Mahathir – Anwar Bersatu Kecam Akta MKN

Melati A. Jalil
2016.09.20
Kuala Lumpur
16069-my-anwar620 Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berbual mesra di dalam kamar mahkamah pada 6 September, 2016
Ihsan Parti Keadilan Rakyat.

Selepas mengadakan pertemuan kali pertama di mahkamah Kuala Lumpur dua minggu lalu, bekas perdana menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim membuat kejutan apabila mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikuatkuasakan kerajaan Perdana Menteri Najib Razak pada 1 Ogos lalu.

Kenyataan yang ditandatangani kedua-dua tokoh Malaysia yang berseteru sejak 18 tahun lalu, mendakwa akta MKN yang diperkenalkan pentadbiran Najib mengancam sistem demokrasi negara; dan ia turut mendapat reaksi daripada Menteri DiJabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim yang menyangkal dakwaan kedua pemimpin itu.

Kenyataan satu mukasurat yang ditandatangi kedua-dua pemimpin itu antara lain berkata, "Akta MKN yang dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengancam sistem demokrasi dalam negara. Kita perhatikan hampir semua institusi utama negara seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Negara dan Bank Negara telah pun dikuasai sepenuhnya oleh beliau.

"Akta ini menidakkan hak bagi pihak yang terbunuh, sama ada pegawai atau orang awam, untuk dibedah siasat bagi menentukan sebab-sebab kematian. Besar kemungkinan telah berlaku salah-laku,” kata kedua-dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.

Kedua pemimpin berkenaan turut mengulangi pandangan pengkritik bahawa Akta MKN telah mengetepikan kuasa dan peranan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu penting berkaitan keselamatan dan kebebasan rakyat negara ini.

"Oleh kerana krisis negara inilah, kami bersama-sama dengan rakyat menentang Akta ini dan (berjuang untuk) membawa perubahan dan reformasi demi menyelamatkan hak dan kebebasan rakyat serta memajukan semula negara tercinta kita,” kata Mahathir dan Anwar dalam kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu diedarkan kepada pemberita oleh bekas anggota UMNO Khairuddin Abu Hassan, yang hadir semasa prosiding kes Anwar di Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, Shahidan semasa dihubungi BeritaBenar berkata, Akta MKN dibuat di bawah kuasa Parlimen mengikut Perkara 74(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca dengan butiran 2 dan 3 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Fasal (1) perkara 74 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu antara lain, di bawah Senarai Pertama Jadual Kesembilan.

“Hal perkara berhubung “pertahanan bagi persekutuan” dan “keselamatan dalam negeri” merupakan perkara yang dinyatakan dengan jelas di bawah butiran 2 dan 3 Senarai Pertama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” tambah beliau.

MKN merupakan undang-undang yang bertujuan untuk menjaga keselamatan negara, dan di bawah bidang kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang, yang sekaligus berada di bawah bidang kuasa eksekutif Persekutuan,’’ kata Shahidan kepada BeritaBenar pada Selasa.

Akta MKN yang diwartakan pada Jun telah dikuatkuasakan pada 1 Ogos lalu, dengan pelaksanaannya timbul ketika wujudnya ketegangan politik yang semakin meningkat di Malaysia serta gesaan dari pihak pembangkang supaya Najib meletak jawatan atas skandal rasuah kewangan yang dikenali sebagai kemelut 1MDB.

Najib, bagaimanapun menyangkal tuduhan rasuah yang mengaitkan dana negara dibebani hutang 1MDB dan deposit beratus-ratus juta dollar ke dalam akaun peribadinya.

Pelaksanaan akta berkenaan dilihat sebagai sesuatu yang sangat luar biasa kerana ia diluluskan tanpa sebarang pindaan dan dilakukan tanpa mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan juga Majlis Raja-Raja Melayu, kata pengkritik semasa mengulas mengenainya.

Ketika ditanya Anwar sama ada beliau sudah memaafkan Mahathir, pemimpin pembangkang yang dipenjarakan itu menjawab: “Saya sudah banyak kali maafkan banyak orang.

“...tetapi yang saya bimbangkan adalah keadaan sekarang ini, kerana masyarakat pada masa ini harus hentikan gangguan dan ketidakadilan ini,” katanya, seperti yang dilaporkan media tempatan, ketika beliau ditemui di mahkamah pada Isnin.

Akta MKN juga membolehkan kerajaan mengisytiharkan undang-undang tentera maya di kawasan yang dianggap berada di bawah ‘ancaman keselamatan’ dengan menyaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Zulkifeli Mohd Zin dilantik menyandang jawatan Ketua Pengarah MKN.

Pakar perundangan dan aktivis sivil percaya penguatkuasaan akta itu menyalahi Perlembagaan negara dan boleh menyebabkan berlakunya pencabulan hak asasi manusia dan salah guna kuasa yang lain.

Dalam pada itu akhbar tempatan MalayMail melaporkan, Shahidan sebagai berkata, akta berkenaan merujuk kepada pengisytiharan kawasan keselamatan di kawasan tertentu di dalam negara yang dikenal pasti dipengaruhi oleh anasir luar, bukan situasi darurat yang melibatkan seluruh Malaysia.

“Kita hanya isytiharkan kawasan keselamatan tertentu contohnya sekitar Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), kawasan sempadan negara dan kawasan laut.

“Saya percaya Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya faham tentang akta ini kerana mereka pernah memerintah negara dan menjadi ahli parlimen.

“Namun kenyataan mereka itu mengelirukan masyarakat yang tidak tahu-menahu dan hanya berpersepsi, agar keadaan kelihatan seolah-kerajaan mengambil dan ketepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Gandingan Mahathir-Anwar


Mahathir, yang merupakan pengkritik lantang kepimpinan Najib, memberitahu BeritaBenar di dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini bahawa beliau ‘mungkin’ boleh bekerjasama dengan Anwar dalam usaha menggulingkan Najib.

Mahathir berkata, pertemuannya dengan Anwar merupakan satu isyarat bagi menamatkan persengketaan mereka yang berpanjangan susulan tindakan beliau memecat Anwar sebagai timbalalannya pada 1998 ketika beliau menjadi perdana menteri.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir memberitahu BeritaBenar bahawa tindakan kedua-dua pemimpin itu membawa mesej besar yang mahu disampaikan kepada Najib dan penyokongnya.

"Yang paling penting ialah apabila rakyat dihantar mesej sedemikian oleh dua musuh politik berseteru sejak sekian lama dan dapat berganding bahu, maksudnya mereka nak lupakan apa yang telah berlalu...cara nak kehadapan ialah dengan memastikan mereka bersatu dari segi naratif politik,” kata beliau.

Jeniri juga berpendapat Akta MKN adalah antara isu yang akan diketengahkan dua pemimpin berkenaan dalam menentang Najib menjelang pilihanraya umum akan datang, selain isu 1MDB dan RM2.6 billion.

"(Isu ini) nak gambarkan Najib sebagai pemimpin yang (akan) guna kuasa mutlaknya dengan menggunakan akta ini.

"Tapi saya tidak percaya Najib akan salah guna kuasanya dengan semudah dan sewenangnya kerana ini bukan zaman 1960-an. Rakyat sekarang begitu celik politik dan sedar akan hak mereka…(mereka)  boleh cabar di mahkamah dan sebagainya.

"Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh Mahathir dan Anwar adalah hanya untuk mencapai agenda dan tujuan politik mereka berbanding menentang akta itu,” katanya.

Najib satukan dua musuh politik

Penganalisis Politik Wong Chin Huat pula berpendapat Najib adalah pemimpin hebat kerana berjaya menyatukan semula dua musuh politik.

“Najib adalah bapa perpaduan 1Malaysia kerana mampu membawa Mahathir dan Anwar untuk bersatu," katanya.

Namun, beliau berkata, kenyataan bersama Mahathir dan Anwar menunjukkan mereka bersedia membiarkan perkara lama berlalu kerana mahu menekankan tentang bahayanya Akta MKN.

Beliau memberitahu BeritaBenar bahawa MKN boleh menjadi pilihan terakhir buat Najib, yang terdesak untuk meneruskan kepimpinannya di dalam arena politik.

Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.