Follow us

Malaysia: Mahathir Sedia Ke China Selepas Hentikan Projek

Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-15
E-mel
Komen
Share
Menteri Luar China Wang Yi (kiri) bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad di Putrajaya, Malaysia pada 1 Ogos 2018.
Menteri Luar China Wang Yi (kiri) bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad di Putrajaya, Malaysia pada 1 Ogos 2018.
[Jabatan Penerangan Malaysia/Nazari Rapaai/Edaran melalui Reuters]

Nasib bagi sekurang-kurangnya dua projek infrastruktur bernilai berbilion dolar yang disokong China di Malaysia masih tidak menentu dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad akan mengunjungi Beijing minggu ini untuk mendesak pembatalan projek itu semasa lawatan pertama beliau ke ibu negara China itu sejak pakatan parti pimpinannya meraih kuasa dalam pilihan raya umum yang mencipta sejarah pada Mei lalu.

Mahathir telah menghentikan dua projek saluran gas dan projek laluan kereta api utama yang dikaitkan dengan Inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) China setelah mendakwa ia tidak kos efektif. Selain itu, Malaysia sedang menyiasat untuk menentukan sama ada kerajaan sebelum ini yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak menggunakan dana yang diperuntukkan bagi saluran paip itu untuk membayar hutang tertunggak daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibelenggui skandal.

Dalam persediaannya untuk mengadakan lawatan lima hari ke China bermula Jumaat ini, Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau akan berusaha untuk membatalkan projek itu - terutamanya dua saluran paip itu - sambil berusaha untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara pemacu ekonomi Asia itu.

“Kami rasa kami tidak memerlukan kedua-dua projek itu. Kami tidak fikir ia berdaya maju. Oleh itu, jika boleh, kami mahu menggugurkan projek tersebut, "katanya kepada Associated Press.

Tiga kontrak itu yang bernilai lebih daripada RM90 bilion (AS$22 bilion) telah dianugerahkan oleh kerajaan Najib kepada firma-firma  China.

Mahathir memutuskan untuk menggantung pelaksanaan projek tersebut selepas mengetahui bahawa hutang negara yang diwarisi pentadbirannya telah melonjak kepada lebih RM1 trilion ($244.6 bilion).

Syarat-syarat tidak adil dikenakan terhadap Malaysia dengan kadar faedah tinggi yang berkaitan dengan pinjaman untuk melaksanakan projek-projek ini, kata Awang Azman Awang Pawi,  profesor  Jabatan Sosio-Budaya di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

"Projek-projek itu nampaknya kurang memberi faedah kepada Malaysia, seperti yang dilihat oleh Mahathir, kerana ia juga tidak melibatkan pemindahan teknologi," kata profesor itu yang memantau hubungan dua hala antara negara-negara berkenaan.

"Ini akan menjadi perkara utama. Malaysia mahu terus menjalankan perniagaan dengan China dan mahu berada dalam buku yang baik, tetapi pada masa yang sama, ia cuba mendapatkan bantuan China dalam mengkaji semula kadar faedah itu," kata Awang Azman kepada BeritaBenar.

Semasa diumumkan dengan gahnya pada Ogos 2017, Najib memuji Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai projek yang akan membawa perubahan kepada Malaysia. Projek sepanjang 688 kilometer (430 batu) itu yang merangkumi negeri-negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan akan siap pada 2024 dengan kos $13 bilion dengan kebanyakannya disokong oleh pinjaman dari China.

Kerajaan Malaysia akan membiayai 85 peratus daripada projek itu melalui pinjaman yang mengenakan kadaaar faedah sebanyak 3.25 peratus daripada Export-Import Bank of China.

Pada Mei, Mahathir berkata, kerajaannya akan merunding semula perjanjian ERCL itu.

"Syarat-syaratnya boleh merosakkan ekonomi kita," katanya pada masa itu.

Pada Julai, Menteri Kewangan Lim Guan Eng melaporkan bahawa projek ECRL dihentikan dan memberitahu bahawa jangkaan kos itu meningkat sebanyak RM26 bilion (AS$6.4 bilion) kepada RM81 bilion ringgit (AS$20 bilion).

Rakan kongsi perdagangan

Walaupun Mahathir nampaknya mahu menggugurkan sekurang-kurangnya dua projek itu, China secara konsisten kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia.

Jumlah perdagangan dua hala mencapai RM290.65 bilion (AS$70.9 bilion) tahun lalu, yang berpihak kepada China dengan mencecah RM38.35 bilion (AS$9.35 bilion), menurut akhbar The Star.

Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai, yang juga ahli fakulti di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, lawatan Mahathir itu adalah penting bagi China berikutan status tiga projek itu.

"Malaysia telah menerima inisiatif China sejak awal lagi dan kerajaan China perlu mempertimbangkan perkara itu. Tanpa Malaysia, BRI China akan terganggu, "katanya kepada BeritaBenar sambil memberitahu bahawa China perlu memastikan projek-projek itu dapat memanfaatkan Malaysia.

Najib telah memuji BRI sebagai projek yang memberi manfaat besar kepada Malaysia dari segi infrastruktur, kesalinghubungan, kemudahan sosial, taraf hidup dan peluang perniagaan.

BRI, yang dicadangkan oleh Presiden Xi Jinping lima tahun lalu, merupakan inisiatif terbesar China setakat ini dalam memperkasakan ekonomi global dengan membina infrastruktur besar-besaran yang melibatkan pengangkutan dan tenaga.

Zhang Xiabo, profesor ekonomi di Fakulti Pembangunan Nasional, Universiti Peking berkata, kedua-dua negara memerlukan lebih banyak pertukaran dua hala dan harus menghapuskan rasa ketidakpastian yang pada masa ini menyelubungi hubungan mereka.

"Ia tidak elok untuk hubungan dua hala jika kedua-dua negara terlibat dalam perang mulut tetapi tidak melakukan apa-apa. Pada hakikatnya, asas hubungan China-Malaysia langsung tidak berkocak. Kedua-dua negara masih mengekalkan hubungan yang baik," katanya.

Lihat Laman Penuh