Follow us

Mahathir: ‘Tiada Pemimpin Malaysia Bebas daripada Kritikan’

Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-05-10
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media di Putrajaya, 9 Mei 2019.
Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad semasa bercakap kepada media di Putrajaya, 9 Mei 2019.
[AFP]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Jumaat menegaskan bahawa "tiada pemimpin di Malaysia bebas daripada kritikan," semasa meluahkan kekesalan terhadap penangkapan seorang aktivis media sosial yang didakwa mengkritik Putera Mahkota Johor di laman media sosial Twitter baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah membuat satu tangkapan terhadap seorang penggiat media sosial malam tadi. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, tidak ada mana-mana pemimpin di Malaysia yang bebas dari kritikan.

“Rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu. Kebebasan bersuara adalah penting di dalam sesebuah demokrasi. Kecuali ugutan, fitnah, atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara

“Saya merasa kesal dengan tindakan menangkap penggiat media sosial tersebut,” kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu dalam ciapan di laman Twitter beliau @chedetofficial yang mendapat lebih lima ribu retweet dan lebih empat ribu ‘like’ sehingga jam 9 malam Jumaat waktu tempatan Malaysia.

Mahathir pada jam 3.10 petang mengeluarkan tiga ciapan di akaun twitter rasminya mengutuk penangkapan Firdaus Abdillah Hamzah, seorang penulis, penerbit buku dan juga aktivis media sosial dengan menyatakan rakyat berhak mengkritik pemimpin.

Firdaus, 37 tahun yang lebih dikenali dengan nama ‘Pipiyapong’ ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pada jam 11  malam pada Khamis (9 Mei) kerana ciapan yang dikatakan menyinggung perasaan Tunku Mahkota Johor [TMJ], Tengku Ismail Sultan Ibrahim.

Polis Johor turut mengesahkan penangkapan Firdaus dalam satu kenyataan media petang Jumaat.

“Pada 4/5/2018, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berkaitan satu ‘posting’ oleh pemilik akaun twitter yang bernama ‘Pipiyapong’. Posting tersebut mengandungi kenyataan-kenyataan yang berbaur penghinaan dan ditujukan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor,” kata Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd dalam satu kenyataan sambil menambah yang satu kertas siasatan telah dibuka.

Jika disabit kesalahan menurut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau di denda atau kedua-duanya sekali kerana membuat kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat yang boleh memecah belahkan keamanan, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkait penggunaan tidak wajar rangkaian dan perkhidmatan rangkaian yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi 50 ribu ringgit atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Firdaus telah dibawa ke Balai Polis Tampoi, Johor daripada Balai Polis Kuala Lipis, Pahang pada jam 11.15 malam Khamis kemudiannya dibebaskan pada jam 4.45 petang Jumaat dengan jaminan polis.


190510-MY-Firdaus430.jpg
Penulis dan aktivis media sosial Firdaus Abdillah Hamzah (tengah) bersama pegawai polis di Balai Polis Daerah Tampoi, Johor, 10 Mei, 2019. [Ihsan #FreePipiyapong]

Laman Twitter dan Facebook di Malaysia turut dihujani dengan slogan #FreePipiyapong dan #BebasPipiyapong sepanjang hari berikutan perkara tersebut.

Berita penangkapan Firdaus telah didedahkan oleh aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza pagi Jumaat melalui laman Facebook berkata ia dipercayai berkaitan ciapan mengenai “seorang anak raja”.

Fahmi yang terkenal dengan 'karikatur badut'nya dalam mengkritik kerajaan terdahulu, meminta Pakatan Harapan tidak mengikut jejak langkah Barisan Nasional yang menyekat pengguna media sosial.

“Selepas setahun berkuasa, kerajaan baru sepatutnya jangan ikut perangai buruk kerajaan lepas yang suka menggunakan undang-undang untuk menyekat pengguna media sosial dan menahan pengguna kerana menyakitkan hati orang lain di media sosial,” ujarnya melalui hantaran tersebut.

Istana nafi terlibat

Sementara itu, Tunku Ismail dalam ciapan di akaun twitternya menafikan terlibat dalam penangkapan Firdaus dengan memuat naik “Salam Jumaat. Istana Johor tidak pernah buat report (laporan) dari dulu hingga ke hari ini,”

“Jikalau ada report ia kemungkinan dari pihak lain. This have nothing to do with us (ini tiada kaitan dengan kami),” titahnya di Twitter.

Bagaimanapun ciapan itu telah dipadamkan kira-kira jam enam petang tadi.

Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan Firdaus memberitahu BeritaBenar yang Firdaus kini selamat dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Lipis Pahang.

“Polis rampas telefon bimbitnya dan dia telah beri kerjasama yang baik dengan polis,” kata beliau yang enggan namanya disiarkan oleh BeritaBenar.

Perselisihan antara Mahathir dan Istana Johor berlarutan sejak kes tanah Taman Negara Pulau Kukup yang didakwa dibeli Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar al-Haj tahun lalu dengan beberapa siri kenyataan termasuk berkaitan tanah untuk projek Sistem Rel Pantas (RTL) bulan lalu.

Isnin lalu, Mahathir menyifatkan TMJ sebagai seorang budak kecil bodoh dan tidak tahu apa yang berlaku.

Kenyataan yang dilihat kasar dibuat oleh seorang Perdana Menteri dalam menjawab kenyataan terbaharu TMJ berhubung perkara baik dilakukan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak dihebohkan khususnya jumlah tanah milik Sultan Johor yang dikurniakan untuk rakyat dan kebaikan lain.

“TMJ is a little boy (budak kecil)... dia bodoh kerana tidak tahu apa yang berlaku. Jadi jangan cakaplah apabila anda tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya dalam satu sidang media di Selangor.

Pada Januari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu bagi membantu siasatan terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu baginda meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Polis turut memanggil beberapa individu termasuk bekas timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Syed Hussin Ali yang didakwa mengkritik raja Melayu dalam forum awam mengenai Statut Rom di Universiti Malaya pada April lepas.

Pihak berkuasa Malaysia pada 13 April lalu berkata sebanyak 91 laporan telah diterima berhubung gambar dimuat naik menerusi Facebook oleh kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai ‘Sabah-Sarawak Merdeka’, yang menghina Yang di-Pertuan Agong ke 16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong pada Januari memberitahu bahawa undang-undang baharu akan digubal bagi melindungi kesucian institusi diraja negara daripada dihina dan diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sistem negara kita ialah sistem Raja Berperlembagaan. Jadi kerajaan perlu sentiasa pastikan bahawa raja-raja kita dilindungi daripada fitnah yang tidak berasas dan diserang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Liew seperti dipetik akhbar Sinar Harian.

Kesalahan menghina Raja-Raja Melayu di Malaysia boleh disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan 1948.

Lihat Laman Penuh