Follow us

Mahathir: Anggota Penguatkuasa Bakal Dilengkapkan dengan Kamera Badan

Ali Nufael & Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-09-19
E-mel
Komen
Share
Seorang anggota rondaan polis di Marseille, Perancis sedang menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki, manakala rakan setugasnya memerhati sekeliling dengan kamera yang dipasang dibadannya, 15 Februari 2017.
Seorang anggota rondaan polis di Marseille, Perancis sedang menjalankan pemeriksaan terhadap seorang lelaki, manakala rakan setugasnya memerhati sekeliling dengan kamera yang dipasang dibadannya, 15 Februari 2017.
[AFP]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis mengatakan bahawa kerajaan perlu meningkatkan pemantauan terhadap anggota penguatkuasaannya yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara itu bagi mengelakkan kehilangan berbilon ringgit setiap tahun disebabkan rasuah.

Sehubungan itu, kerajaan mahu menyediakan kelengkapan kamera pada badan untuk dipakai pegawai penguatkuasa undang-undang negara sebagai satu langkah mengatasi masalah salahlaku, demikian menurut Perdana Menteri itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Rasuah di pusat pertadbiran negara Putrajaya.

Mahathir berkata langkah itu diambil kerana Malaysia kehilangan pendapatan mencecah berbilion ringgit setahun disebabkan isu integriti di kalangan kakitangan yang ditugaskan menjaga pintu masuk dan keluar negara.

"Negara mengalami kebocoran hasil di pintu keluar dan masuk di antara RM3 bilion (AS$715.6 juta) dan RM5 bilion(AS$1.19 bilion) setahun kerana masalah integriti,” tambah beliau lagi.

Beliau juga menambah, mesyuarat itu juga bersetuju untuk meningkatkan tahap integriti serta kebolehupayaan Jabatan Kastam dengan mempertingkatkan teknologi digunakan melalui penggunaan kamera litar tertutup yang terbaru, kamera pada badan serta mesin pengimbas.

"Kita akan mewajibkan penggunaan kamera pada badan ini untuk polis, imigresen, kastam supaya kita akan tahu apa yang mereka lakukan. Kita mahu lebih banyak kamera, dan ini termasuk kamera pada badan. Kita mahu melakukan ini secepat mungkin," tambah Mahathir lagi.

Langkah berkenaan bakal menjadikan Malaysia, bersama 13 lagi negara di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat menggunakan teknologi serupa untuk penguatkuasa undang-undang mereka.

Mahathir berkata bahawa penggunaan kamera pada badan dan CCTV juga dapat membantu dalam memastikan samada tuduhan salahlaku terhadap seseorang anggota penguatkuasa itu sahih ataupun tidak.

"Ada ketika seseorang pegawai itu perlu bercakap dengan pelanggan atau berbuat sesuatu ketika dia sedang menjalankan tugasnya. Kita mahu tahu samada dia melakukan perkara itu dengan betul, dan bagaimana dia mengendalikan pelanggan.

"Contohnya, apabila ada yang mengadu bahawa mereka dibuli atau dipukul oleh anggota penguatkuasa, kita boleh menyemak rakaman kamera untuk memastikan samada tuduhan itu berasas atau tidak."

Mahathir juga mengatakan bahawa hanya jabatan dan unit terpilih yang akan dilengkapkan dengan kamera pada badan.

Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa mesyuarat anti-rasuah itu juga bersetuju untuk menaiktaraf CCTV kamera di lima lokap pusat yang dikendalikan polis, serta pusat tahanan imigresen bagi mengurangkan jumlah kes salahlaku dan kekerasan.

Ditanya bilakah kerajaan akan merealisasikan keputusan tersebut, Mahathir berkata bahawa ia akan dilakukan sebaik sahaja kerajaan mempunyai peruntukan bagi tujuan tersebut.

"Sebaik sahaja kita ada peruntukan. Kita akan memberikan keutamaan kepada sesetengah jenis peralatan seperti kamera pada badan dan CCTV.

"Tidak semua jabatan akan dilengkapi dengan peralatan ini. Sesetengah akan dapat, manakala sesetengah lagi tidak."

Sejak 2008, seramai 143 orang dilaporkan meninggal ketika di dalam tahanan polis, berdasarkan laporan kepada parlimen pada sesi Julai tahun lalu.

Menurut statistik daripada Kementerian Dalam Negeri, majoriti tahanan yang meninggal dunia adalah dari bangsa Melayu (55), Cina (28), India (35), lain-lain (3), dan warga asing (22).

Sebab kematian pula adalah pelbagai, dengan sesetengah dikaitkan dengan dakwaan keganasan oleh pihak polis, manakala sesetengah lagi pula kerana faktor kesihatan.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, telah memberitahu Dewan Rakyat bahawa sehingga kini, seramai sembilan pegawai dan anggota polis telah didakwa menyebabkan kematian dalam lokap.

Tidak berfungi

Penggunaan kamera pada badan pernah dicadangkan pada 2007 oleh Ketua Polis Negara pada masa itu, Musa Hassan, akan tetapi, kerajaan pada masa itu tidak mempunyai peruntukan untuk tujuan berkenaan.

"Saya minta pada kerajaan untuk mempertimbangkan bagi melengkapi anggota saya dengan kamera badan bagi mengelak tuduhan liar bahawa mereka 'trigger happy' (tembak sesuka hati).

"Saya juga telah mencadangkan bahawa kereta peronda turut dilengkapi kamera hadapan supaya ia dapat merekodkan apa-apa kejadian, seperti tembak-menembak," Musa memberitahu BeritaBenar pada Khamis sambil mengalu-alukan keputusan terkini kerajaan yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Mengenai kamera CCTV, Musa berkata kebanyakan kamera yang dipasang tidak berfungsi kerana tiada bajet daripada kerajaan untuk menyelenggara peralatan tersebut.

"Masalah dengan CCTV kita ialah tiada bajet untuk penyelenggaraan. Jadi, apabila berlaku sesuatu ia tidak boleh digunakan kerana ianya tidak lagi berfungsi," katanya.

Sementara itu, aktivis hak asasi manusia Sevan Doraisamy, yang juga merupakan pengarah eksekutif badan bukan kerajaan Suaram, berkata keputusan kerajaan itu adalah sesuatu yang baik tetapi yang paling penting adalah untuk memastikan semua peralatan berteknologi yang dimiliki berfungsi dengan bagus.

"Kerajaan perlu memastikan prosedur operasi standard dipatuhi, dan peralatan berfungsi baik. Peralatan boleh dibeli, tetapi tidak mahulah apabila sesuatu yang tidak baik berlaku, alasan yang sama seperti ‘oh ia tidak berfungsi’ diberikan," katanya.

Antara negara yang sudah mempraktikkan penggunaan kamera pada badan untuk pegawainya ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Jerman, Finland, Singapura, Australia, Kanada, Utara Ireland, China, Itali, Belanda, Sweden dan Emiriah Arab Bersatu.

Berdasarkan satu kajian oleh Universiti John Hopkins pada 2017, purata harga untuk satu kamera badan adalah AS$570 (RM2,388), dengan minimum harga AS$199 (RM833) dan maksimum $2,000 (RM8,379), bergantung kepada fungsi dan teknologi yang digunakan.


Lihat Laman Penuh