Batal Projek: Malaysia Dapatkan Kembali Wang AS$243 Juta Dari Syarikat China

Radzi Razak
2019.07.15
Putrajaya, Malaysia
190715-MY-ch-money-620.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Malaysia, 15 Julai, 2019.
(Radzi Razak/BeritaBenar)

Malaysia telah mendapatkan kembali wang berjumlah lebih AS$243 juta dari sebuah syarikat milik China yang menerima pembayaran daripada Kuala Lumpur bagi pembinaan projek-projek saluran gas yang tidak disiapkan, Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengesahkan pada Isnin.

Beliau berkata kerajaan Malaysia sebelum ini telah membayar kira-kira 80 peratus bagi kos kedua-dua projek berkenaan yang dilaksanakan oleh China Petroleum Pipeline Engineering Ltd. (CPP), tetapi semasa Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya dan mengarahkan projek tersebut digantung pada Julai 2018, ia mendapati hanya 13 peratus sahaja kerja-kerja yang baru disiapkan.

Mahathir, yang pada masa itu baru tiga bulan mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas menewaskan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas, berkata tindakan menggantung projek berkenaan perlu dilakukan kerana pentadbiran PH mewarisi hutang sebanyak RM1 trilion (AS$243.5 bilion) daripada kerajaan sebelumnya.

"Oleh itu, kerajaan berhak mendapatkan semula wang tersebut kerana projek itu telah dibatalkan. Kami mahu dapatkan semula wang bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan," katanya kepada pemberita di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia, pada lewat petang Isnin.

Sebagai perdana menteri, Mahathir berkata beliau bertanggungjawab terhadap tindakan kerajaannya itu namun beliau tidak mendedahkan butiran bagaimana wang yang berada di dalam akaun CPP dipindah masuk ke dalam akaun bank Malaysia.

"Mereka (CPP) menandatangani kontrak untuk membina saluran paip ini dengan kerajaan. Mereka telah mengambil 80 peratus daripada nilai kontrak. Bagi bahagian projek yang belum dilaksanakan, kerajaan mahu menuntut semula wang itu," kata Mahathir.

Perdana Menteri berkata langkah itu tidak seharusnya mewujudkan ketegangan dengan China.

"Sebenarnya, kontrak itu tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya," kata beliau. "Saya tidak nampak mengapa China perlu merasa kurang senang. Saya mengambil balik wang bagi kerja-kerja yang mereka tidak lakukan. "

Mahathir menjawab soalan media yang mahu mengesahkan mengenai laporan bahawa kerajaan Malaysia telah mengambil balik lebih RM1 bilion (AS$243 juta) daripada akaun bank CPP di tengah-tengah pertikaian yang melibatkan projek-projek saluran paip di bahagian barat Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Pada hujung minggu, akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya memetik sumber sebagai berkata yang kerajaan Malaysia telah mengarahkan bank terkemuka dunia, HSBC, supaya memindahkan dana dari akaun CPP Malaysia kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Pegawai CPP, yang sebelum ini berkata mereka akan berunding bagi pembayaran pampasan yang sewajarnya untuk projek-projek yang dibatalkan itu, mendakwa mereka tidak dimaklumkan tentang alasan bagi pemindahan wang tersebut.

"CPP tegas mematuhi undang-undang Malaysia tetapi bingung dengan permindahan wang itu tanpa ada pihak pun yang memaklumkan CPP mengenainya," kata beliau dalam laporan Straits Times itu. "Apabila kita menerima maklumat lanjut, CPP akan mengambil tindakan yang perlu dan sesuai untuk melindungi hak kami. Oleh itu, kami berharap rakan Malaysia dapat menyelesaikan perkara ini secara baik dengan kami. "

Semasa kerajaan Mahathir menggantung projek saluran paip itu pada Ogos lalu, ia turut menghentikan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL). Ia adalah satu lagi projek infrastruktur yang disokong oleh China, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) Beijing iaitu strategi geopolitik untuk membina Laluan Sutera moden melalui rangkaian pelabuhan, landasan kereta api, jalan raya dan laluan perdagangan yang akan menghubungkan China ke pasaran di Asia Tenggara, Asia Selatan dan seterusnya.

Pada April 2019, Mahathir mengumumkan bahawa projek ECRL akan disambung semula selepas kerajaannya mengadakan rundingan semula harga dengan memujuk Beijing untuk mengurangkan kos kepada AS$11 bilion daripada AS$16 bilion yang pada awalnya dipersetujui oleh kerajaan Najib.

Menteri Kewangan nafi terlibat

Terdahulu pada Isnin, Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng berkata kementerian itu tidak terlibat dalam pengambilan semula AS$243 juta dari firma kejuruteraan China itu.

"Saya hanya ingin menyatakan bahawa Kementerian Kewangan dan saya sendiri, kami tidak ada mengeluarkan sebarang arahan rampasan. Oleh itu, jikapun ada sebarang arahan rampasan, saya fikir anda perlu bertanyakan kepada agensi penguat kuasa. Itu saja yang saya mahu katakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada Jun 2018, Lim mendedahkan bahawa Malaysia telah membayar RM8.3 bilion (AS$2.02 bilion) bagi kedua-dua projek yang bernilai RM9.4 bilion  (AS$2.29 bilion) walaupun hanya 13 peratus daripada kerja-kerja binaan yang siap. Sebelas bulan kemudian, pegawai kerajaan berkata mereka sedang berunding dengan kontraktor yang berpejabat di China mengenai jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Suria Strategic Energy Resources berkaitan dengan pembatalan projek-projek tersebut.

Pada 2016, kerajaan Perdana Menteri Najib Razak telah memberi kontrak bagi pembinaan saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer (372 batu) di bahagian barat Semenanjung Malaysia dan saluran paip gas sepanjang 662 km (411 batu) di Sabah.

Apabila projek-projek itu digantung pada Julai 2018, laporan mendapati Mahathir sedang menyiasat untuk menentukan sama ada kerajaan Najib menggunakan dana yang diperuntukkan bagi projek saluran paip itu untuk  membayar hutang yang ditanggung oleh dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

1MDB, yang diasaskan oleh Najib pada 2009 bagi menggalakkan pelaburan negara, tertakluk kepada tindakan undang-undang dan penyiasatan jenayah di seluruh dunia selepas berbilion-bilion dolar didakwa diselewengkan daripada dana tersebut. Pegawai Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah menyifatkan kes 1MDB itu sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk dalam abad ini."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.