Follow us

Parlimen Malaysia Akan Pilih Perdana Menteri Berikutnya: Mahathir

Amy Chew
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-27
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri iterim Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media selepas melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya, Malaysia, 27 Februari 2020.
Perdana Menteri iterim Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media selepas melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya, Malaysia, 27 Februari 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

KEMASKINI pada 1.45 petang waktu tempatan ETS - 2020-02-27

Yang di-Pertuan Agong Malaysia akan meminta Parlimen memilih perdana menteri baru selepas tamatnya dua hari menemuramah Ahli Parlimen, dalam usaha memecahkan kebuntuan politik negara, kata pemimpin interim Mahathir Mohamad pada Khamis.

Sekiranya tiada calon mendapat sokongan majoriti, pilihan raya mengejut akan diadakan, kata Mahathir, selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada awal hari berkenaan.

Istana Negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan pada Khamis tetapi difahamkan yang mesyuarat Majlis Raja-Raja akan diadakan pada pagi Jumaat.

"Seperti yang diketahui, Yang di-Pertuan Agong telah meminta semua Ahli Parlimen memberi kenyataan ... kerana mereka telah membuat akuan berkanun sebelum ini ... dan selama dua hari mereka berbuat demikian," kata Mahathir, 94, pada sidang berita yang padat dengan wartawan di pusat pentadbiran Putrajaya semasa majlis pengumuman pakej rangsangan ekonomi.

"Hasilnya, mereka tidak dapat menemukan sesiapa yang memperoleh majoriti yang ketara, dan oleh kerana tidak ada yang menerima majoriti ketara, baginda menyatakan forum yang sesuai adalah Parlimen,” kata Mahathir yang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, Parlimen akan bersidang pada 2 Mac untuk menentukan siapa mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat bagi menjadi Perdana Menteri berikutnya. Bagaimanapun, sekiranya Parlimen gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu adakan pilihan raya mengejut," katanya.

Dua atau tiga calon

Undi khas dan peristiwa yang berlaku sejak beberapa hari lepas merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, yang mempunyai kira-kira 30 juta rakyat pelbagai kaum dan memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1957.

Sejak dua hari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah menemu bual secara individu dengan hampir 222 Anggota Parlimen untuk menentukan siapa yang disokong mereka untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas Mahathir meletak jawatan sebagai pemimpin negara itu.

Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri interim selepas Yang di-Pertuan Agong  menerima peletakan jawatannya pada Isnin.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk secara perseorangan meminta diadakan pilihan raya dan hanya boleh bertindak demikian atas nasihat seorang Perdana Menteri interim, pemangku perdana menteri atau perdana menteri ‘çaretaker’, kata pakar undang-undang perlembagaan Malaysia Profesor Shad Saleem Faruqi.

Sumber dalam parti Mahathir memberitahu BeritaBenar bahawa terdapat dua atau tiga calon bagi jawatan Perdana Menteri kelapan itu.

"Calon-calonnya ialah Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim serta mungkin Muhyiddin Yassin," kata sumber itu kepada BeritaBenar.

Anwar, presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sepatutnya mengganti Mahathir sebagai perdana menteri, tetapi ketegangan mengenai sama ada dan bila beliau harus mengambil alih kuasa itu telah menyebabkan politik Malaysia bergelora sejak beberapa bulan lalu.

Muhyiddin ialah presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menjadi menteri dalam negeri sehingga Isnin.

Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau telah berbincang dengan Muhyiddin tentang kemungkinan beliau menjadi calon Bersatu bagi jawatan perdana menteri. Mahathir adalah Pengerusi Bersatu, walaupun beliau meletak jawatan itu buat beberapa hari pada minggu ini.

"Jika semua orang memilihnya (Muhyiddin), saya okay sahaja," kata Mahathir.

Ditanya sama ada Bersatu akan menamakan dua calon, Mahathir berkata parti itu belum membuat sebarang keputusan.

Mahathir berkata beliau dan Muhyiddin mempunyai pandangan yang berbeza berhubung kerjasama dengan bekas parti pemerintah, UMNO.

"Kedudukan saya, tentu sahaja, saya tidak akan menerima UMNO sebagai parti komponen tetapi Muhyiddin lebih relaks, agak bersedia untuk menerima mereka," kata Mahathir.

'Pengalaman baru'

Penasihat media Mahathir, Kadir Jasin, memberitahu BeritaBenar bahawa persidangan khas Parlimen tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini adalah satu pengalaman baru untuk Malaysia. Tetapi, ia juga menunjukkan bahawa terdapat sistem bagi mengatasi masalah yang berkaitan dengan pemilihan calon untuk perdana menteri ... dan untuk mengatasi pertikaian politik antara parti," kata Kadir.

Beliau memberitahu bahawa pengumuman Mahathir mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan sekiranya undi di Parlimen gagal menemukan perdana menteri yang baru "membuktikan bahawa dakwaan sejak sekian lama tentang Mahathir sebagai diktator adalah salah."

Pada 1990-an, Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, merupakan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang menguasai politik Malaysia. Kedua-duanya bermusuh kemudian dengan Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalannya.

Tetapi, pada pilihan raya umum 2018, mereka bergabung tenaga untuk memimpin Pakatan Harapan dalam usaha menyingkirkan gabungan parti Barisan Nasional yang diterajui UMNO dan dipimpin Perdana Menteri Najib Razak.

Menjelang pilihan raya umum dua tahun lalu, manifesto Pakatan Harapan menyatakan Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun berkhidmat, dan perancangan itu menyebabkan pengundi memilih pakatan pembangkang yang mencatatkan kemenangan besar penuh bersejarah.

Tetapi dalam perutusan secara langsung yang disiarkan oleh stesen televisyen negara pada Rabu, Mahathir berkata beliau telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri untuk memberi peluang kepada parlimen memutuskan siapa yang bakal menggantikan beliau.

"Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih," kata Mahathir.

Sesiapa yang dipilih untuk berkhidmat sebagai perdana menteri seterusnya boleh melantik sesiapa yang dia mahu mengisi jawatan dalam kabinet baru, kata Mahathir.

"Dia boleh memilih mana-mana ahli tanpa ikatan dengan mana-mana pihak ... (berada di dalam kabinet) sebagai individu dan tidak dilihat sebagai wakil parti mereka," kata pemimpin interim itu sambil menambah bahawa calon bebas yang berkelayakan juga boleh dipertimbangkan untuk kabinet seterusnya .

Majlis Presiden PH kritik Mahathir

Lewat Khamis, Majlis Presiden Pakatan mengadakan mesyuarat tergempar selepas itu dengan kenyataan yang mengkritik pengumuman Mahathir mengenai sesi parlimen khas yang akan datang yang dihadiri Anwar Ibrahim, isterinya Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa pemimpin parti dalam pakatan berkenaan.

Satu kenyataan akhbar telah dikeluarkan kepada media selepas pertemuan yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan Anwar juga menyiarkan petikan daripada kenyataan Majlis Presiden PH pada suapan Twitternya.

“Majlis Presiden berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata kenyataan itu sambil menambah "Adalah tidak wajar bagi Perdana Menteri interim mendahului titah Yang di-Pertuan Agung dalam hal ini."

Langkah Perdana Menteri interim mengumumkan sidang Parlimen untuk memilih Perdana Menteri berikutnya adalah mencabar hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agung, dakwa Majlis Presiden itu.

Majlis itu juga menggesa "semua pihak menghormati budi bicara dan kuasa Yang di-Pertuan Agung dalam hal ini."

Lihat Laman Penuh