Follow us

Mahathir Dihalang Lawat Anwar

N. Nantha, Hata Wahari & Fadzil Aziz
Kuala Lumpur
2018-01-10
E-mel
Komen
Kongsi
  • Kongsi
  • Komen
  • E-mel
180110-MY-denial-620.jpg
Bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita selepas dihalang daripada bertemu dengan pemimpin pembangkang yang sedang dipenjarakan Anwar Ibrahim di sebuah hospital rehabilitasi di Kuala Lumpur, 10 Jan 2018.
(N. Nantha/BeritaBenar)

Pihak berkuasa penjara Malaysia menghalang bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, calon pilihan pembangkang bagi jawatan perdana menteri sekiranya ia memenangi pilihan raya umum tahun ini, mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang de facto yang sedang dipenjarakan Anwar Ibrahim di sebuah hospital rehabilitasi di Kuala Lumpur pada Rabu.

Mahathir berkata, polis memberitahu beliau di Hospital Rehabilitasi Cheras bahawa beliau tidak boleh melawat Anwar kerana ia adalah "perintah pihak atasan."

"Yang bermaksud Menteri Dalam Negeri? Bahawa saya tidak dibenarkan melawat Anwar, " kata Mahathir kepada pemberita ketika beredar meninggalkan hospital itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata, Anwar adalah seorang banduan dan sesiapa yang mahu melawatnya mesti mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Penjara.

"Seorang banduan bukanlah seorang yang bebas. Kehidupannya dikawal oleh Jabatan Penjara. Tiada siapa yang dibenarkan berjumpa dengannya selain daripada ahli keluarganya," kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insight, sebuah laman web berita tempatan.

Pada  Ahad, gabungan pembangkang Malaysia iaitu Pakatan Harapan sebulat suara memilih Mahathir, 92, sebagai calon bagi jawatan perdana menteri menjelang pilihan raya umum ke-14. Isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, pula dicalonkan Pakatan Harapan sebagai timbalan perdana menteri.

Sekiranya dipilih, Mahathir akan menjadi perdana menteri sehingga Anwar, yang akan dibebaskan dari penjara padan Jun atas sabitan liwat, boleh mengambil alih jawatan itu jika diberi pengampunan diraja. Tanpa pengampunan itu, Anwar akan dihalang daripada berpolitik selama lima tahun.

Pilihan raya umum itu perlu diadakan pada Ogos, tetapi Perdana Menteri Najib Razak dijangka mengadakannya lebih awal pada tahun ini. Parti Pertubuhan Melayu Kebangsaan Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib mengetuai gabungan Barisan Nasional, yang memerintah Malaysia sejak berdekad-dekad lamanya.

Kembali ke perkhidmatan awam

Mahathir bangkit daripada persaraannya di tengah-tengah dakwaan bahawa berbilion-bilion dolar dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah disalahgunakan oleh Najib dan yang lain.

"Beliau adalah seorang diktator, melalui tindakannya, bukan kata-katanya. Saya dituduh sebagai diktator, katalah apa pun yang anda suka, tetapi saya tidak pernah melakukan perkara seperti ini," kata Mahathir mengenai Najib selepas tidak dibenarkan melawat Anwar di hospital itu.

Sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, iaitu dari 1981 hingga 2003, Mahathir telah membentuk reputasi sebagai pemerintah autokratik, dengan memenjarakan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Anwar pada akhir 1990-an.

Anwar sedang menjalani pemulihan di hospital itu selepas bahu kanannya dibedah pada November lalu kerana kecederaan yang dialami semasa kemalangan kereta yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara. Beliau menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas disabitkan dengan tuduhan meliwat tiga tahun lalu.

"Saya mahu melawat Anwar hanya untuk berterima kasih kepada beliau secara peribadi berhubung pemuafakatan Pakatan Harapan (PH). Saya sedih. Saya hanya ingin berjumpa dengannya untuk mengucapkan terima kasih kerana tidak membantah malah menyokong saya sebagai calon,” kata Mahathir.

Semasa tiba di hospital kira-kira 4.30 petang, Mahathir bertemu dengan pegawai penjara untuk mendapatkan kebenaran bagi melawat Anwar. Kira-kira 20 minit kemudian, beliau dan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, meninggalkan hospital dan memberitahu pemberita bahawa permohonan itu telah ditolak.

"Saya kecewa kerana kita tinggal di negara demokratik tetapi saya tidak dibenarkan bertemu dengan seorang rakan," kata Mahathir.

Nurul pula menegaskan bahawa Najib, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelancongan Nazri Aziz telah melawat Anwar beberapa hari selepas pembedahannya pada November.

"Semasa Nazri Aziz melawatnya, beliau juga tidak diberi kelulusan. Beliau terus dibenarkan masuk. Jadi, mengapa perkara ini  berbeza? "soal Nurul.

"Tiada konsistensi. Mahathir telah menyatakan hasratnya untuk melawat bapa saya. Kami memaklumkan kepada pihak berkuasa, Jabatan Penjara di Sungai Buloh dan ibu pejabat, "katanya, sambil memberitahu, "tidak ada maklum balas rasmi, tetapi hanya dimaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan melawatnya. "

Para pegawai Pakatan Harapan memberitahu BeritaBenar bahawa ini adalah peluang pertama bagi Mahathir untuk melawat Anwar, yang pernah menjadi musuh ketatnya sebelum ini. Pertemuan terakhir mereka adalah pada 5 Sept. 2016  semasa Anwar mengemukakan cabaran terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara yang baru.

"Anwar mempunyai sejarah konfrontasi yang lama dengan saya dan bukan mudah baginya untuk menerima pemuafakatan yang membenarkan saya menjadi perdana menteri berikutnya jika PH menang pilihan raya umum akan datang. Ini adalah satu perkara yang besar, "kata Mahathir.

Lihat Laman Penuh