Follow us

Pembangkang Malaysia Cari ‘Titik Persamaan’ Berhubung Calon PM

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-22
E-mel
Komen
Share
Pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, dan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat beredar meninggalkan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, Selangor, 9 Jun 2020.
Pemimpin pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, dan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat beredar meninggalkan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, Selangor, 9 Jun 2020.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Dua parti pakatan pembangkang Malaysia pada Isnin meminta parti-parti komponen yang lain supaya menggabungkan kekuatan, menghentikan pertikaian dan mencari kesepakatan mengenai siapa yang harus menjadi calon perdana menteri mereka sekiranya memenangi pilihan raya berikutnya di negara itu.

Di tengah-tengah laporan bahawa pakatan Pakatan Harapan (PH) mungkin retak kerana parti-partinya tidak sependapat berhubung siapa yang harus menjadi calon perdana menteri pembangkang, Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berasaskan etnik Cina dan parti Amanah yang berasaskan Islam telah mengumumkan pilihan mereka berhubung perjanjian perkongsian kuasa antara Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Cadangan yang dikemukakan mereka menyatakan bahawa perjanjian itu mahukan Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri selama enam bulan dan berjanji secara bertulis untuk menyerahkan kuasa kepimpinan kepada Anwar, kata kedua-dua parti berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

"Dengan latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan kesemua lima parti iaitu PKR, Amanah dan DAP daripada Pakatan Harapan (PH) dan Warisan serta Bersatu yang ditunjangi Mahathir,” kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng.

"Perjalanan politik ini telah mengambil masa 22 tahun, justeru kita mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia," kata mereka, sambil menyatakan bahawa peralihan kuasa 6 bulan itu "akan didokumenkan secara bertulis, dengan ditandatangani oleh semua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka."

Bagi membolehkan Pakatan Harapan berjaya dalam usahanya untuk mengetepikan kerajaan bukan dipilih Muhyiddin Yassin, "semua parti dalam PH, Warisan dan kelompok Tun Dr. Mahathir Mohamad harus berusaha mencari titik persamaan untuk menuntut kembali mandat pilihan raya yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya 2018,” kata mereka dalam kenyataan itu. Warisan adalah parti yang berpusat di Sabah, sebuah negeri di Borneo Malaysia.

Memandangkan Mahathir dan yang lain telah mencabar dakwaan Muhyiddin bahawa beliau mendapat sokongan yang diperlukan daripada 112 Ahli Parlimen - lebih satu daripada separuh daripada 222 Ahli Parlimen - anggota gabungan Perikatan Nasional (PN) pimpinan perdana menteri itu telah memberi isyarat kemungkinan diadakan  pilihan raya mengejut bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Kenyataan bersama pada Isnin itu dibuat sehari selepas Anwar mengumumkan bahawa beliau tidak akan menyokong gesaan supaya terus menjadi timbalan kepada Mahathir.

"Saya tidak boleh menerimanya kerana saya tidak yakin bahawa keputusan ini adalah yang terbaik untuk negara, rakyat, reformasi,  kehakiman (yang bebas), (kebebasan) media, antirasuah dan terutamanya untuk ekonomi bagi menamatkan kronisme dan memewahkan beberapa orang yang terpilih,” kata Anwar semasa siaran langsung Facebook pada Ahad.

Anwar, yang menerajui PKR, membincangkan tentang percaturan itu yang menyarankan supaya beliau menjadi timbalan Mahathir selama enam bulan.

"Saya menghadapi kesukaran yang cukup berat untuk memikul beban itu. Berapa lama lagi saya perlu menderita? Cukuplah,”kata Anwar sambil menegaskan bahawa komen itu dibuat secara berseloroh.

Pada Jumaat, majlis pimpinan pusat PKR mengeluarkan kenyataan  bahawa ia menolak cadangan untuk mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri dan tetap dengan rancangannya untuk mencalonkan Anwar bagi menyandang jawatan itu.

Pada hari yang sama, Mahathir memberitahu portal berita tempatan, Malaysiakini, bahawa beliau akan mematuhi cadangan yang dibuat itu.

"Apabila tiba masanya, saya akan menepati janji saya. Anda boleh semak tingkah laku saya ketika saya menjadi perdana menteri, malah sebelum itu lagi. Saya tidak pernah mengingkari janji saya, ”katanya.

Pada tahun 1990-an, Anwar berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri Mahathir dan dijangka menggantikannya. Anwar dipecat daripada jawatan itu pada September 1998. Beliau dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah pada tahun berikutnya dan bagi pertuduhan liwat pada 2000.

Beberapa tahun kemudian, Anwar dan Mahathir mengetepikan perbezaan mereka dan bergabung untuk membentuk Pakatan Harapan dalam usaha menggulingkan pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak pada 2018. Mengikut perjanjian mereka, Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas dua tahun menyandang jawatan tetapi ia tidak berlaku.

Mahathir, yang memimpin parti Bersatu dan menyandang jawatan perdana menteri semasa pemerintahan Pakatan Harapan, meletakkan jawatan pada awal tahun ini ketika pakatan itu mula goyah.

Muhyiddin, yang pernah menjadi timbalan pmimpin Bersatu, membentuk gabungan baru yang merangkumi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi mengambil alih tampuk pemerintahan, dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri pada awal Mac lalu.

Penganalisis menjangkakan persetujuan


Walaupun Anwar dilihat sebagai seorang yang degil, Mahathir adalah orang yang berusaha menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri, kata penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi.

"Anwar berulang kali memberi laluan kepada Mahathir, dan malah dipenjarakan selama lebih dari 10 tahun kerana memperjuangkan keadilan dan reformasi institusi," kata Awang Azman kepada BeritaBenar.

“Mahathir dilihat lemah dan tanpa idea baru untuk Malaysia. Beliau sering memperlekehkan orang Melayu, melabelkan mereka sebagai pemalas dan ini membuatkan orang Melayu menjauhi PH, ”katanya.

Penganalisis politik, James Chin dari University of Tasmania, pula berkata Pakatan Harapam akan kekal sebagai gabungan yang kuat dan kedua-dua pihak bertikai pasti mencapai persetujuan sama ada cepat atau lambat.

"Ini bukan perpecahan - mereka pasti dapat mencari jalan penyelesaian kerana mereka sedar jika mereka tidak menyelesaikan krisis yang berlaku sekarang, ini secara efektifnya bermaksud mereka menyerahkan kuasa kepada PN sehinggalah pilihan raya yang akan datang," katanya.

Walaupun Muhyiddin tidak membangkitkan tentang pilihan raya tergempar, pemimpin PN termasuk Najib dan Zahid Hamidi, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri Najib dan kini presiden UMNO, memuat naik foto dalam talian yang tertera: “Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?"

Pada Ahad, Naib Presiden UMNO Mahdzir Khalid menyatakan bahawa pilihan raya tergempar adalah penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah politik semasa.

"Pilihan raya ini harus diadakan agar kita dapat mempunyai kerajaan yang solid dari segi sokongan Ahli Parlimen," katanya

Lihat Laman Penuh