Follow us

Mahathir: Polis Malaysia Berurusan dengan China Mengenai Keberadaan Jho Low

Perdana Menteri Mahathir Mohamad bercakap kepada BeritaBenar sehari selepas Polis Malaysia berkata mereka telah mengenalpasti lokasi Jho Low.
Nani Yusof
New York
2019-09-27
E-mel
Komen
Share
Jho Low (dua dari kanan) bersedia untuk memotong kek bersama wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] dan eksekutif media ketika pelancaran laman maya yang ditaja oleh PBB di Washington, D.C, 23 April, 2015.
Jho Low (dua dari kanan) bersedia untuk memotong kek bersama wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] dan eksekutif media ketika pelancaran laman maya yang ditaja oleh PBB di Washington, D.C, 23 April, 2015.
[AP]

Ketua Polis Malaysia menghubungi rakan sejawatannya di China dalam mengesan kedudukan sebenar ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikatakan oleh sesetengah pihak sedang menyembunyikan diri di negara itu, menurut Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

“Saya yakin Ketua Polis Negara akan menghubungi rakan sekerja di China untuk mendapatkan pengakuan, jikalau boleh, dan juga bukti yang beliau [Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low] berada di negara China,” kata Mahathir kepada BeritaBenar dalam satu sesi temubual di NewYork, di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB].

Mahathir bercakap kepada BeritaBenar lewat Khamis, iaitu sehari selepas Ketua Polis Malaysia Abdul Hamid Bador berkata pihak berkuasa negara itu telahpun mengenalpasti lokasi Jho Low dan berharap untuk membawa ahli perniagaan tersebut pulang menjelang akhir tahun ini, bagi membantu siasatan ke atas skandal berbilion dolar dana 1MDB.

Abdul Hamid tidak menamakan China. Beliau sebelum ini berkata polis Malaysia sedang bekerjasama dengan sebuah negara asia yang tidak dinamakan untuk menahan dan menghantar pulang Jho Low.

“Saya akan berusaha untuk mempercepatkan (proses)…saya berharap kita akan dapat membawa beliau pulang akhir tahun ini,” kata Abdul Hamid dalam satu forum yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.

Jho Low merupakan individu penting dalam skandal rasuah melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat berkata sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diseleweng dari 1MDB oleh Low, pegawai tinggi 1MDB dan rakan sekutu mereka.

1MDB ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak yang disingkirkan dalam pilihanraya tahun lepas dimana skandal tersebut merupakan tema utama kempen pihak pembangkang. Najib berhadapan dengan 42 pertuduhan jenayah berkaitan kerugian yang dialami oleh 1MDB dan entiti kerajaan lain.

Pihak pendakwaraya menuduh Najib telah mengambil AS$681 juta dari 1MDB dan berkata wang itu telah digunakan untuk membiayai cara kehidupan yang mewah bekas pemimpin itu dan isterinya Rosmah Mansor, yang turut berdepan dengan pertuduhan rasuah. Kedua-dua Najib dan Low menafikan segala pertuduhan jenayah yang dilemparkan ke atas mereka.

Bila ditanya oleh BeritaBenar, Mahathir berkata beliau tidak menyentuh isu Jho Low dengan Presiden China Xi Jinping semasa lawatannya ke Beijing bulan lepas.

“Saya tidak berbincang mengenai perkara itu. Ada orang menceritakan yang Jho Low berada di negara China. Saya tidak bangkitkan soalan itu tetapi pihak polis, mereka sedang mencari bukti tentang lokasinya, kerana ada yang berkata beliau di China.”

Abdul Hamid pada Rabu berkata beliau percaya Low “mendapat perlindungan oleh seseorang” yang memberikannya tempat selamat di negara tertentu, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Reuters.

“Siasatan kami mendapati beliau bebas bergerak dan mampu untuk menjalankan perniagaannya tanpa sebarang sekatan,” Abdul Hamid berkata.

Ditanya jika pihak berkuasa Malaysia dapat menjamin kepulangan Jho Low, beliau berkata: “Saya yakin.”

Ketua Polis Negara terdahulu Mohamad Fuzi Harun tahun lepas dipetik sebagai berkata, polis Malaysia sudah menghantar satu pasukan ke Hong Kong untuk menjejaki Low tetapi tidak berjaya.

Pada Januari, Fuzi berkata pihak polis telah berjumpa dengan pihak berkuasa di China untuk menjejaki ahli perniagaan berstatus pelarian itu, menurut laporan.

 

Lihat Laman Penuh