Follow us

Mahathir Angkat Sumpah Sebagai PM Baharu Malaysia, Selepas Dua Kali Ditangguh

Hadi Azmi & Hareez Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-05-10
E-mel
Komen
Share
Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
[Bernama melalui Reuters]

Mahathir Mohamad mengangkat sumpah jawatan pada Khamis malam sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia, selepas upacara pelantikan beliau ditangguhkan sebanyak dua kali dalam tempoh 12 jam, dan berikrar bahawa kerajaan baharunya akan memelihara kedaulatan undang-undang negara serta menghapuskan undang-undang yang bersifat menindas.

Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu di Istana Negara di Kuala Lumpur di hadapan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, sehari selepas mengetuai gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya umum ke-14.

“Kami berjanji untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang baik berdasarkan perlembagaan dan undang-undang negara ini, sebuah kerajaan yang mendukung perlembagaan dan undang-undang akan membimbing kita,” kata Mahathir pada sidang media selepas beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas 15 tahun.

Berpakaian tradisional baju Melayu berwarna hitam dan bersampin emas, Mahathir menjadi individu paling tua di dunia yang berkhidmat sebagai ketua negara selepas beliau mengangkat sumpah pada kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan), dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara dan menyebabkan rakyat Malaysia tidak berganjak daripada menonton televisyen mereka. Beliau akan berusia 93 tahun pada bulan Julai.

Pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin Pakatan hadir untuk menyaksikan upacara yang amat dinanti-nantikan itu semasa beliau mengangkat sumpah jawatan dan sumpah untuk menjaga kerahsiaan negara di hadapan Sultan Muhammad V, Yang di-Pertuan Agong ke-15 Malaysia.

“Kami akan menghapuskan undang-undang yang bersifat menindas dan tidak adil – sebagai contoh, undang-undang antiberita tidak benar dan Majlis Keselamatan Negara [undang-undang], yang digubal untuk menakut-nakutkan orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas upacara itu, merujuk kepada beberapa undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini pimpinan bekas protégé beliau, Najib Razak.

Semasa beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri dalam tempoh yang lama, dari tahun 1981 hingga 2003, Mahathir dikenali sebagai seorang diktator Asia Tenggara. Pada 1987, beliau telah mengarahkan penangkapan dan penahanan lebih 100 orang, termasuk pemimpin pembangkang dan aktivis, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terkenal.

Selepas menjadi perdana menteri, Najib telah memansuhkan akta itu namun kerajaan beliau kemudian menguatkuasakan Akta Pencegahan Keganasan, yang menurut pengkritik, adalah serupa dengan undang-undang ISA yang kejam.

Mahathir sebelum ini berkata jika beliau menjadi perdana menteri sekali lagi, beliau akan menyerahkan kerajaan kepada Anwar Ibrahim, bekas musuh politik yang bertukar menjadi sekutu dalam Pakatan, yang bakal dibebaskan dari penjara bulan depan selepas menjalani hukuman atas pertuduhan liwat.

Pada Khamis malam, seorang pemberita menyoal perdana menteri baharu itu berapa lama beliau bercadang untuk memegang jawatan itu kali ini.

“Tempoh maksimum sebagai PM? Saya rasa saya ada sedikit pengalaman dan kerajaan memerlukan pengalaman saya. Dan saya akan memegang jawatan ini selagi pengalaman saya diperlukan, tetapi tidak terlalu lama,” jawab Mahathir.

180510-MY-Mahathir-620-inside.jpg

Pengerusi Pakatan Harapan Mahathir Mohamad (tiga dari kiri) berbual dengan anak lelakinya Mokhzani ketika berjalan ke balai istiadat di Istana Negara untuk upacara angkat sumpah sebagai perdana menteri baharu Malaysia, 10 Mei 2018. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Kontroversi susulan penangguhan majlis angkat sumpah

Pada Khamis, terdapat beberapa drama yang menyelubungi pelantikan terkini Mahathir berikutan sekurang-kurangnya dua penangguhan majlis angkat sumpah yang membawa kepada persoalan bila dan sama ada beliau akan dilantik sebagai perdana menteri.

“Penangguhan itu tidak dapat dielakkan berikutan beberapa prosedur yang tidak perlu tetapi akhirnya saya telah mengangkat sumpah hari ini,” kata Mahathir pada sidang akhbar selepas upacara itu.

Pada Rabu, Mahathir mengetuai pembangkang untuk meraih satu keputusan mengejut yang bersejarah menewaskan blok Barisan Nasional, yang pernah beliau pimpin dan menyingkirkannya daripada memerintah Malaysia buat pertama kali dalam sejarah 61 tahun negara. Blok Pakatan memenangi sekurang-kurangnya 113 kerusi parlimen, yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan baharu.

Majlis angkat sumpah pada Khamis telah ditangguhkan sebanyak dua kali pada hari sama, mula-mula pada pukul 9.30 lagi dan kemudian pada 5 petang.

Selepas majlis itu, beliau memaklumkan pemberita bahawa pembentukan kerajaan baharu bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong namun baginda, kata Mahathir, telah bertegas bahawa kiraan rasmi keputusan pilihan raya perlu diserahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum meneruskan upacara itu, dan baginda mahukan keputusan itu secara bertulis.

SPR lambat menghantar keputusan bertulis itu, dan ia tidak sampai ke istana sehingga pukul 3 petang Khamis, kata Mahathir.

Menurut komen yang dibuat oleh Mahathir dalam sidang akhbar selepas penangguhan pertama pada sebelah pagi, terdapat kekeliruan sama ada Pakatan telah memperoleh majoriti kerana blok pembangkang yang terdiri daripada empat parti itu telah bertanding di bawah logo Parti Keadilan Rakyat, satu daripada anggota perikatan tersebut.

Beliau berkata PH “telah memenangi satu majoriti yang jelas dan oleh itu, kami berhak untuk membentuk kerajaan.”

“Perlembagaan menyebut bahawa PM perlu mempunyai sokongan majoriti anggota Parlimen. Ia tidak menyatakan bahawa beliau perlu mempunyai sokongan mana-mana parti. Selagi beliau mempunyai sokongan majoriti anggota Parlimen, beliau berhak menjadi PM. Majoriti berhak menamakan beliau dan meminta beliau dilantik mengikut perlembagaan,” kata Mahathir kepada pemberita.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa kelewatan berikutan kekurangan pemahaman perlembagaan tetapi kami ingin menjelaskan bahawa terdapat keadaan yang memerlukan tindakan segera di sini. Kami perlu membentuk kerajaan sekarang, hari ini kerana tidak ada kerajaan di Malaysia ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Istana Negara telah mengeluarkan satu kenyataan yang “menafikan sekeras-kerasnya” sebarang dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong “telah melengah-lengahkan pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.”

Yang di-Pertuan Agong telah bertemu keempat-empat pemimpin Pakatan Harapan pada pukul 5 petang untuk menemu bual mereka dan mendengar pandangan mereka, sebelum memutuskan untuk mengundang  Mahathir untuk membentuk Kerajaan Persekutuan berikutnya, kata istana.

“Seri Paduka Baginda kemudian berkenan untuk melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada pukul 9.30 malam hari ini,” menurut kenyataan itu.

“Seri Paduka Baginda berharap untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dan pentadbiran beliau demi kebaikan negara kita dan rakyatnya.”

Najib akur kekalahan

Pada pagi Khamis, Najib mengadakan satu sidang akhbar yang agak hambar di mana beliau menyatakan bahawa “Saya akur dan semua rakan saya menerima keputusan rakyat, dan Barisan Nasional komited untuk menghormati prinsip demokrasi berparlimen.”

Najib juga berkata kerajaannya telah meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Beliau bangga dengan pencapaiannya namun ada perkara yang “tidak sempurna ketika kami berkuasa,” kata Najib, yang menjadi perdana menteri selama dua penggal mulai 2009.

Menjelang pilihan raya, Najib telah dibayangi sejak tiga tahun lepas oleh dakwaan rasuah berkaitan 1MDB, satu dana pelaburan negara yang diilhamkannya. Beliau menafikan dakwaan sebarang salah laku, namun Mahathir telah menjadikan isu 1MDB sebagai satu modal dalam kempen pilihan raya Pakatan.

Dalam sidang akhbar pada Khamis malam, Mahathir memaklumkan pemberita bahawa kerajaannya akan berusaha mendapatkan semula wang berbilion dolar yang didakwa telah dicuri daripada dana itu dan memulakan siasatan berhubung pengubahan wang haram di seluruh dunia.

‘Saya rasa sebak’

Penyokong gabungan Pakatan yang telah melakar kejayaan itu, melahirkan rasa gembira kerana negarawan berusia tersebut bersedia untuk kembali memegang jawatan sebagai perdana menteri.

“Jangan cakap tentang mereka [kerajaan sebelum ini]. Saya di sini malam ini untuk meraikan kejayaan ini bersama-sama rakyat Malaysia yang lain,” kata Ryan Lim, seorang jurujual berusia 34 tahun, yang meraikan kejayaan itu di luar Istana Negara, di mana Mahathir mengangkat sumpah.

Shashipriya Nadaraja, seorang guru berusia 38 tahun, berkata beliau sudah lama menantikan perubahan dalam kerajaan negaranya.

“Saya amat gembira.  Saya kelu dan rasa sebak kerana terharu dengan kemenangan yang luar biasa ini. Ini adalah kebebasan yang sebenar,” katanya kepada BeritaBenar.

Bagaimanapun, beliau menambah, “Saya amat berharap mereka mampu menunaikan janji-janji mereka. Saya juga berharap kerajaan baharu ini tidak akan mengecewakan kami.”

Lihat Laman Penuh