Follow us

Yang di-Pertuan Agong Malaysia Berkenan Ampun Anwar, kata Mahathir

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-11
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri baharu Malaysia Mahathir Mohamad menunaikan solat di Masjid Negara di Kuala Lumpur, 11 Mei 2018.
Perdana Menteri baharu Malaysia Mahathir Mohamad menunaikan solat di Masjid Negara di Kuala Lumpur, 11 Mei 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Muhammad V, telah berkenan untuk memberi pengampunan kepada Anwar Ibrahim, sekali gus membuka laluan kepada ahli politik yang kini dipenjarakan itu kembali menceburi politik, satu syarat peralihan bagi membolehkan beliau mengambil alih kuasa politik, kata Perdana Menteri baharu Mahathir Mohamad pada Jumaat.

Mahathir membuat pengumuman itu dalam sidang akhbar selepas bermesyuarat dengan pemimpin gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) di pejabatnya di Kuala Lumpur.

“Dalam perbincangan kami dengan Yang di-Pertuan Agong semalam, baginda bertitah bahawa baginda berkenan untuk memberi pengampunan serta-merta kepada Anwar Ibrahim,” kata Mahathir.

Sementara itu, kepimpinan baharu Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghalang Najib Razak, perdana menteri yang kalah dalam pilihan raya 9 Mei, dan isterinya daripada meninggalkan negara, lapor Wall Street Journal pada lewat Jumaat, selepas muncul beberapa laporan yang menyebut nama pasangan tersebut terdapat dalam senarai penumpang sebuah pesawat peribadi yang dijadual berlepas dari Kuala Lumpur pada Sabtu.

Najib dibayangi oleh dakwaan rasuah berkaitan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad sejak tiga tahun lepas. Mahathir telah berjanji semasa kempen pilihan raya untuk berusaha mendapatkan kembali wang berbilion-bilion dolar milik negara yang didakwa telah dicuri daripada dana itu dan mendakwa mereka yang melanggar undang-undang.

Wall Street Journal merujuk sumber-sumber yang rapat dengan Perdana Menteri Mahathir sebagai berkata langkah-langkah telah diambil bagi menghalang Najib dan isterinya daripada ke luar negara, dan kesemua sumber ini turut mengesahkan butiran senarai penerbangan itu. Menurut agensi berita Reuters, yang memetik kenyataan dua sumber dan laporan media tempatan, pesawat peribadi itu dijadual berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di Jakarta.

Seorang pegawai UMNO, parti Najib, memberitahu Wall Street Journal bahawa bekas PM itu telah merancang untuk bercuti di luar negara dan kembali ke tanah air kemudian. Pada September, apabila parti itu mengadakan pemilihan dalamannya, Najib dijangka memutuskan ketika itu sama ada akan melepaskan jawatan beliau sebagai ketua UMNO, kata pegawai itu kepada akhbar.

Perikatan yang mustahil

Mahathir, 92, meraih kejayaan selepas mengetuai blok pembangkang utama memperoleh kemenangan mengejut pada Khamis dengan membentuk satu perikatan yang kelihatan mustahil dengan Anwar, bekas protégé dan timbalannya.

Anwar, 70, pernah menjadi timbalan Mahathir serta dijangka menggantikan Mahathir namun beliau telah didakwa dan dihukum penjara pada 1999 bagi pertuduhan rasuah dan liwat, yang ramai percaya adalah bermotifkan politik.

Pada 2015, Anwar telah dihukum penjara atas pertuduhan liwat buat kali kedua dan dijangka dibebaskan pada 8 Jun.

Sebagai sebahagian daripada janji kempen ketika menjadi pemimpin blok pembangkang, Mahathir telah bersetuju mengusahakan pengampunan Anwar dan berjanji membuka laluan kepada bekas musuhnya itu untuk menggantikan beliau sebagai perdana menteri.

Anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, berkata tarikh sebenar pengampunan beliau belum disahkan.

“Ia akan mengambil masa, hal-hal berkaitan dokumentasi, jadi saya tidak boleh beritahu anda sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat ayahnya di Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur. “Insya-Allah, kita harapkan yang terbaik.”

Anwar sedang menjalani pemulihan di hospital itu selepas satu pembedahan.

Bagaimanapun, isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, yang mengangkat sumpah pada Khamis sebagai timbalan perdana menteri, berkata beliau mungkin dibebaskan minggu depan, paling cepat, jika semuanya berjalan lancar.

“Terdapat banyak perkara yang kami perlu teliti,” katanya kepada pemberita pada Jumaat. “Tetapi apa yang paling penting, Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan kesediaan baginda untuk memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.”

Mahathir, pada sidang akhbar itu, turut mengumumkan pembentukan 10 kementerian teras pentadbirannya, termasuk pertahanan dan hal ehwal luar.

“Kami telah membincangkan pelbagai isu dengan mendalam, dan buat masa sekarang kami hanya akan mewujudkan satu kabinet yang kecil,” katanya. “Kami tidak mahu satu kabinet yang besar.”

Oh Ei Sun, seorang penganalisis kanan di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia, memberitahu BeritaBenar bahawa senarai kabinet baharu itu mungkin merupakan satu konsolidasi fungsi-fungsi yang berkaitan, bagi membolehkan ekonomi negara digerakkan ke hadapan.

“Secara asas ia akan menggabungkan Unit Perancang Ekonomi yang sebelum ini diletakkan di bawah pejabat perdana menteri, dan mungkin sebahagian daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” kata Oh.

Semasa kempen pilihan raya, pembangkang berjanji untuk mengecilkan pejabat perdana menteri, yang mempunyai 28 kementerian berasingan di bawah pentadbiran Najib Razak. Mahathir berkata perbincangan mengenai pelantikan kabinet akan berlangsung pada Sabtu.

“Ini akan memberikan masa kepada semua parti untuk memutuskan di kementerian mana mereka ingin berada dan siapa yang akan membarisinya,” kata Mahathir.

Ditanya sama ada Anwar akan diberi jawatan di peringkat kabinet, Mahathir berkata undang-undang mengkehendaki ahli politik yang dipenjarakan itu menjadi anggota parlimen terlebih dahulu.

“Proses itu boleh memakan masa yang lama. Ia akan diputuskan apabila tiba masanya,” kata Mahathir.

Menyentuh hal ehwal luar, Mahathir berkata beliau mahu mengekalkan hubungan baik dengan negara lain, pada masa yang sama kekal neutral dalam isu-isu kontroversi.

“Malaysia sebuah negara perdagangan dan kita ingin memastikan pasaran untuk Malaysia adalah sebesar yang mungkin,” katanya.

Mahathir turut memberi maklum balas terhadap laporan berita bahawa China telah menggesa beliau agar mengekalkan perjanjian dua hala antara Beijing dan Kuala Lumpur.

“Sesetengah kuasa asing mungkin ingin mengenakan sekatan ke atas negara-negara yang enggan melakukan apa yang mereka mahukan, tetapi kuasa-kuasa besar tidak akan mempengaruhi polisi kita,” kata Mahathir tanpa mengulas lanjut.

Pada Khamis, Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan Inisiatif Jalur dan Jalan  China (BRI), sebuah program infrastruktur jangkauan meluas yang membabitkan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer (430 batu), lebuh raya yang menghubungkan pantai barat dengan pantai timur di semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun Mahathir menambah bahawa kerajaannya “tidak berhasrat untuk menyaksikan terlalu banyak kapal perang di kawasan ini, kerana [sebuah] kapal perang akan menarik minat kapal perang yang lain.”

Pertukaran ketua jabatan

Mahathir turut memaklumkan pemberita bahawa beberapa pegawai tinggi kerajaan turut berdepan risiko dipecat daripada jawatan mereka.

“Kami ingin menjejaki mereka yang dilihat mempunyai kecenderungan menjadi korup atau yang telah melakukan perbuatan korup,” kata Mahathir.

Mahathir tidak menyebut sebarang nama, namun penganalisis berkata antara mereka yang mungkin berdepan pemecatan ialah Peguam Negara Apandi Ali, yang telah membersihkan nama pengganti Mahathir, Najib, daripada dakwaan rasuah berkaitan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kini cuba mendapatkan semula lebih $1.7 bilion dalam bentuk hartanah dan aset lain yang didakwa telah digelapkan menerusi transaksi kompleks daripada 1MDB, yang ditubuhkan Najib pada 2009 kononnya untuk mencari projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia melalui pembangunan projek.

Dokumen mahkamah mendakwa kira-kira US$$681 juta daripada dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, namun Najib berkata wang itu adalah sumbangan politik daripada seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi.

“Ketika ini AG [peguam negara] telah melemahkan kredibilitinya sendiri. Beliau telah menyembunyikan bukti salah laku dan perkara itu adalah salah di sisi undang-undang,” kata Mahathir.

Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada Khamis, sehari selepas blok pembangkang yang diketuainya menewaskan gabungan parti yang paling lama memerintah negara itu, Barisan Nasional, pada pilihan raya umum ke-14. PH dan sekutunya memenangi 135 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Lihat Laman Penuh