, yang miskin dan terpinggir, yang membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme yang tidak terkawal – unbridled capitalism – yang membiak ketidaksamaan kekayaan dan ketidaksamaan taraf hidup.

“Ini termasuk pendapatan yang mencukupi, pendidikan berkualiti dan latihan yang berkesan, perumahan yang selesa, pemakanan yang mencukupi, penjagaan kesihatan, dan keselamatan dan keamanan,” ujarnya lagi.

Menurut Perdana Menteri itu lagi, biarpun kadar kemiskinan Malaysia dikatakan menurun sejak lima dekad yang lalu, namun hakikatnya jumlah rakyat miskin masih tinggi.

“Setakat Julai 2022, lebih 136,000 isi rumah masih dalam kategori miskin tegar, sementara lebih 308,000 isi rumah dalam kategori miskin.

“Jabatan Perangkaan Malaysia turut mendedahkan bahawa sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 telah beralih kepada kumpulan B40 susulan pelaksanaan PKP yang menyaksikan kemerosotan atau kehilangan punca pencarian rakyat,” katanya lagi.

Justeru, Anwar mengusulkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi sebagai kaedah alternatif bagi mengukur kadar kemiskinan berdasarkan dimensi keperluan asas seperti tahap pendidikan, zat makanan, bekalan air bersih dan sebagainya, sesuai dengan kenyataan hidup manusia.

“Perjuangan selama lebih dua dekad menjadi teladan untuk kita membina sebuah masyarakat madani yang bersifat ihsan, peduli dan merasai keperitan orang miskin. Membela kebajikan bermula dengan kadar upah yang bermaruah,” tegasnya lagi.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata dalam melaksanakan keadilan sosial, penstrukturan semula ekonomi perlu berasaskan etika yang mampan.

“Elakkan pembaziran dan kemewahan, basmi ketirisan dan rasuah, segerakan bantuan dan prasarana rakyat, pemerataan kekayaan secara saksama.

“Soal penentangan rasuah sudah berulang kali dibangkit dan dirumus. Cukup sekadar saya mengulangi bahawa langkah- langkah berkesan terhadap rasuah mesti merangkumi pembaharuan masyarakat dan undang-undang yang menyeluruh. There must be the political will to wage war on this (harus ada kekuatan politik untuk memeranginya),” tegas Anwar.

Diterjemahkan sebagai dasar kerajaan

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya selepas mengikuti amanat perdana menteri berkata konsep masyarakat Madani bukan baru kerana idea itu sudah dilontarkan oleh Anwar sejak lebih dari suku abad yang lalu.

“…dalam ucapan ulung tadi memperlihatkan bahawa akhirnya keterangkuman daripada kumpulan masyarakat, bangsa, agama dan juga wilayah. Ini merupakan satu pendekatan baharu yang pada hemat saya, cukup lama ditunggu,” ujarnya kepada pemberita.

Azmil Mohd Tayeb, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia berkata pengenalan slogan adalah pendekatan yang biasa dilakukan oleh mana-mana kerajaan.

Menurut Azmil, pemilihan istilah Madani memberi gambaran kepada latarbelakang Anwar ketika berjuang di dalam ABIM.

“Ia bertujuan untuk mengimbangi pengaruh parti pembangkang Perikatan Nasional yang bertunjangkan kepada bangsa Melayu dan Islam,” ujarnya kepada BenarNews.

“Saya fikir Anwar akan turut merangkumkan konsep ‘Madani’ dalam membentangkan Belanjawan 2023 sebagai mengukuhkan keabsahan pentadbirannya,” katanya lagi.

Namun beliau menegaskan slogan sahaja tidak akan memberi makna andainya tidak diamalkan dalam mengukur kemampuan kerajaan Anwar.

Sementara itu, Mohd Azizuddin Mohd Sani, pensyarah kanan politik di Universiti Utara Malaysia menyifatkan walaupun inspirasi Anwar datangnya dari konsep Islamik namun semangatnya yang berbagai dan sesuai kepada pendekatan pelbagai kaum.

“Madani merujuk kepada sikap terhadap pembentukan peradaban melalui budaya sivik melalui persembahan budaya... Ia juga tidak bermakna konsep masyarakat sivil di Barat memandangkan idea mengenai Madani adalah begitu meluas antaranya kedaulatan undang-undang, urus tadbir baik dan peranan Raja-Raja,” ujarnya lagi.

“Saya fikir beliau (Anwar) akan merangka bentuk polisi kepada negara tersebut. Buat masa ini beliau perlu terus mempromosikan idea serta memastikan rakyat Malaysia memahami serta menyokongnya,” tambahnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.