Mahathir Akan Putuskan Bila Mahu Letak Jawatan

Muzliza Mustafa & Lex Radz
2020.02.21
Putrajaya, Malaysia
200221-MY-PHPesidentialMeeting1000.jpg Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan [PH] Mahathir Mohamad berjabat tangan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim apabila tamatnya sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Malaysia, 22 Februari, 2020.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata beliau akan menentukan masa terbaik baginya untuk meletak jawatan sebagai pemimpin Malaysia selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan [PH] yang turut dihadiri Anwar Ibrahim, serta beberapa lagi pemimpin tertinggi gabungan pakatan berkenaan pada Jumaat.

Perdana Menteri berusia 94 tahun itu berkata, rakan pemimpin majlis presiden percaya kepada beliau untuk membuat keputusan yang tepat terhadap proses peralihan kuasa.

“Kita berbincang panjang lebar berkenaan dengan masa depan parti. Dan akhirnya, saya tidak perlu ulang apa yang sudah diperkatakan – terdapat dua pendapat dan saya berasa bangga kerana akhirnya semua keputusan diserahkan kepada saya,” beliau memberitahu media di pusat pentadbiran negara.

“Dan saya telah kata bahawa peralihan akan berlaku lepas APEC, tetapi ‘No time, no date no nothing’ [Tiada masa, tiada tarikh dan tiada apa-apa] yang ditetapkan,” tambah beliau yang merujuk kepada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik [APEC] yang Malaysia akan menjadi hosnya pada November depan.

"Saya akan membuat keputusan bila saya akan letak jawatan. Itu terserah kepada saya. Mereka mempunyai keyakinan penuh terhadap saya," kata Perdana Menteri itu lagi.

Duduk di antara Anwar dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PH serta Timbalan Perdana Menteri, Mahathir bercakap kepada pemberita selama kira-kira tujuh minit pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Terdahulu itu, ketiga-tiga mereka bertemu secara persendirian dengan pemimpin gabungan lain sebelum mengadakan mesyuarat majlis penuh.

Kedua-dua Mahathir dan Anwar memberitahu pemberita bahawa isu pengganti dengan Anwar sebagai perdana menteri kelapan tidak dibincangkan pada pertemuan malam Jumaat itu.

"Perkara itu tidak timbul. Jawatan itu adalah bagi saya untuk membuat keputusan selepas APEC," kata Mahathir.

Anwar kemudiannya memberitahu yang beliau dengan sendirinya telah mencadangkan supaya pakatan itu menyokong Mahathir dan membenarkannya untuk terus mentadbir negara berkenaan sebagaimana yang fikirkan patut.

“Saya sendiri cadang supaya Tun Mahathir diberikan ruang mentadbir dan kemudian bila (masa peralihan kuasa)… dia tetapkan masa yang sesuai, itu barulah (berlaku). Pendirian kita jelas, tidak ada keraguan, komitmen kita untuk memastikan Mahathir sebagai Perdana Menteri dapat menjalankan tugasnya dengan dokongan yang penuh. Ini tidak dipersoal,” kata Anwar kepada pemberita sambil menambah bahawa Mahathir akan menentukan masa yang sesuai untuk peralihan kuasa.

Sementara itu, saya perlu bersabar,” kata Anwar mengulangi apa yang dikatakannya beberapa bulan lepas.

Mahathir, yang kembali berkuasa selepas mengetuai pakatan pembangkang, PH, dan mencatat kemenangan bersejarah pada pilihan raya umum Mei 2018 berikutan perjanjian bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

Mahathir berjanji demikian selepas beliau dan Anwar bersetuju untuk bergabung parti dan menerajui PH menentang gabungan BN pada pilihan raya itu, ketika Anwar masih dipenjarakan bagi persabitan kes liwat. Selepas pilihan raya itu, Anwar dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, pernah menjadi timbalan perdana menteri dan Menteri Kewangan ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia yang semasa itu ditadbir oleh Barisan Nasional.

Anggota Parlimen Port Dickson itu pernah merengkuk dalam penjara selepas disabitkan kesalahan rasuah dan liwat, iaitu setahun selepas Mahathir memecat Anwar daripada Kabinetnya pada 1998 dan sekali lagi semasa pentadbiran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Semasa pertemuan Anwar dengan Mahathir pada November lepas, Presiden PKR itu turut mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa isu peralihan kuasa tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui dan dijanjikan oleh Perdana Menteri berulang kali sebelum ini.

Anwar juga mengeluarkan kenyataan pertemuan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana berkata peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.