Mahathir Ulangi Janji Letak Jawatan, Serah Kepada Pengganti

Muzliza Mustafa
2020.02.14
Kuala Lumpur, Malaysia
200214-MY-MahathirParlimen1000.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersama Anggota-anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa meraikan majlis sambutan 60 Tahun Parlimen Malaysia di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, 4 Disember 2019.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Mahathir Mohamad mengulangi janjinya sekali lagi bahawa beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik [APEC] seperti yang dinyatakan semasa pertemuan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim, November lepas, walaupun ada usaha mahukannya terus kekal sehingga tamat penggal.

Perdana Menteri itu mengakui yang ada bertemu dengan Anwar di Putrajaya pada Khamis, dan turut menegaskan yang beliau tidak terlibat dengan sebarang gerakan mendapatkan tandatangan Akaun Bersumpah [SD] yang mahukannya kekal dijawatannya sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Saya janji saya akan letak jawatan selepas APEC. Itu saya pegang kepada janji saya. Saya tidak terlibat dengan yang lain. Saya cuma janji saya akan letakkan jawatan, saya akan letak jawatan,” kata Mahathir yang berusia 94 tahun kepada media di Langkawi, Kedah, pada Jumaat.

Mahathir juga berkata, “Dia [Anwar] berjumpa dengan saya. Kenyataan dia itu betullah. Saya tidak kata apa-apa, dan saya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan lain.”

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Jumaat melaporkan sumber sebagai berkata terdapatnya dakwaan yang seramai 138 Anggota Parlimen Malaysia daripada empat parti telah menandatangani SD yang menyokong serta mahukan Mahathir untuk terus memegang jawatan perdana menteri sehingga tempoh penggal tamat.

Mahathir, yang sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia, kembali berkuasa selepas mengetuai pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), dan mencatat kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum Mei 2018 berikutan perjanjian bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa dua hingga tiga tahun dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

Mahathir berjanji demikian selepas beliau dan Anwar bersetuju untuk bergabung parti dan menerajui PH menentang gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya Mei 2018, ketika Anwar masih dipenjarakan bagi persabitan kes liwat. Selepas pilihan raya itu, Anwar dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pertemuan Anwar dengan Mahathir pada November lepas, Presiden PKR itu turut mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa isu peralihan kuasa tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui dan dijanjikan oleh Perdana Menteri berulang kali sebelum ini.

Anwar yang mengeluarkan kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana itu berkata peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

Beliau berkata, kedua mereka juga bersetuju untuk memberikan fokus pada pertumbuhan ekonomi negara dan juga penyediaan dalam mempersiapkan negara bagi menganjurkan APEC di Kuala Lumpur, November depan.

Pada Khamis, Anwar yang mengadakan pertemuan ketiga dengan Mahathir berhubung peralihan kuasa telah mengeluarkan kenyataan media dengan berkata yang beliau cenderung untuk Mahathir terus memegang jawatan perdana menteri sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC tetapi perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Feb. nanti.

Anwar turut berkata beliau telah memberitahu Mahathir bahawa pimpinan PH dan bebebapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinan selaku Perdana Menteri Ke-7 dan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-8 memandangkan wujudnya muslihat licik seperti yang dinyatakan.

Selain pertemuan dengan Mahathir pada November dan terkini pada Khamis itu, Anggota Parlimen Port Dickson berkenaan juga pernah bertemu dengan Perdana Menteri yang pernah menjadi seterunya pada 7 Januari lepas.

Faktor usia

Sementara itu semasa ditanya media di Langkawi mengenai akuan bersumpah tersebut, Perdana Menteri berkenaan turut mempersoalkan jumlah tandatangan yang dikatakan telah diambil bagi menyokong SD berkenaan dengan berkata, “Hari ini Pakatan [Harapan] mempunyai majoriti. Macamana boleh dapat angka 138?”

“Yang itu orang lainlah yang punya kerja… Saya tidak tahu mereka boleh buat sampai macam tu…bermakna daripada Pakatan Harapan pun mesti sokonglah, kalau hendak dapat angka macam itu,” kata beliau.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada parti DAP, Bersatu, PKR dan Amanah mempunyai 129 dari 222 kerusi di Parlimen manakala Barisan Nasional yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC pula 41 dan PAS 18.

Selain itu, Mahathir turut memberi faktor umur yang hampir menjangkau 95 tahun yang tidak membenarkan beliau untuk terus bertahan bagi terus menjadi perdana menteri.

“Saya dengar cerita macam-macam…Nak suruh saya kekal sampai 20 tahun lagi… Saya umur dah 94…lagi beberapa bulan dah 95, mana boleh tahan,” katanya yang akan menyambut ulang tahun kelahiran pada Julai nanti.

Pakar politik Universiti Utara Malaysia, Professor Mohd Azizuddin Mohd Sani semasa dihubungi BeritaBenar melihat situasi politik semasa dan usaha mengekalkan Mahathir sehingga tamat penggal tidak akan berhasil kerana Perdana Menteri itu telahpun menyatakan bahawa beliau akan mengotakan janji yang sudah dibuat dahulu.

“Ianya tidak akan terjadi. Mahathir sudah mengatakan beliau akan berundur selepas APEC. Lagipun mereka patut kurangkan berpolitik dan memberikan fokus kepada usaha membangunkan negara,” kata Azizuddin.

Anwar, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan Menteri Kewangan sekitar tahun 90-an pernah merengkuk dalam penjara selepas disabitkan kesalahan rasuah dan sodomi, iaitu kira-kira setahun selepas beliau dipecat Mahathir pada 1998.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.