Follow us

Krisis Politik Malaysia: Mahathir dan Anwar Tawar Diri Sebagai Perdana Menteri

Noah Lee, Nisha David & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-26
E-mel
Komen
Share
Anwar Ibrahim, presiden Parti Keadilan Rakyat, bercakap pada sidang berita di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, Malaysia, 26 Feb, 2020.
Anwar Ibrahim, presiden Parti Keadilan Rakyat, bercakap pada sidang berita di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, Malaysia, 26 Feb, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Dua hari selepas kerajaan Malaysia kecundang, dua ahli politik yang menjadi tumpuan di tengah-tengah 'drama' itu memberitahu rakyat tentang hasrat mereka pada Rabu, dengan Perdana Menteri interim Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, yang pernah dinamakan sebagai penggantinya, masing-masing menawarkan diri sebagai pemimpin negara yang berikutnya.

Mahathir, yang meletak jawatan pada Isnin tetapi kembali ke dalam pentadbiran negara sehari kemudian untuk berkhidmat sebagai perdana menteri interim atas titah Yang di-Pertuan Agong, menyampaikan perutusannya kepada rakyat dahulu dengan mengulangi cadangan penubuhan "kerajaan perpaduan."

“Saya berpendapat, betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti, hanya fokuskan kepada kepentingan negara sahaja,” kata Mahathir dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia iaitu stesen penyiaran milik kerajaan pada Rabu.

Ini merupakan ucapan pertama pemimpin berusia 94 tahun itu sejak beliau meletak jawatan secara mengejut.

Kemudian, Anwar memberitahu satu sidang berita bahawa beliau dan ahli gabungan Pakatan Harapan [PH] yang menyokongnya tidak akan mengkhianati amanah negara.

"Hari ini, ahli PH dari [PKR], DAP [Parti Tindakan Demokratik] dan Amanah telah mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri untuk kerajaan PH," kata Anwar, presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR], parti tunjang Pakatan Pakatan, yang merujuk kepada dirinya.

"Pakatan kekal komited terhadap aspirasi dan amanah rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial. Kami tidak akan mengkhianati amanah itu, "kata Anwar yang menerajui PKR.

Anwar dan Mahathir menjadi tumpuan rakyat Malaysia dalam usaha mereka mendapatkan sokongan majoriti 112 Ahli Parlimen yang diperlukan untuk menyandang tampuk kepimpinan negara, kata Yvonne Tew, profesor madya undang-undang di Georgetown University, dengan jurusannya menumpukan kepada Perlembagaan Malaysia.

"Nampaknya ia menjadi perjuangan antara perdana menteri interim Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim dalam menentukan siapa sebenarnya yang memperoleh suara majoriti Parlimen," katanya kepada BeritaBenar.

"Pada ketika ini, apa-apa pun boleh berlaku, tetapi dalam beberapa hari berikutnya ia mungkin ditentukan menerusi rundingan politik antara pihak yang berkepentingan atau bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong."

Mengulas tentang apa yang membawa kepada peletakan jawatannya, Mahathir berkata walaupun beliau berjanji untuk meletak jawatan dan membenarkan Parlimen memilih penggantinya, "pada pandangan saya, saya merasa mendapat sokongan dari semua pihak, masa untuk saya meletakkan jawatan belum tiba."

Mahathir berkata beliau meminta diberikan masa tetapi disebabkan parti Bersatu pimpinannya dan beberapa ahli daripada komponen lain memutuskan untuk meninggalkan gabungan itu, kerajaan Pakatan Harapan pun gugur.

“Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepaskan jawatan dan gila kuasa,” katanya sambil memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kekalutan politik dan keresahan akibat daripada peletakan jawatannya.

Pada 1990-an, Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalannya, merupakan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang menguasai politik Malaysia. Kedua-duanya bermusuh kemudian dengan Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalannya.

Tetapi, pada pilihan raya umum 2018, mereka bergabung tenaga untuk memimpin Pakatan Harapan dalam usaha menyingkirkan gabungan parti Barisan Nasional yang diterajui UMNO dan dipimpin Perdana Menteri Najib Razak.

Menjelang pilihan raya umum dua tahun lalu, manifesto Pakatan Harapan menyatakan Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun berkhidmat, dan perancangan itu menyebabkan pengundi memilih pakatan pembangkang yang mencatatkan kemenangan besar penuh bersejarah.

Perdana menteri interim itu berkata beliau bimbang tentang apa yang berlaku jika Bersatu akan menyokong UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam usaha membentuk kerajaan baru.

"Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti terbesar," kata Mahathir, sambil memberi tahu beliau tidak mahu parti yang mengetuai kerajaan Malaysia semasa enam dekad pertama negara itu, mengetuai kerajaan perpaduan yang dicadang untuk diterajuinya.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya,” katanya.

Media Malaysia telah menamakan Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen UMNO dari Kelantan, yang digambarkan sebagai rakan Mahathir, sebagai calon berpotensi ketiga untuk menerajui kerajaan.

200226-MY-Inside-Mahathir620.jpg
Wartawan di Kuala Lumpur menggunakan telefon bimbit untuk menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, 26 Feb, 2020. [S. Mahfuz / BeritaBenar]

Kira-kira sejam selepas Perutusan Khas Mahathir, Anwar memberitahu satu sidang berita bahawa beliau menerima sokongan ahli-ahli Pakatan Harapan untuk menerajui Malaysia. Beliau berkata majlis presiden gabungan itu bermesyuarat pada malam Selasa dan telah menjemput Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu, tetapi Mahathir tidak menghadirinya.

"Justeru itu, keputusan majlis presiden menetapkan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan adalah Anwar Ibrahim," kata Anwar.

Walaupun ahli Pakatan Harapan percaya bahawa mereka mempunyai sokongan yang cukup untuk menyokongnya menjadi perdana menteri, Anwar berkata mereka akan mematuhi keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan memberitahu BeritaBenar pada Rabu bahawa Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah sudah selesai menemu bual semua Ahli Parlimen kecuali Nazri Aziz yang kini berada di London.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong berkata baginda akan menemu bual semua Ahli Parlimen dalam menentukan pemimpin yang disokong mereka untuk menjadi perdana menteri sebelum mengumumkan siapa yang akan menerajui kerajaan Malaysia.

'Tidak menentu dan tidak stabil'

Di Pulau Pinang, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melantik pemimpin negara yang berikutnya.

"Saya percaya Seri Paduka akan mendahulukan kepentingan negara,” kata Profesor Sivamurugan Pandian kepada BeritaBenar, sambil memberitahu "yang paling penting adalah untuk memulihkan keyakinan, kepercayaan dan kestabilan kerajaan.

"Undi percaya [dalam Parlimen] hanya berlaku jika adanya usul," kata beliau.

Sivamurugan menganggap keadaan politik itu sebagai "tidak menentu dan tidak stabil."

"Terdapat terlalu banyak spekulasi dan Malaysia berada dalam krisis kepimpinan. Kemelut politik telah membawa kita kepada keadaan ini dan kita menghadapi situasi di mana tiada siapa yang tahu apa yang sedang berlaku. "

Di Washington, Tew dari Georgetown University berkata mana-mana  senario akan membawa kepada penyandangan jawatan perdana menteri yang baru.

Senario tersebut termasuklah Anwar mengetuai kerajaan minoriti, Mahathir terus menjadi perdana menteri interim sehingga adanya pembentukan kerajaan majoriti, atau Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi membuka laluan kepada pilihan raya mengejut.

"Pada 2018, Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada pendorong kepada kebangkitan populisme liberal global dan nasionalisme di seluruh dunia apabila pilihan raya umum 2018 mencipta kejayaan demokratik," kata Tew kepada BeritaBenar.

"Inilah sebabnya mengapa kita memantau keadaan sekarang dengan teliti, untuk melihat bagaimana kisah kejayaan demokratik ini akan berakhir. Apakah kejayaan 2018 itu akan berterusan atau berakhir sebagai naratif yang tragis. "

Kate Beddall di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh